Hajarul Aswad yang bermaksud batu hitam merupakan salah satu batu yang terdapat di penjuru Kaabah. Apabila orang yang ingin memulakan tawaf, maka mereka hendaklah memulai tawaf itu dengan membetulkan bahu kiri mereka ke arah Hajarul Aswad, berpusing sebanyak tujuh kali dan berakhir di Hajarul Aswad juga.
Mencium Hajarul Aswad merupakan sunnah Nabi S.A.W. semata-mata, dan ini ditegaskan oleh Khalifah Umar Al-Khattab apabila sebelum beliau mencium batu itu (Hajar Aswad), beliau berkata-kata:
“Aku tahu, sesungguhnya engkau hanyalah batu biasa. Andaikan aku tidak melihat Rasulullah SAW menciummu, sudah tentu aku tidak akan melakukan (mencium Hajar Aswad).”
Hajarul Aswad berasal daripada batu yang mulia (yaqut) dari syurga yang diberikan kepada Nabi Ibrahim a.s agar diletakkan di satu sudut Kaabah. Batu yang mulia ini berasal dari syurga sejak zaman Nabi Adam a.s dan Hawa lagi, dalam keadaan putih berkilau dan bebas daripada unsur kejahatan, tetapi ia menjadi hitam kerana dosa-dosa manusia yang diserap tahun demi tahun.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Hajarul Aswad itu diturunkan dari syurga, warna lebih putih daripada susu dan dosa-dosa anak cucu Adamlah yang menjadikannya hitam.”
Semasa Nabi Ibrahim a.s membina semula Kaabah, Malaikat Jibril a.s membawa batu itu keluar dan memberikan kepada baginda. Apabila Nabi Ibrahim siap membina Kaabah, dengan bantuan puteranya, Nabi Ismail a.s, Allah memerintahkan baginda melakukan tawaf.
Baginda tidak dapat menetapkan bilangan yang tepat pusingan dilakukannya. Baginda berasa mereka yang lain juga akan keliru. Justeru, baginda berdoa kepada Allah untuk memberikannya suatu tanda untuk digunakan bagi mengira pusingan. Malaikat Jibril membawakan batu hitam terbabit kepadanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan