Selasa, 9 November 2010

Berangkat Pulang

Selama 8 hari aku menjadi tetamu Allah di Mekah, manakala di Madinah pula aku cuma berada selama 4 hari saja. Kini, tibalah masanya untuk kami berangkat pulang ke Malaysia.

Terima kasih, Ya Allah... Ibadah aku telah dipermudahkan.

Tidak teringat pula aku tarikh masehinya tetapi kalau mengikut tarikh Islamnya , kami bertolak pada 26 Syaaban 1422H dan pulang pada 7 Ramadhan 1422H. Sewaktu itu kos umrah untuk bulan Syaaban-Ramadhan hanya dalam RM4300 saja.. Tapi kini, kos umrah pada bulan yang sama telah meningkat kepada RM6975.

Aku berpuashati sangat dengan agensi pelancongan kami iaitu dahulunya dikenali sebagai SS Travels & Tour yang diasaskan oleh Tn Haji Khairi. Kini, beliau telah mengambil alih  Bahrulmazi Travels & Tour dan beliau sebagai pemegang saham utama. Tn Hj Khairi  berasal dari Pulau Pinang.

Semasa di Mekah, aku menginap di Hotel Jawharat Al Husaen, iaitu cuma 200 meter saja jaraknya ke Masjidil Haram. Di Madinah pula kami ditempatkan di Hotel Mawwaddah Al Safwa, bertentangan  dengan pintu utama Masjid Nabawi. Dari tingkap hotel , kami dapat melihat pemandangan indah Masjid Nabawi terutamanya pada waktu malam.

Program umrah dan ziarahnya telah disusun rapi dan tiada masalah sepanjang kami di sana. Kami telah dapat melakukan 7 umrah iaitu bersamaan dengan pahala 1 Haji. Makanan yang disediakan enak-enak belaka, citarasa kita orang Malaysia.

Tn Hj Ismail menghantar kami sampai ke Lapangan Terbang King Abdul Aziz Jeddah. Penerbangan kami dijadualkan pada 10.00 malam.

Sebelum aku berlepas, Tn Hj Ismail telah berjumpa dengan aku.

'Salamiah, Pak Long nak habaq... kira jadilah na... Pak Long balik Malaysia raya ke 5.. nanti Pak Long bincang dahulu dengan adik Pak Long... lepas tu kita jumpa..'   Terus dia membahasakan dirinya Pak Long kepada aku. Berhajat sangat dia.

Penerbangan selama 9 jam agak memenatkan. Duduk saja atas kerusi, tidak bergerak agak melemaskan juga. Mujurlah aku dapat tempat di tepi tingkap. Dapat juga melihat kepulan awan putih pada waktu pagi.

Apabila masuk waktu subuh, Ustaz Mahfuz mengejutkan kami, memberi arahan supaya kami menunaikan solat subuh. Cukuplah katanya solat menghormati waktu. Makanan bersahur kami ketika itu nasi putih, beserta dengan lauk ayam masak rendang, kalau aku tidak silaplah dan juga air Milo dan fresh Orange.

Kami sampai di KLIA dalam pukul 5.30 petang waktu Malaysia. Kami dibekalkan dengan makanan untuk berbuka oleh pihak MAS.

Aku telah memaklumkan kepada keluargaku supaya tidak perlu menjemput aku di KLIA, kerana bas telah disediakan untuk kumpulan kami balik ke Perak.

Aku sampai di Petronas Sungkai pada pukul 10.00 malam, dan ibuku telah menanti bersama abangku dan juga Mak Chak dan Kak Mah, anak pak Sohot. Terharu juga aku. Mak Chak memberitahu aku, dia tunggu aku sebab nak peluk aku yang baru sampai dari kota Suci Mekah. Nak cium bau Mekah dan Madinah.

Sampai di rumah sudah beberapa orang jiran menunggu, dan aku menjamu mereka dengan air zam-zam, kurma, kismis dan kekacang.

Malam itu, aku mula rindu untuk bertarawikh di Mekah dan di Madinah. Aku mula merindui bacaan syahdu Imam Sudais.

Ya Allah, moga ibadah umrah ku di terima Allah.. Dari 7 umrah yang aku buat, aku telah sedekahkan 1 umrah untuk arwah ayah yang aku sayangi. Ini bermakna aku tidak dapat pahala 1 haji.

Ya Allah, mudahkanlah aku untuk menjadi tetamunya sekali lagi.

Amin.


*** Update  10/11/2010,  terima kasih dari Ustaz Azimi yang memberi maklumbalas, 1 umrah yang aku sedekahkan untuk arwah ayah, 10 pahala umrah ganjaran pahalanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan