Jumaat, 26 November 2010

Aku Dirisik Kali Ke Dua

Agak lama juga aku tidak menulis.. Kesibukan program kaunter yang aku telah susun, diikuti 'follow up' dengan pelanggan, membuatkan aku tertangguh untuk menyambung karya ku. Begitu juga dengan waktu malam yang mana telah menjadi rutin untuk aku dan bekas kenalan Sekolah Menengah Sungkai berchatting beramai-ramai.. bercerita.. mengulang cerita-cerita lalu..

Cuti Hari Raya Adha 2010 yang pada mulanya aku hanya bercadang untuk balik sehari dua, rupanya menjadi musibah pula. Pada Hari Raya kedua, ibu ku telah diwadkan di Hospital Slim River selama 5 hari 4 malam. Bergilirlah aku bersama isteri Adi menjaga ibuku di hospital.. Dan seperti 3 tahun lepas, aku bermalam di hospital menemankan ibuku di hospital..

Kesinambungan dari ceritaku dahulu,

Pada Mac 2002, teman serumahku, Cikgu Yati telah masuk ke bilikku. Yati memaklumkan pada aku yang dia telah merekomenkan aku kepada keluarga kawan beliau. Yati telah memberitahu kawannya tempat di mana aku bekerja, iaitu ketika itu aku baru pindah dari Takaful Malaysia Tapah ke Takaful Malaysia Cawangan Ipoh. Yati juga maklumkan pada ku yang mak bapa kawannya akan datang ke Pejabat Takaful untuk merisik aku dari jauh.

Tidak pula aku tertunggu kedatangan mereka. Kesibukan aku bekerja, dan juga kerja yang terlalu banyak membuatkan aku terlupa.

2 minggu selepas itu, Yati berjumpa semula denganku. Katanya, mak bapa kawannya telah datang ke pejabat. Malangnya, mereka telah bertanyakan aku, tetapi tersalah menyebut nama aku.. Dan pada hari mereka datang, aku tiada di pejabat.. Bercuti...

Terkedu aku... Ya Allah.. apa lagi yang tak kena dalam diri aku ini. Orang yang kononnya hendak dijodohkan dengan ku, adalah seorang imam di sebuah masjid di Ipoh.

Aku bermuhasabah diri.. Aku perlu baiki diriku.. Aku telah berniat, dalam masa 6 bulan ini, aku mesti khatam al Quran.. dekatkan diri pada Allah.. dan sekiranya ada calon yang ke ketiga selepas ini, mungkin beliau adalah jodoh aku.

Pada masa itu aku sebilik dengan Huda. Huda agak pelik juga melihat aku tak lepas dengan Al Quran. Dan aku maklumkan yang aku telah berniat untuk khatam Al Quran dalam tempoh 6 bulan ini, sebab aku dapat rasakan ada yang tak kena dalam diri ini. Selalunya antara Maghrib ke Isyak aku akan habiskan masa mengaji Al Quran, dan Huda hanya mendengar saja. Huda juga ada maklumkan pada ku juga, tajwid ku pada pendengarannnya, jelas dan betul..

Sehingga bulan Ogos 2002, aku telah khatam Al Quran... bermula lah episod baru dalam kehidupan aku...

Selasa, 9 November 2010

Kelisa Ku

Dahulu aku pernah berniat, selagi aku tidak melakukan umrah, aku tidak akan membeli kereta. Disebabkan itulah aku tiada kereta.

Keinginan untuk memiliki sebuah kereta datang tiba-tiba sahaja. Seolah-olah menuntut janji aku selepas selesai mengerjakan umrah.


Abangku yang berada di Seremban membantu aku mendapat kereta secepat yang mungkin , selepas beliau mendapat tahu keinginan ku untuk memiliki sebuah kereta.


Aku ke Seremban untuk menguruskan perjanjian pinjaman dengan sebuah bank di Seremban. Dari mana duit aku terkumpul, aku sendiri tidak tahu, tapi yang pastinya aku telah membuat serahan sijil Takafulku yang aku ambil sejak aku belajar lagi.. Inilah kelebihan Takaful.. Duit kita adalah simpanan.. Terbang RM 5,000 sebagai bayaran muka untuk kereta aku yang pertama. Kereta ini dihantar oleh abangku dari Seremban ke rumah ibuku pada Januari 2002.

Sebenarnya aku rugi juga kerana kereta yang aku beli diperbuat pada tahun 2001. Aku memperolehinya pada tahun 2002, ini bermakna kereta ini telah ada susut nilai sewaktu sampai ke rumahku. Dari segi insurans dan harga pasaran, ia memberi kesan juga kerana usia kereta ini dikira 2 tahun. Tapi ada untungnya juga kerana aku mendapat diskaun RM500..

Pada masa itu, kereta Kelisa adalah model yang paling baru.. Pada pandangan aku, kelisa ini comel.., Kelisaku  berwarna kelabu dan no pendaftarannya adalah NBE 7708....

Semua abang-abangku, kakak tidak membenarkan aku membawa Kelisaku balik ke Ipoh. Ini adalah kerana aku pernah terlibat dengan kemalangan sewaktu membawa Iswara kakakku. Tiada kecederaan, cuma punca berlakunya kemalangan tersebut adalah kerana ketidakcekapan aku memandu dan memahirkan diri dengan kereta.

Aku juga mengalami fobia untuk memandu selepas itu..  Abangku mencadangkan supaya aku mengikuti kelas memandu sehingga aku mahir. Untungnya aku di Ipoh, untuk menghadiri kelas memandu, ada pemandu datang menjemput. Aku berlajar semula selok belok memandu dan setiap minggu aku pulang ke kampung, dan aku memahirkan pula diriku dengan Kelisaku dengan syarat mesti ada abangku di sebelah.

Setelah Kelisaku menetap di kampung selama 2 bulan, barulah keluargaku membenarkan Kelisaku berhijrah ke Ipoh.

Jarak antara rumah sewa aku ke Pejabat terlalu dekat.. dan Kelisaku hanya aku gunakan untuk ke pejabat saja. Kelakar juga aku rasakan mengenang minggu pertama aku memandu, aku terpaksa meminta rakan pejabat untuk park kereta..

Atas pertolongan kawan-kawan yang sudi menjadi co -pilot, aku akhirnya berjaya memandu ke Pusat Bandar tetapi masih takut untuk melalui lebuhraya.

Bayangkan... nak balik kampung .. aku naik bas... lebih selamat aku rasakan.. dan tidaklah ibuku dalam kerisauan sentiasa.

Kini... aku sudah boleh memecut dan terlebih mahir pula..

Jemputan Rumah Terbuka Di Pulau Pinang

Pada minggu kedua bulan Syawal, aku mendapat jemputan untuk menghadiri rumah terbuka Tn Hj Khairi di Seberang Perai. Memang satu kelaziman pada Tn Hj Khairi untuk menjemput ahli-ahli jemaah beliau menghadiri rumah terbuka. Aku juga dimaklumkan, bas untuk kumpulan kami disediakan.

Aku menghubungi Ustaz Mahfuz dan memaklumkan pada beliau yang aku akan ikut serta dalam rombongan ke Seberang Prai. aku dimaklumkan bahawa semua ahli jemaah perlu berkumpul di Rumah Anak Yatim Darul Aitam , Temoh.  Terlupa pula aku untuk memperkenalkan, Ustaz Mahfuz adalah anak kepada arwah Ustaz Busro, pengasas rumah Anak Yatim Darul Aitam.

Memandangkan  aku bekerja di Ipoh, aku menelefon En Hamran dan bertanya sekiranya aku boleh menumpang bermalam di rumah beliau di Temoh. Aku memang rapat dengan keluarga beliau. Malam sebelum berangkat ke Pulau Pinang, aku bermalam di rumah En Hamran.

Esok paginya, Kak Yati menghantar aku ke rumah anak yatim dan aku bertemu semula dengan sahabat-sahabat semasa mengerjakan umrah dahulu. Kami bertolak dalam pukul 9 pagi.

Di sepanjang perjalanan aku tertarik dengan seorang wanita yang tidak dimamah usia. Kami panggil beliau Umi, beliau adalah  balu kepada arwah Ustaz Busro. Orangnya ramah, dan aku lihat ada kejernihan pada wajah beliau. Ya lah, beliau melihara anak yatim, besar ganjaran pahalanya.

Kami sampai di Seberang Prai dalam pukul 12 tengah hari dan kami disambut dengan meriah oleh Tn Hj Khairi, isteri dan keluarga. Terpegun aku melihat rumah beliau. Kalau lah rumah aku sebesar dan seindah rumah beliau..

Tn Hj Ismail datang menghampiri jemaah kami. Beliau kemudiannya memperkenalkan aku dengan isteri dan adiknya. Tak sangka pula aku beliau ada perancangan sendiri.

Kami bergerak pulang pada pukul 3, dan aku sampai di rumah sewaku pada pukul 5.30 petang.

Selang seminggu selepas jamuan hari raya, Tn Haji Ismail ada menelefon aku. 'Salamiah, ni Haji nak habaq..., masa jamuan raya hari tu, adik Haji ada. Haji dah cerita pasal Salamiah padanya. Haji nak minta maaf, hari tu sebenarnya, anak buah Haji ada kat jamuan raya. Haji dapat rasa Salamiah akan datang.'

Aku tak tahu pun anak buah Haji ada... tapi elok juga aku tak tahu..

Susunan kata-kata Tn Haji amat teratur dan aku dapat rasakan beliau dalam kepayahan untuk meluahkan sesuatu.

'Salamiah, Haji berkenan sangat dengan Salamiah. Tak tahu nak kata la.. budak ni.. Kita dah usaha nak bagi calon isteri yang baik untuk dia,tapi katanya pula, Salamiah ni terlalu baik untuk dia... Jadi , dia menolak. Bila kita tanya ada calon ke tidak, katanya tak ada.. tak faham Haji'

'Haji telefon ni sebab Haji nak minta maaf dengan Salamiah. Anggap tak ada jodoh. Tapi Haji akan simpan nombor Salamiah, kita jangan putus ...'

Aku sudah tidak ingat perasaan aku ketika menerima perkhabaran itu.. Sedih ke.. tapi yang aku pasti, aku perlu berubah... masih jauh lagi untuk aku menjadi perempuan yang baik-baik seperti yang dikatakan oleh Haji.

Aku terima semua keputusan Allah.

Tahun lepas aku ada menghubungi Tn Hj Ismail, bertanya khabar, dan dimaklumkan sampai sekarang anak buahnya belum lagi berumahtangga. Tn Hj ada meluahkan perasaan padaku, berat jodoh dia kerana dia telah menolak yang terbaik.. Calon dari Mekah..

Betul ke aku ni baik... aku rasa tidak..

Hari Raya Aidil Fitri 1422H

Cuti aku berbaki  4 hari lagi. Aku gunakan cuti ini untuk berehat sebelum pulang ke Ipoh. Aku pergi menziarahi Pejabat Takaful Tapah untuk menghantar cenderahati kepada kakitangan di sana. Mana mungkin aku melupakan mereka setelah aku berjaya.


Aku pulang ke rumah sewaku di Taman Istana, dan seterusnya melaksanakan tugas-tugas di pejabat seperti biasa. Sepanjang bulan puasa aku cuba mengekalkan amal ibadatku seperti aku lakukan semasa di Mekah dan di Madinah. Dan semestinya aku menonton siaran langsung solat Tarawih dari Mekah setiap hari. Lepas juga rinduku pada Kaabah. Masih lagi aku terpandang tempat kami melakukan Qiamullai iaitu betul-betul dihadapan Multazam.



Hari Raya Aidilfitri menjelma tiba. Dan seperti tahun sebelumnya aku adalah orang yang terlalu bermurah hati memberi orang lain bercuti sedangkan aku sudah mula bekerja . Selalunya , aku memohon cuti sebelum hari raya supaya dapat aku membantu  ibu dan abangku memasak rendang dan lemang. Keluarga kami besar, selagi ada seorang insan bernama ibu, selagi itulah anak-anak akan menjenguk mereka. Dan seperti biasa tender untuk masak rendang ayam dan daging selalunya dapat kepada aku.

Hari Raya Aidilfitri disambut meriah di kampung ku. Aku juga mengambil kesempatan menziarahi jiran-jiran dan saudara maraku.

Selamat tinggal Ramadhan Al Mubarak. Moga Allah panjangkan umurku tahun hadapan, supaya dapatku beribadat di bulan yang mulia ini.

Selamat datang Syawal, bulan kemenangan bagi orang-orang yang berpuasa.

Berangkat Pulang

Selama 8 hari aku menjadi tetamu Allah di Mekah, manakala di Madinah pula aku cuma berada selama 4 hari saja. Kini, tibalah masanya untuk kami berangkat pulang ke Malaysia.

Terima kasih, Ya Allah... Ibadah aku telah dipermudahkan.

Tidak teringat pula aku tarikh masehinya tetapi kalau mengikut tarikh Islamnya , kami bertolak pada 26 Syaaban 1422H dan pulang pada 7 Ramadhan 1422H. Sewaktu itu kos umrah untuk bulan Syaaban-Ramadhan hanya dalam RM4300 saja.. Tapi kini, kos umrah pada bulan yang sama telah meningkat kepada RM6975.

Aku berpuashati sangat dengan agensi pelancongan kami iaitu dahulunya dikenali sebagai SS Travels & Tour yang diasaskan oleh Tn Haji Khairi. Kini, beliau telah mengambil alih  Bahrulmazi Travels & Tour dan beliau sebagai pemegang saham utama. Tn Hj Khairi  berasal dari Pulau Pinang.

Semasa di Mekah, aku menginap di Hotel Jawharat Al Husaen, iaitu cuma 200 meter saja jaraknya ke Masjidil Haram. Di Madinah pula kami ditempatkan di Hotel Mawwaddah Al Safwa, bertentangan  dengan pintu utama Masjid Nabawi. Dari tingkap hotel , kami dapat melihat pemandangan indah Masjid Nabawi terutamanya pada waktu malam.

Program umrah dan ziarahnya telah disusun rapi dan tiada masalah sepanjang kami di sana. Kami telah dapat melakukan 7 umrah iaitu bersamaan dengan pahala 1 Haji. Makanan yang disediakan enak-enak belaka, citarasa kita orang Malaysia.

Tn Hj Ismail menghantar kami sampai ke Lapangan Terbang King Abdul Aziz Jeddah. Penerbangan kami dijadualkan pada 10.00 malam.

Sebelum aku berlepas, Tn Hj Ismail telah berjumpa dengan aku.

'Salamiah, Pak Long nak habaq... kira jadilah na... Pak Long balik Malaysia raya ke 5.. nanti Pak Long bincang dahulu dengan adik Pak Long... lepas tu kita jumpa..'   Terus dia membahasakan dirinya Pak Long kepada aku. Berhajat sangat dia.

Penerbangan selama 9 jam agak memenatkan. Duduk saja atas kerusi, tidak bergerak agak melemaskan juga. Mujurlah aku dapat tempat di tepi tingkap. Dapat juga melihat kepulan awan putih pada waktu pagi.

Apabila masuk waktu subuh, Ustaz Mahfuz mengejutkan kami, memberi arahan supaya kami menunaikan solat subuh. Cukuplah katanya solat menghormati waktu. Makanan bersahur kami ketika itu nasi putih, beserta dengan lauk ayam masak rendang, kalau aku tidak silaplah dan juga air Milo dan fresh Orange.

Kami sampai di KLIA dalam pukul 5.30 petang waktu Malaysia. Kami dibekalkan dengan makanan untuk berbuka oleh pihak MAS.

Aku telah memaklumkan kepada keluargaku supaya tidak perlu menjemput aku di KLIA, kerana bas telah disediakan untuk kumpulan kami balik ke Perak.

Aku sampai di Petronas Sungkai pada pukul 10.00 malam, dan ibuku telah menanti bersama abangku dan juga Mak Chak dan Kak Mah, anak pak Sohot. Terharu juga aku. Mak Chak memberitahu aku, dia tunggu aku sebab nak peluk aku yang baru sampai dari kota Suci Mekah. Nak cium bau Mekah dan Madinah.

Sampai di rumah sudah beberapa orang jiran menunggu, dan aku menjamu mereka dengan air zam-zam, kurma, kismis dan kekacang.

Malam itu, aku mula rindu untuk bertarawikh di Mekah dan di Madinah. Aku mula merindui bacaan syahdu Imam Sudais.

Ya Allah, moga ibadah umrah ku di terima Allah.. Dari 7 umrah yang aku buat, aku telah sedekahkan 1 umrah untuk arwah ayah yang aku sayangi. Ini bermakna aku tidak dapat pahala 1 haji.

Ya Allah, mudahkanlah aku untuk menjadi tetamunya sekali lagi.

Amin.


*** Update  10/11/2010,  terima kasih dari Ustaz Azimi yang memberi maklumbalas, 1 umrah yang aku sedekahkan untuk arwah ayah, 10 pahala umrah ganjaran pahalanya.

16 Tempat Mustajab Doa

  • Ketika melihat kaa’bah
  • Ditempat melakukan tawaf
  • Disisi Multazam
  • Dibawah pancuran emas
  • Disisi Telaga Zamzam ketika tenggelam matahari
  • Dibelakang Makam Ibrahim
  • Diatas Bukit Sofa
  • Diatas Bukit Marwah
  • Ditempat sa’i
  • Di Arafah terutama selepas asar menjelang matahari hendak masuk
  • Di Muzdalifah
  • Di Mina
  • Disisi Jamrah Al-ula
  • Disisi Jamrah Al-wusto
  • Disisi Jamrah Al-’aqabah
  • Didalam Raudhah Masjid Nabawi (Madinah)

Telaga Zam-zam

Di Atas Bukit Safa
Laluan Saie Antara Safa Dan Marwah



Telaga Zam-zam Sekarang



Telaga zam-zam adalah sebagaimana telaga biasa, tetapi mempunyai riwayat yang tersendiri. Sejarahnya adalah berhubung kait dengan sejarah Nabi Ismail dan ibunya Siti Hajar (isteri Nabi Ibrahim ) yang datang ke Makkah.

Mengikut asal mula riwayat telaga ini adalah seperti berikut; Nabi Ibrahim a.s. mempunyai dua orang isteri; Siti Sarah dan Siti Hajar (ibu Nabi Ismail).

Pada satu ketika terjadi pertelingkahan antara kedua isteri tersebut sehingga Siti Sarah bersumpah tidak akan tinggal bersama-sama ibu Ismail dalam satu negeri. Kemudian turunlah wahyu kepada Nabi Ibrahim supaya baginda bersama-sama anak dan isterinya (Ismail dan Hajar) pergi ke Makkah. Di waktu itu Makkah belum didiami manusia, hanya merupakan lembah pasir dan bukit-bukit yang tandus dan tidak ada air.

Apabila mereka tiba di Makkah, mereka tinggal di bawah sepohon pokok yang kering. Di tempat inilah bangunan Kaabah yang ada sekarang. Tidak berapa lama, kemudian Nabi Ibrahim meninggalkan mereka dengan dibekalkan sekantong kurma dan sekibah air.

Siti Hajar memerhatikan sikap suaminya yang menghairankan itu lalu bertanya ;
"Hendak kemanakah engkau Ibrahim ?"
"Sampai hatikah engkau meninggalkan kami berdua ditempat yang sunyi dan tandus ini ? ".
Pertanyaan itu berulang kali, tetapi Nabi Ibrahim tidak menjawab sepatah kata jua pun.

Siti Hajar bertanya lagi;
"Adakah ini memang perintah dari Allah ?"
Barulah Nabi Ibrahim menjawab, "ya".

Mendengar jawapan suaminya yang ringkas itu, Siti Hajar gembira dan hatinya tenteram. Ia percaya hidupnya tentu terjamin walaupun di tempat yang sunyi, tidak ada manusia dan tidak ada segala kemudahan. Sedangkan waktu itu, Nabi Ismail masih menyusu.

Selang beberapa hari, air yang dibekalkan Nabi Ibrahim habis. Siti Hajar berusaha mencari air di sekeliling sampai mendaki Bukit sofa dan Marwah berulang kali sehingga kali ketujuh (kali terakhir ) ketika sampai di Marwah, tiba-tiba terdengar oleh Siti Hajar suara yang mengejutkan, lalu ia menuju ke arah suara itu.

Alangkah terkejutnya, bahawa suara itu ialah suara air memancar dari dalam tanah dengan derasnya. Air itu adalah air zam-zam.

Di sini Siti Hajar bertemu dengan Malaikat Jibril dan Jibril mengatakan kepadanya, " Jangan khuatir, di sini Baitullah ( rumah Allah ) dan anak ini (Ismail ) serta ayahnya akan mendirikan rumah itu nanti. Allah tidak akan mensia-siakan hambaNya".

Air zam-zam mempunyai keistimewaan dan keberkatan, ia boleh menyembuhkan penyakit, menghilangkan dahaga serta mengenyangkan perut yang lapar. Keistimewaan dan keberkatan itu di sebut dalam sepotong hadith Nabi yang bermaksud:, " Dari Ibnu Abbas r.a. katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: "sebaik-baik air di muka bumi ialah air zam-zam, ia merupakan makanan yang mengenyangkan dan penawar bagi penyakit ". Riwayat - At Tabrani dan Ibnu Hibban.


Makam Ibrahim


Bekas tapak kaki Nabi Ibrahim


Makam Ibrahim bukanlah kuburan Nabi Ibrahim sebagaimana dugaan atau pendapat sebahagian orang-orang kebanyakan. Ia adalah merupakan bangunan kecil yang terletak lebih kurang 20 hasta di sebelah timur Kaabah.

Di dalam bangunan kecil ini terdapat sebiji batu yang diturunkan oleh Allah dari Syurga bersama-sama dengan Hajarul Aswad. Di atas batu itu Nabi Ibrahim berdiri di waktu baginda membangunkan Kaabah dan puteranya Nabi Ismail memberikan batu kepadanya.

Batu itu dipelihara Allah, sekarang ini sudah ditutup dengan perak. Sedangkan bekas kedua tapak kaki Nabi Ibrahim panjangnya 27 cm, lintangnya 14 cm dan dalamnya 10 cm masih nampak dan jelas dilihat.

Atas perintah Khalifah Al Mahdi Al Abbasi di sekeliling batu makam Ibrahim itu telah diikat dengan perak dan dibuat kandang besi berbentuk sangkar burung.



Fakta: Kelambu Kaabah / Kiswah





  •  Ditenun daripada 670 kilogram sutera putih asli dan dicelup dengan warna hitam. Luas keseluruhannya adalah 2,650 meter persegi.
  • Mengandungi 47 kepingan empat segi bujur berukuran 14 meter kali 95 sentimeter.   Sulamannya pula menggunakan 120 kilogram benang perak bersadur
  •  Kos pembuatannya adalah 17 juta Riyal Arab Saudi. Emas 
  •  Kelambu Kaabah pertama buatan anak tempatan dipasang pada 10 Zulhijjah dan padanya tertulis perkataan, “Kelambu ini yang pertama kali dibuat di Arab Saudi atas perintah Raja Abdul Aziz bin Abdul Rahman as-Saud”.
  • Kiswah akan diganti dengan yang baru pada pagi 9 Zulhijah (hari Wuquf) setiap tahun
  • Raja Fahd bin Abdul Aziz as-Saud yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri Kedua merangkap Menteri Dalam Negeri Arab Saudi meletakkan batu asas pembinaan kilang baru Al-Kiswah pada 1972.
  • Perasmian kilang kelambu Kaabah oleh Raja Fahd yang ketika itu Putera Mahkota merangkap Timbalan Perdana Menteri Pertama Arab Saudi pada 26 Mac 1977.

Kelambu Kaabah / Kiswah



Sebelum kedatangan Islam, iaitu ketika Kaabah di bawah penguasaan kaum Quraisy, mereka menggunakan kain sutera sebagai Al-Kiswah.

Selepas penaklukan kota Makkah oleh orang Islam pada tahun ke-8 Hijrah, Rasulullah SAW memasang Al-Kiswah menggunakan kain tenunan Yaman, diikuti Khalifah Abu Bakar dan Umar Ibn Khattab. Bagaimanapun, Saidina Uthman menggunakan kain Qibti ketika pemerintahannya.

Kain sutera digunakan semula untuk Al-Kiswah pada pemerintahan Khalifah Abdul Malik Marwan.

Pada 1342 Masihi, Raja Mesir, Sultan al-Malik as-Saleh Ismail yang prihatin dengan penyediaan Al-Kiswah membeli tiga kampung, Basus, Sandabis dan Abil Ghit di daerah Qalyub untuk dijadikan wakaf bagi mendapatkan hasil tenunan membuat Al-Kiswah.

Kemudian Sultan Salim Al Usmani membeli pula tujuh kampung bagi tujuan sama.

Sewaktu Mesir diperintah oleh Mohammad Ali Basya, diwujudkan pula jawatan khusus bagi urusan pembuatan Al-Kiswah. Kelambu Kaabah yang dihasilkan di Mesir itu akan dikirim ke Makkah melalui Sinai menjelang musim haji setiap tahun.

Bagaimanapun, apabila berlaku peperangan, pemerintah Mesir tidak menghantar kelambu Kaabah pada saat tibanya musim haji seperti lazimnya pada 1924 dan 1925.

Tindakan itu mengejutkan Raja Abdul Aziz kerana Arab Saudi sudah bersedia untuk menyambut tetamu Allah menunaikan haji. Bagaimanapun, mujur ada satu kelambu Kaabah buatan Iraq yang sudah siap, masih belum dipakai dan disimpan dalam gudang. Raja Abdul Aziz segera memerintahkan kelambu itu dikeluarkan dan diletakkan pada Kaabah.

Peristiwa itu menghairankan pihak Mesir kerana Raja Abdul Aziz dapat menyiapkan kelambu Kaabah yang cukup lengkap dalam tempoh 10 hari saja. Berikutan peristiwa itu juga, Raja Abdul Aziz mengambil keputusan mendirikan sebuah kilang khusus untuk membuat Al-Kiswah.

Pada 1926, Kerajaan Mesir mengeluarkan larangan penghantaran Al-Kiswah ke Makkah membuatkan Raja Abdul Aziz segera mengumpulkan pakar kaligrafi, tukang tenun, tukang jahit dan pakar pencelup yang bertungkus lumus menyiapkan kelambu Kaabah dalam tempoh beberapa hari saja.

Raja Abdul Aziz amat berpuas hati dengan hasil kerja tangan Al-Kiswah buatan anak tempatan yang siap pada 1927 itu kerana selain diperbuat daripada kain tebal bermutu tinggi, ia diperindahkan lagi dengan tulisan kaligrafi daripada benang perak bersadur emas manakala tabir pintu Kaabah diperbuat daripada sutera asli bersulamkan benang perak bersadur emas.

Pada musim haji tahun itu dan tahun seterusnya Kaabah dipasang dengan Al-Kiswah buatan Arab Saudi.

Bagaimana pula dengan Al-Kiswah yang terpakai?

Sebelum kedatangan Islam, kelambu Kaabah ditinggalkan berlapis-lapis dan bertompok-tompok hingga buruk dan hancur sendiri sehingga timbul kebimbangan akan membebankan dan lama kelamaan berkemungkinan meruntuhkan Kaabah.

Akhirnya kelambu itu ditanggalkan dan disimpan di rumah penjaga Kaabah iaitu orang Bani Syaibah.

Sementara ada pula riwayat menyatakan pada permulaan zaman Islam, pemegang anak kunci Kaabah ketika itu, Syaibah bin Othman al-Hujubi bertanya kepada Saidatina Aisyah mengenai Al-Kiswah yang bertimbun-timbun di atas Kaabah sama ada hendak ditanggalkan dan ditanam di satu tempat supaya tidak digunakan oleh orang yang berjunub dan haid.

Aisyah menjawab: "Tidak baik dilakukan demikian, bahkan hendaklah dijualkan dan harganya itu dibelanjakan kepada jalan kebajikan dan disedekahkan kepada fakir miskin."

Ketika pemerintahan Raja Abdul Aziz as-Saud, kelambu itu diserahkan semuanya kepada Bani Syaibah dan dijual menurut budi bicaranya sendiri.

Bagaimanapun, pada awal 1960, Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan perintah menegah jualan kelambu Kaabah bagi menjaga kesucian Islam.

Mizab / Pancur Emas



Mizab atau Pancur Emas ialah nama yang diberikan kepada sebuah lohong pemancur air yang terbuka yang terletak di bahagian atas bumbung Kaabah menghala ke Hijir Ismail.

Mizab ini mula wujud sesudah pembinaan Kaabah oleh kaum Arab Quraisy dan kini merupakan salah satu binaan dari "Binaan-Binaan Kaabah Yang Penuh Kemuliaan". Mizab telah dibina dengan menggunakan logam emas tulen.

Selain kegunaan Mizab sebagai aliran air untuk membuang takungan air yang terletak di atas bumbung Kaabah tatkala musim hujan, Mizab juga diriwayatkan merupakan salah satu dari tempat-tempat mustajab(diangkat dan diterima) doa oleh Allah SWT di Makkah
Panjang keseluruhan Pancur Emas 2.53 m, jumlah bahagian tertanam dalam dinding Kaabah, 58 cm, Panjang Pancur 1.95 meter. Tinggi 23 cm dan lebarnya 26 cm.

Hijir Ismail


Hijir Ismail merupakan suatu kawasan lengkungan yang berbentuk separa bulatan yang terletak di Utara Kaabah. Pada asalnya kawasan ini merupakan tempat berteduh bagi Nabi Ibrahim sepanjang sesi pembinaan Kaabah dan menunaikan ibadah haji di Baitullah.

Seterusnya ia menjadi kandang kambing kepunyaan Nabi Ismail. Pada waktu itu juga, kawasan itu tidak menjadi sebahagian daripada binaan Kaabah.

Namun begitu, selepas pembinaan Kaabah oleh bangsa Arab Quraisy, ukuran panjangnya telah dikecilkan sebanyak 6 hasta 1 jengkal, sebahagian daripada Hijir Ismail telah dimasukkan sebagai kawasan Kaabah.

Justeru, bagi mereka yang tiada kesempatan untuk masuk ke dalam Kaabah, memadailah bagi dirinya berada di Hijir Ismail untuk beribadat. 

Dingatkan bahawa seseorang itu adalah dilarang melakukan tawaf di Hijir Ismail kerana ia merupakan sebahagian daripada Kaabah

Multazam

Multazam


Multazam adalah kawasan hadapan Kaabah di antara Hajarul Aswad dan pintu kaabah. Dikatakan Multazam adalah kawasan yang paling mustajab doa. Menurut sebahagian riwayat,  orang Quraisy sebelum Islam menjadikan Multazam tempat melafazkan sumpah terutama bagi menyelesaikan perbalahan di kalangan mereka.

Hajarul Aswad

Hajarul Aswad yang bermaksud batu hitam merupakan salah satu batu yang terdapat di penjuru Kaabah. Apabila orang yang ingin memulakan tawaf,  maka mereka hendaklah memulai tawaf  itu dengan membetulkan bahu kiri mereka ke arah Hajarul Aswad,  berpusing sebanyak tujuh kali dan berakhir di Hajarul Aswad juga.

Mencium Hajarul Aswad merupakan sunnah Nabi S.A.W. semata-mata, dan ini ditegaskan oleh Khalifah Umar Al-Khattab apabila sebelum beliau mencium batu itu (Hajar Aswad), beliau berkata-kata:
“Aku tahu, sesungguhnya engkau hanyalah batu biasa. Andaikan aku tidak melihat Rasulullah SAW menciummu, sudah tentu aku tidak akan melakukan (mencium Hajar Aswad).”

Hajarul Aswad  berasal daripada batu yang mulia (yaqut) dari syurga yang diberikan kepada Nabi Ibrahim a.s agar diletakkan di satu sudut Kaabah.  Batu yang mulia ini berasal dari syurga sejak zaman Nabi Adam a.s dan Hawa lagi, dalam keadaan putih berkilau dan bebas daripada unsur kejahatan, tetapi ia menjadi hitam kerana dosa-dosa manusia yang diserap tahun demi tahun.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Hajarul Aswad itu diturunkan dari syurga, warna lebih putih daripada susu dan dosa-dosa anak cucu Adamlah yang menjadikannya hitam.”
Semasa Nabi Ibrahim a.s  membina semula Kaabah, Malaikat Jibril a.s membawa batu itu keluar dan memberikan kepada baginda. Apabila Nabi Ibrahim siap membina Kaabah, dengan bantuan puteranya, Nabi Ismail a.s, Allah memerintahkan baginda melakukan tawaf.
Baginda tidak dapat menetapkan bilangan yang tepat pusingan dilakukannya. Baginda berasa mereka yang lain juga akan keliru. Justeru, baginda berdoa kepada Allah untuk memberikannya suatu tanda untuk digunakan bagi mengira pusingan. Malaikat Jibril membawakan batu hitam terbabit kepadanya.

Rahmat Ke Atas Kaabah


Kaabah adalah suatu binaan mulia yang penuh dengan keberkatan.


Rasulullah SAW pernah bersabda,


'' Sesungguhnya Allah menurunkan 120 rahmat ke atas Kaabah setiap hari. 60 rahmat untuk orang yang melakukan tawaf, 40 rahmat untuk orang yang solat dan 20 rahmat untuk orang yang memandangnya"


Moga amal ibadah aku di Baitullah dirahmati Allah dan moga rahmat ke atas Kaabah ini Allah hadiahkan kepadaku.


Aku bersyukur sangat.

Pembinaan Kaabah



Di Dalam Kaabah


Mengikut ahli sejarah Islam, Kaabah dibina buat pertama kalinya oleh malaikat.

Allah memerintahkan malaikat membina Kaabah di tempat `buih' di mana bumi ini mula dijadikan.

Selepas itu Kaabah dibina atau dibaiki dari semasa ke semasa,membabitkan pelbagai peringkat. Antaranya:

· Binaan kedua: Nabi Adam;
· Binaan ketiga: Nabi Syith;
· Binaan keempat: Nabi Ibrahim;
· Binaan kelima: Kaum Amaliqah;
· Binaan keenam: Kaum Jurhum;
· Binaan ketujuh: Qusai bin Kilab (Abad keempat Masihi);
· Binaan kelapan: Abdul Mutalib;
· Binaan kesembilan: Kaum Quraisy (Tahun 605 Masihi ketika Rasulullah berusia 35 tahun);
· Binaan ke-10: Abdullah ibnu Zubair (Tahun 64 hijrah);
· Binaan ke-11: Hajjaj bin Yusuf al-Thaqafi (Tahun 74 hijrah/693 Masihi);
· Binaan ke-12: Sultan Murad Khan (Tahun 1040 hijrah/1630 masihi).

Binaan keempat iaitu oleh Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail adalah peringkat paling penting dalam sejarah pembinaan Kaabah.

Selepas Nabi Ibrahim meninggalkan isterinya Siti Hajar bersama Nabi Ismail di Makkah, baginda pulang ke Syam.

Nabi Ibrahim selepas itu menjenguk anak dan isterinya sebanyak tiga kali.

Pada kali ketiga Nabi Ibrahim ke Makkah dengan membawa perintah Allah supaya mendirikan Kaabah dengan bantuan anaknya Ismail.

Allah memerintahkan Nabi Ibrahim membina Kaabah di tempat asalnya iaitu di atas anak bukit kecil berhampiran perigi Zamzam. Di kawasan itu ada timbunan batu-batu yang berkemerahan tanahnya.

Selepas Nabi Ismail bersetuju untuk membantu Nabi Ibrahim membangunkan Kaabah, maka Nabi Ibrahim bersama anaknya mula membina Kaabah, dengan berpandukan kepada tempat yang ditunjukkan Allah supaya Baitullah itu dibina.

Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, mula mendirikan Kaabah dengan bantuan Jibrail. Nabi Ibrahim menggali tanah untuk dibuat asas binaan hingga sampai ke tapak asal binaan Nabi Adam.

Menurut riwayat, batu yang digunakan untuk binaan itu didatangkan dari enam bukit iaitu Bukit Abi Qubais, Bukit Tursina, Bukit al-Qudus, Bukit Warifan (terletak antara Makkah dan Madinah), Bukit Ridwan (antara Madinah dan Yanbu') dan Bukit Uhud.

Ada dua riwayat yang mengatakan bahawa Allah meninggikan tapak Baitullah sebelum dibina oleh Nabi Ibrahim dan anaknya supaya ia tidak terkena bala bencana taufan sewaktu taufan besar melanda.

Satu riwayat lagi mengatakan bahawa tapak Baitullah itu runtuh ketika taufan besar seperti runtuhnya binaan besar yang lain. Selepas peristiwa taufan besar, tidak ada orang lain yang mulakan pembinaannya semula, kecuali Nabi Ibrahim dan anaknya.

Dalam proses kedua-dua beranak itu membina Baitullah, Nabi Ibrahim menyusun naik batu sementara Nabi Ismail pula mengutip batu besar.

Hal ini seperti firman oleh Allah yang bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama anaknya Nabi Ismail meninggikan binaan (tapak) Baitullah (Kaabah) sambil kedua-duanya berdoa dengan berkata, wahai Tuhan kami! Terimalah, daripada kami amal kami sesungguhnya Engkau amat mendengar lagi Amat Mengetahui." (Surah al-Baqarah, ayat 127).

Apabila binaan sudah meninggi, Nabi Ismail menghulurkan batu besar yang cukup tinggi dan diambil oleh Nabi Ibrahim dan membina Baitullah hingga siap pembinaannya.

Dengan kehendak Allah, sebaik Nabi Ibrahim meletakkan kakinya di batu besar berkenaan maka terlekatlah tapak kaki Nabi Ibrahim, seperti dapat dilihat hingga hari ini dekat Baitullah.

Tapak kaki Nabi Ibrahim, yang kini dikenali sebagai Maqam Ibrahim, adalah suatu tanda kebesaran Allah.

Bahagian Kaabah yang dibina Nabi Ibrahim mempunyai dua penjuru iaitu penjuru Yamani dan penjuru Hajar al-Aswad. Kawasan Hijir Ismail melengkung tanpa penjuru seperti sekarang. Keadaan itu kerana Hijir Ismail menurut binaan Nabi Ibrahim termasuk dalam binaan Kaabah.

Menurut sejarah, binaan seperti sekarang ini adalah binaan yang dibuat oleh Quraisy.

Berikutan masalah kekurangan perbelanjaan, mereka mengeluarkan Hijir Ismail daripada Kaabah, iaitu Kaabah dikecilkan 6 1/4 hasta.

Kaabah yang dibina oleh Nabi Ibrahim tiada beratap, mempunyai dua pintu iaitu satu di sebelah matahari naik (seperti yang ada sekarang) dan satu lagi sebelah matahari jatuh.

Kedua-dua pintu itu rapat ke tanah, dan tiada berdaun pintu. Sebuah perigi juga disediakan di sebelah kanan pintu yang dijadikan sebagai tempat menyimpan barang hadiah kepada Kaabah.

Singgah Ke Jeddah


Makam Hawa

Masjid Terapung Di Tengah Laut Merah
Rombongan kami juga di bawa melawat ke Jeddah. Jeddah adalah sebuah bandar besar di Arab Saudi dan paling hampir dengan Tanah Haram iaitu kota Mekah. Sekiranya para jemaah haji mahupun umrah yang datang dari seluruh pelusuk dunia, kapal terbang akan mendarat di Lapangan Terbang King Abdul Aziz. Perjalanan dari Jeddah ke kota Mekah menaiki kereta, teksi atau bas hanya memakan masa lebih kurang 1 jam perjalanan.


Di Jeddah kami telah di bawa ke makam Hawa iaitu makam isteri Nabi Adam a.s.. Malangnya kami hanya dapat melihat dari luar kawasan saja kerana pelawat tidak dibenarkan masuk dalam kawasan makam Hawa.


Kami juga dibawa membeli belah dan juga melawat kebun kurma. Barulah aku tahu bagaimana rupa pokok kurma. Seakan-akan pokok kelapa sawit yang berada di Malaysia.


Kami bergerak pulang ke Madinah dan berhenti untuk solat Isyak di Masjid Ar Rahmah atau juga dikenali Masjid Terapung. Di sepanjang perjalanan kami melalui Laut Merah, tetapi di sebabkan waktu malam kami tidak dapat menikmati keindahan Laut Merah.


Berakhirlah perjalanan ziarah kami di Madinah dan Jeddah..

Isnin, 8 November 2010

Ziarah Di Kota Madinah (3) - Arafah


Tugu yang dibina untuk memperingati pertemuan Nabi Adam as dan Hawa
Jamrah Aqabah

Mendaki Jabal Rahmah


Jamrah
Padang Arafah


Perjalanan kami seterusnya menuju ke Padang Arafah iaitu tempat dimana umat Islam menunaikan rukun wukuf. Wukuf di padang Arafah merupakan salah satu dari rukun haji. Padang Arafah merupakan daerah terbuka  yang luas yang terletak di sebelah timur luar kota suci Mekah.

Berada di Arafah dalam suasana panas terik memberi peringatan awal kepada umat Islam mengenai keadaan di padang Mahsyar di mana semua manusia dihimpunkan untuk menerima pengadilan berdasarkan amalan makruf dan mungkar mereka semasa di dunia.

Kami seterusnya mendaki Jabal Rahmah yang terletak dalam kawasan padang Arafah. Di puncak bukit inilah Rasulullah SAW pernah menyampaikan khutbah, dan di sini juga dipertemukan Nabi Adam dan Hawa setelah terpisah beratus tahun lamanya.

Aku tidak melepaskan peluang berdoa kerana Jabal Rahmah adalah salah satu tempat mustajab doa. Aku juga tidak melepaskan peluang bergambar di atas bukit ini di belakang tugu putih yang dibina sempena memperingati pertemuan Nabi Adam dan Hawa.

Kami juga di bawa melawat ke tempat dimana jemaah haji melontar Jamrah. Pada 10 Zulhijjah, jemaah haji hanya perlu melontar di Jamrah Al Aqabah sahaja tetapi pada hari-hari tasyrik seterusnya mesti melontar di ketiga-tiga jamrah bermula dengan Jamrah Al Ula, yang kecil diikuti Jamrah Al Wusta yang bersaiz sedang dan yang terakhir sekali Jamrah Al Aqabah.

Mutawif yang mengiringi kami menceritakan kekuasaan Allah dimana walaupun berjuta-juta batu dilontar ke jamrah, tetapi kolah jamrah tidak pernah penuh.

Lalat  juga tidak kelihatan walaupun beratus-beratus penyembelihan unta dilakukan di Padang Arafah.

Subhanallah...

Ziarah Di Kota Madinah (2) - Hudaibiyah

Tinggalan Sejarah Masjid Hudaibiyah

Bas yang kami naiki menuju ke Hudaibiyah, tempat dimana berlakunya Perjanjian Hudaibiyah dan Bai'atul Ridwan. Perjanjian Hudaibiyah berlaku antara Quraisy Mekah dan umat Islam yang diketuai Rasulullah di Hudaibiyah. Perjalanan Rasulullah bersama 400 orang Islam dari Madinah ke Mekah untuk menunaikan umrah telah terhalang di Hudaibiyah.

Antara isi-isi perjanjian itu ialah umat Islam tidak dibenarkan menunaikan umrah pada tahun itu tetapi dibenarkan pada tahun berikutnya, gencatan senjata selama 10 tahun , umat Islam dan kafir Quraisy bebas membuat perjanjian dengan mana-mana kaum.


Selesai rundingan Rasulullah memaklumkan kepada sahabat supaya bercukur/bergunting untuk menamatkan ihram kerana umat Islam tidak dibenarkan masuk ke Mekah pada tahun berkenaan. tetapi para sahabat enggan mengikut kata Rasulullah, ada yang marah dan sebagainya seolah-olah tidak percaya apa yang di arahkan oleh baginda.

Rasulullah kemudiannya bertemu dengan isterinya lalu isterinya mencadangkan supaya baginda keluar dari khemah dan berdiri di tengah-tengah sahabat lalu bergunting. Baginda menerima cadangan itu dan bergunting di tengah-tengah sahabat. Setelah melihat apa yang dilakukan oleh Rasulullah barulah sahabat tahu bahawa arahan baginda supaya bergunting adalah muktamad lalu mereka pun bergunting dan kembali ke Madinah.

Masih ada lagi batu-batu kesan tinggalan Masjid Hudaibiyah dan sudah tentulah kami tidak melepaskan peluang untuk bergambar sebagai kenangan.


Ziarah di Kota Madinah (1)

Masjid Qiblatain dimana Rasulullah SAW mendapat wahyu dari Allah untuk menukar arah Kibalt dari Masjidil Aqsa ke Masjidil Haram sewaktu beliau hendak bersolat
Masjid Jumaat iaitu masjid dimana solat Jumaat kali pertama dilakukan setelah hijrah

Masjid Quba iaitu masjid yang pertama dibina oleh Rasulullah
Banyak tempat-tempat bersejarah di Madinah yang telah dipakejkan untuk program ziarah di Madinah. Aku rasa cukup bertuah kerana aku dapat menjejaki sejarah Rasulullah SAW dan para sahabat.


Rombongan kami telah dibawa ke Masjid Quba', iaitu masjid pertama yang didirikan oleh Rasulullah SAW. Kami telah dipesan supaya berwudhu di hotel kerana Rasullullah pernah bersabda barangsiapa yang berwudhu dari rumah dan kemudian pergi ke Masjid Quba' untuk solat, pahalanya sama seperti mengerjakan satu umrah..


Nasibku agak malang. Wudhu yang aku simpan sepanjang perjalanan telah terbatal semasa aku menghulurkan kamera kepada seorang jemaah lelaki yang sukarela menjadi cameraman kami.. Kesalan yang amat sangat kerana aku telah terlepas peluang yang cukup berharga ini. Terpaksalah aku mengambil wudhu sekali lagi dan melakukan solat sunat dalam Masjid Quba. Di kaki lima masjid, aku membeli sehelai tudung sebagai tanda kenangan aku pernah sampai di masjid ini.


Di sepanjang perjalanan, kami hanya singgah sekejap sahaja di tempat bersejarah, dan sekiranya tiada keperluan untuk solat sunnat, kami hanya berkumpul setempat dan mutawif yang mengiringi akan menceritakan sejarah tempat-tempat tersebut. Selalunya kami akan bergambar beramai-ramai.


Masjid Khandak atau pun lebih dikenali dengan nama Masjid 7 adalah terdiri  dari Masjid Ali, Masjid Abu Bakar, Masjid Al Farisi dan Masjid Al Fath... Masjid ini dibina semasa Perang Khandak dimana dalam Perang Khandak ini tentera Islam telah menggali parit untuk menghalang gabungan tentera musyrikin, yang terdiri dari musyrikin Mekah dan beberapa suku kaum Yahudi iaitu Bani Nadhir, Bani Quraizah dan Bani Qainuqa. Oleh kerana tentera musyrikin bergabung maka perang ini juga dinamakan Perang Ahzab.


Asalnya masjid ini ada 7, tetapi yang digunakan hanya 4 sahaja pada waktu itu. Kami hanya melihat dari jauh kesan-kesan tinggalan Masjid 7 ini.


Kami juga singgah sebentar di Masjid Qiblatain dan juga Masjid Jumaat. Di Masjid Qiblatain inilah Rasullulah yang sedang bersolat menerima wahyu supaya mengubah arah kiblat dari Masjidil Aqsa ke Masjidil Haram. Maka itu, masjid ini juga dikenali dengan masjid 2 kiblat.


Asal nama Masjid Jumaat pula ialah kerana di masjid inilah solat Jumaat kali pertama sesudah hijrah dilakukan.

Taman Raudhah

Makam Rasulullah
Taman Raudhah

Raudhah adalah satu tempat di dalam Masjid Nabawi yang berada di antara rumah nabi ( sekarang ini dikenali sebagai makam Rasulullah) sampai ke mimbar masjid. Di situlah dahulunya Nabi Muhammad SAW membacakan wahyu dan mengajar kepada para sahabat.


Sejumlah ulama meyakini Raudhah adalah sebenarnya Taman Syurga di dunia, Ketika hari kiamat nanti, Taman Raudhah  ini akan dipindahkan oleh Allah ke syurga. Dan tidak hairanlah, Taman Raudhah ini menjadi rebutan manusia dari seluruh dunia untuk berdoa dan menjadi sebahagian dari Taman Syurga.


Untungnya jemaah lelaki kerana mereka mempunyai jadual waktu yang panjang untuk berdoa dan bersolat dalam Taman Raudhah manakala  masa untuk jemaah perempuan  terlalu terhad.


Aku dapat masuk ke Taman Raudhah setelah penat berebut dengan jemaah lain. Taksubnya jemaah dari negara lain...mereka menangis, merayu, merintih dan tidak mahu berganjak dan ini menyebabkan peluang jemaah lain untuk masuk ke dalam menjadi sukar. Aku dapat masuk ke Taman Raudhah setelah kepalaku di siku dan aku ditolak.. Aku hanya berdiri dan berdoa dengan khusyuk kerana Taman Raudhah adalah salah satu tempat mustajab doa..


Keluar dari Taman Raudhah, aku merasa sedikit menyesal... kenapa aku tidak bersolat tadi... sekurang-kurangnya aku solat berdiri????

Ahad, 7 November 2010

Kasihan Makcik Itu..

Selesai solat Tarawih, aku dan Kak Ina bersaing pulang ke hotel.. Hotel kami berhadapan dengan Masjid Nabawi.. Sepelaung... dekat sangat.. Di pintu pagar masjid, ada suasana yang agak kecoh.. Seorang polis perempuan sedang bercakap dengan jemaah lain.. Kami pun menjengah sekejap untuk melihat apa yang berlaku. Polis wanita ini  tidak pandai berbahasa melayu, terpaksa pula kami berinteraksi dalam Bahasa Inggeris..


Alkisahnya, seorang makcik dari kumpulan lain telah kehilangan rakan-rakannya... Kasihannya makcik itu.. Berbuka dengan kurma saja.. nak balik hotel tidak tahu di mana hotel penginapan... belum lagi menjamah nasi .. Makcik ini berumur dalam lingkungan  56 tahun, berasal  dari Pahang... Dia menangis saja .. Menurut ceritanya, dia pergi mengambil wudu' seorang diri  sebelum  solat maghrib tadi dan bila dia nak berpatah balik ke tempat asal, makcik ini sudah tersesat.. tak tahu di mana tempat dia asalnya..


Memang aku akui, sekiranya orang tua, tidak pandai membaca, mereka akan tersesat, sebab ruang masjid kelihatan sama saja hanya dipisahkan dengan tiang-tiang... 


Dengan segera aku menarik tangan makcik ini dan aku bawa balik ke hotel.. sampai di hotel aku mencari Ustaz Mahfuz dan memaklumkan yang aku akan tumpangkan makcik ini di bilik aku.. Aku mencari Haji Ismail, bertanyakan sekiranya ada lebihan makanan untuk makcik ini berbuka puasa.. Ada rezeki makcik ini.. Aku cuma dapat membayangkan sekiranya dia adalah mak aku yang tersesat.. macam mana perasaan aku sebagai anak..


Malam itu aku tidur di atas karpet . Aku berjanji pada makcik ini, esok subuh kami akan bantu dia mencari ahli kumpulannya.. Mudah juga.. kerana telekung makcik ini berjalur kuning... Aku akan cari kumpulan telekung berjalur kuning.. Tapi, kesian makcik ini... dia tak boleh tidur... dia menangis.. dah lah tadi sedikit sangat makanan yang dijamahnya.... aku mengerti... makcik ini dalam keadaan yang takut walau berada di tempat yang selamat..


Esoknya , pada pukul 5 pagi kami pun bergeraklah ke Masjid Nabawi, dan aku tak putus-putus berdoa semoga makcik ini diketemukan dengan ahli kumpulannya.. Aku dudukkan makcik ini di saf, dan berpesan supaya makcik ini tidak ke mana-mana kerana aku mahu mencari ahli kumpulannya.. belum sempat aku melangkah, tiba-tiba datang 5 orang makcik-makcik memakai telekung berjalur kuning..


Ya Allah.. menangis mereka berpelukan , bertemu kembali..


Aku... bersyukur yang amat sangat kerana Allah telah mengizinkan aku membantu makcik ini..


Betullah kata Haji Ismail... ''Salamiah ni, Haji perhatikan...budak baik.....''


Pertolongan yang aku berikan ikhlas dari hati aku.. Mungkin ini ujian Allah untuk aku... Sehingga hari ini, aku sendiri tidak tahu nama makcik itu...