Selasa, 24 Mei 2011

Diibaratkan Air Dicincang Takkan Putus...


Pasangan suami isteri (Arwah Isa Jamek dan Kadariah bt Naik)

Arwah Sainal Isa (kiri) dan Abu Hassan Isa

Hazizan Isa dan Abdul Manan Isa

Noor Rohaya Isa dan Nor Saadiah Isa

Abdul Malek Isa dan Nor Ismah Isa
Md Zaki Isa dan Salamiah Isa

Sijil Mati Arwah Sa'adon, Mohd Satar dan Zamri (abang-abang yang tidak sempat aku kenal)


Arwah Ayah (kiri barisan belakang)
Hari Raya terakhir bersama Ayah
Pangkor
Tasik Cini

Raya 2008 di rumah aku di Bt Gajah
Sebelum Solat Raya di Bt Gajah

Raya 2010 yang meriah di Sungkai
Mohon ampun cucu kepada opah


Bersama cucu-cucu


Pertemuan semula bersama anak-anak Hazizan Isa

Lengkap sudah keluarga yang dimiliki oleh pasangan Arwah Isa Jamek dan juga Pn Kadariah Naik dengan lahirnya zuriat-zuriat keturunan yang ramai. Walaupun hidup tidak senang seperti orang lain sehingga ada anak-anak yang tidak habis sekolah, tetapi ayah dan emak tidak pernah bersungut dalam membesarkan kami adik beradik.

Sekiranyalah ayah mengikut kata nasihat abang-abangnya dan juga atuk yang melarang ayah berhijrah ke Felda Sg Klah sebagai peneroka, mungkin kami hidup dalam keaadaan susah dan melarat. Semasa itu  ayah dan mak hanya melombong bijih dan menoreh getah sebagai punca pendapatan. Memang telah tertulis rezki untuk kami adik beradik apabila penghijrahan ayah dan mak ke Felda sebagai peneroka pertama, kehidupan kami tidaklah senang dan tidaklah juga melarat.

Ayah mementingkan pelajaran anak-anak, mungkin untuk menebus kesalan dihatinya kerana terpaksa memberhentikan abang-abang ku meneruskan persekolahan atas masalah kesempitan hidup. Arwah abang Ali adalah anak yang pandai dan sekiranyalah ketika itu beliau berjaya menghabiskan zaman persekolah, aku menjangkakan Abang Ali adalah seseorang berpengaruh semasa hayatnya.

Mak ada bercerita semasa berhijrah ke Felda Sg Klah, kakak aku Nora ketika itu baru saja duduk, mungkin belum setahun usianya bermakna tarikh mereka menjadi peneroka ialah pada awal tahun 1967. Tiada lagi gambaran bentuk senireka rumah peneroka lama kerana kebanyakan antara peneroka-penoraka  telah mengubahsuai rumah masing apabila anak-anak bertambah ramai dan menerima penambahan rezki dari Allah SWT. Ini bermakna selepas dari Nora, lahirlah Saa, Malek, Cikno, Adi dan aku di rumah peneroka ini.

Tidak banyak yang aku tahu kisah kesusahan mak dan ayah dahulu. Aku anak yang ke 13, dan aku juga tidak mengenali ketiga -tiga abang aku yang meninggal dunia semasa kecil akibat demam panas. Aku hanya menyimpan surat kematian mereka sahaja.

Anak sulong ayah adalah Arwah Abang Ali  yang dilahirkan pada 01/10/1952. Sebagai anak sulong, abang melalui zaman kesusahan semasa kecilnya. Umur  abang juga tidak panjang apabila ajal menjemput beliau pada usia beliau 51 tahun . Beliau meninggal dunia pada 18hb Februari 2004 di Hospital Besar Ipoh akibat dari kegagalan buah pinggang. Pernah berkahwin dengan arwah Kak Piah dan malangnya ajal menjemputnya awal dan meninggalkan 4 orang anak yang kecil iaitu Azura, Nurain, Nurhan dan Rahimi kepada arwah abang. Agak lama juga abang menduda dan akhirnya bertemu jodoh dengan Kak Salmah yang akhirnya juga menjadi balu dan mempunyai zuriat sendiri seramai 5 orang iaitu Lokman, Siti Aisyah, Ilyas( meninggal dunia selepas dilahirkan), Zulfa dan Muslim. Sebagai penyambung keturunan, arwah abang mempunyai 5 orang cucu iaitu 4 dari Nurhan manakala seorang dari Rahimi.

Anak kedua ayah lahir pada 03/09/1954 yang diberi nama Abu Hassan. Punyalah elok nama beliau tetapi tidak tahulah pulak kenapa nama gelaran Judin kekal sehingga sekarang. Berkahwin dengan Kak Asmah yang berasal dari Felda Trolak Utara dan dikurniakan 6 orang cahaya mata iaitu Mawar, Aisyah, Shikin, Idris, Fatihah dan juga Aiman. Kini mereka menetap bersebelahan rumah dengan mak kak Asmah, dimana abang Judin telah membina sebuah rumah hasil sifat berjimat cermat beliau. Di samping itu dapatlah juga menjenguk orang tua yang makin lama makin nampak keuzuran mereka. Mempunyai seorang menantu dan bakal cucu dan juga bakal menerima menantu baru tidak lama lagi.

Pada tahun 1956, lahirlah pula anak ke 3, iaitu Zamri malangnya pula telah meninggal dunia pada usia 11 bulan akibat demam panas. Tidak banyak juga cerita yang aku tahu cuma pemergian arwah Zamri ini memberi syafaat kepada ayah dan mak di sana.

Hazizan bin Isa pula lahir pada 20/05/1958 sebagai anak yang ke empat. Aku masih ingat lagi semasa kecil aku agak rapat dengan isterinya iaitu Kak Ani tetapi malangnya jodoh mereka tidak panjang kerana abang ku ini kerap sakit. Dengan Kak Ani lahirlah zuriat-zuriat beliau iaitu, Helmy, Rais, Rabiah, Mustaqim, Solehah dan juga Hawa. Agak lama juga kami terputus hubungan dengan mereka tetapi dengan adanya facebook , alhamdulillah hubungan yang terputus agak lama ini telah berjaya dijejaki semula. Abangku ini menetap di Felda Cini 5, Pahang dan telah bernikah dengan Kak Tina, iaitu anak peneroka di Felda Cini 3 dan telah dikurniakan seorang cahaya mata. Sebagai penyambung keturunan, beliau telah mempunyai 2 orang cucu iaitu anak dari Rais. Aku kagum dengan ketabahan Kak Ani dalam membesarkan anak-anak dalam kepayahan tetapi akhirnya ganjaran dari Allah SWT iaitu anak-anak yang berbudi kepadanya kembali.

Pada tahun 1964, ayah menerima tamparan yang hebat apabila 2 dari anaknya telah meninggal dunia akibat demam panas. Arwah Mohd Sattar iaitu anak yang ke 5 dilahirkan paa tahun 1960 meninggal dunia pada usia 4 tahun iaitu pada 26/04/1964. Anak yang ke 6 pula iaitu Sa'adon yang dilahirkan pada tahun 1963 pula mengikuti arwah abangnya pada 2/12/1964 pada usia arwah 1 tahun 7 bulan. Aku tidak ingat siapakah yang menceritakan pada aku bahawasanya pada ketika itu ayah mengalami saat kesedihan yang amat sangat atas kehilangan dua orang anaknya akibat demam panas.

Pada tahun 1964 juga iaitu pada 10/08/1964, lahirlah anak yang ke 7 iaitu Abdul Manan. Semasa Manan kehilangan abang-abangnya, beliau baru saja lahir ke dunia dan mungkin akibat dari kehilangan 2 anak ini, jadi ayah memanjakan Manan. Aku mendapat tahu cerita pun dari bapa-bapa saudara yang mana ayah selalu membawa Manan naik motor Yamahanya ke mana dia pergi berbanding dengan 4 abangnya yang lain. Manan pula adalah anaknya yang pertama belajar di sekolah asarama penuh iaitu di Sekolah Tuanku Abdul Rahman ( STAR) Ipoh dan akhirnya melanjutkan pelajaran ke Kanada. Bangga sangat ayah aku pada ketika itu dan aku pun sebenarnya tidak mengenali Manan kerana kami terpisah semasa aku berumur 6 tahun. Cuma masih kekal dalam memori aku saat beliau berangkat, beliau ada berpesan pada mak, supaya tidak membuka beg yang ditinggalkan dibawah katil dan aku mengikut ayah dan mak menghantar beliau ke Lapangan Terbang Subang. Perginya beliau ke Kanada, tidak pulang-pulang hampir 13 tahun lamanya.

Pulangnya ke Malaysia mungkin kerana berkat doa mak dan solat hajat dari arwah Abang Ali dan juga pulangnya Manan ke tanah air memberi peluang kepadanya untuk berbakti pada ayah yang mula sakit-sakit dan akhirnya terlantar sakit tidak sedarkan diri. Beliaulah yang menguruskan ayah dihospital dan dirumah sehingga habis nyawa ayah.

Manan berkahwin dengan Kak Anor yang merupakan kakak angkatnya iaitu cucu saudara kepada arwah Yusof Kupon dan Opah Cik. Setia Kak Anor menunggu Manan pulang dan akhirnya telah ditakdirkan ada jodoh mereka dan dikurniakan zuriat iaitu Abid, Dini, Qarna, Yuha, Husna, Kamil dan Iman. Masih aku ingat lagi , aku selalu bermalam dimana saja mereka tinggal seperti di Tg Malim, Kuala Kubu Bharu, Gombak, Taman Alam Megah dan Seremban. Kini mereka mempunyai rumah kediaman untuk berteduh di Rembau.

Sudah tertulis walau pun perkahwinan atas dasar cinta tetapi seandainya ditakdirkan Manan mempunyai 2 orang isteri, tiada siapa yang dapat menghalangnya. Beliau bertemu jodoh kali keduanya dengan kakitangannya sendiri dan dikurniakan 2 orang zuriat perempuan iaitu Diya dan Syasya.  Manan kini adalah Pengarah Urusan Syarikat  dan beliau juga mempunyai kilang sendiri di Rembau.

Anak yang ke 8 pula iaitu Noor Rohaya Isa (Nora) lahir di Kg Kinjang  pada 02/05/1966. Lahirlah seorang puteri setelah puas mak aku menunggu untuk melahirkan zuriat perempuan. Mungkin kerana 7 orang di atasnya adalah lelaki, Nora menunjukkan lebih sifat kelakian berbanding sifat perempuan. Berambut pendek,ligat dan mempunyai tenaga seperti lelaki seperti memikul buah kelapa sawit, menoreh getah, mengorek lubang jamban, mengecat rumah dan berbagai-bagai kerja yang lasak dilakukan. Kerja-kerka seorang perempuan seperti mengemas dan memasak memang ditolak tepi. Nora juga cemerlang dalam pelajaran dan pernah menjadi pelajar terbaik di Sekolah Mennengah Sungkai dan akhirnya melanjutkan pelajaran di Ohio, Amerika Syarikat. Seperti juga Manan, beliau juga tidak balik ke Malaysia sebagaimana yang sepatutnya kerana telah bertemu jodoh di sana.

Kepulangan beliau ke tanah air bersama 4 orang anaknya menjadikan rumah kami menjadi tumpuan juga. Ialah anak-anaknya orang Malaysia tetapi cakapnya pelat, badan putih melepak berbintat-bintat tidak tahan dengan nyamuk dan cuaca panas di Malaysia. Nora menyambung pelajaran dalam bidang perguruan dan sekarang ini beliau adalah seorang seorang guru dan mepunyai 6 orang zuriat iaitu Usaid, Sarah, Usamah,Saffiyah, Sumaiyah dan juga Syaima. Jodoh beliau yang dibina atas dasar cinta juga tidak kekal dan kini beliau berhempas pulas membesarkan anak-anak.

Selepasa Nora, lahirlah anak yang ke 9 iaitu Noor Saadiah Isa pada 14/10/1967 yang mempunyai ciri-ciri sifat keperempuanan berbanding Nora. Rajin mengemas dan jugaa memasak dan pada beliaulah mak sandarkan harapan untuk menguruskan rumahtangga. Beliau juga pandai sebenarnya tetapi kerana jodohnya cepat, Saa tidaklah menyambung pelajarannya walau ketika itu beliau telah menerima temuduga untuk jawatan guru. Kecewa lagi ayah ketika itu setelah ayah menyatakan rasa kecewanya apabila Manan dan Nora tidak pulang sebagaimana yang diharapkan. Saa bertemu jodoh dengan Wahab dan dikurniakan anak kembar tetapi malangnya salah seorang darinya meninggal dunia semasa dilahirkan. Anak-anak beliau adalah Qofarudin, Farah, Farhana, Farhan dan juga yang kecil sekali lupa pula namanya. Saa sekarang ini menetap di Felda Lakum, Pahang sebagai surirumah.

Anak yang ke 10 adalah Abdul Malek Isa lahir pada tahun 1969, seorang lelaki yang tersepit ditengah adik beradik perempuan. Agak garang semasa zaman sekolahnya dan melalui namanya dan tabiatnya, wujudlah rumah burung merpati dan reban ayam. Beliau 'rasi' dengan pemeliharaan binatang dan salah satu minatnya yang kekal sehingga sekarang ialah 'memikat' burung. Beliau memohon untuk menjadi askar dan telah ditemukan jodoh dengan Kak Noraini iaitu anak peneroka Felda Trolak Utara dan mereka telah dikurniakan zuriat iaitu Firdaus, Nadiah, Najmi, Nabilah dan juga Nabahah. Kini mereka menetap di Kg Muhibbah Sungkai sebagai askar pencen dan juga bekerja dengan Manan untuk meneruskan kehidupan membesarkan anak-anak yang masih kecil.

Anak yang ke 11 pula adalah Nor Ismah Isa (Cikno) yang lahir pada 11/01/1971. Semasa zaman sekolahnya beliau selalu sakit-sakit, kerap pengsan di sekolah dan selalu nampak benda-benda ghaib yang kita tidak nampak. Agak sukar juga untuk mengeluarkan sesuatu dari badannya sehinggakan mak pernah bercerita dahulu, semasa berubatkan beliau, mak sudah membayangkan akan membawa jenazahnya pulang. Melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan pernah menjadi akauntan bank tetapi meletakkan jawatan untuk menjadi seorang guru.  Mempunyai seorang zuriat iaitu Raihanah dan agak malang juga kerana jodoh beliau hanya seketika cuma. Kini setelah lama hidup sebagai ibu tunggal beliau bertemu jodoh sekali lagi dan didoakan kali ini jodoh beliau kekal..

Anak yang ke 12 adalah Md Zaki Isa (Adi) yang lahir pada 02/03/1973. Aku membesar bersama beliau kerana jarak umur kami yang rapat. Selepas ayah meninggal dunia, beliaulah yang mengambil alih tanggungjawab menoreh getah. Berkahwin dengan Zaharatulaini dan dikurniakan 2 orang zuriat lelaki yang aggresif iaitu Naim dan juga Amir dan seorang lagi bakal lahir tidak lama lagi. Merekalah yang menguruskan rumah dan juga 8 ekar kebun getah manakala hasil dari 2 ekar kebun sawit diberi kepada abang Judin sekeluarga.

Aku adalah anak yang ke 13, tidak pernah merasa susah sebagaimana abang-abang dan kakak-kakak dahulu semasa kecilnya tetapi melalui zaman susah apabila dewasa, banyak memendam rasa, bersusah payah untuk senang dan terlalu banyak berkorban untuk orang lain. Aku kini sendiri, sebatang kara di Batu Gajah kerana aku sendiri sudah tidak tahu hendak ke mana lagi apabila rumahtangga yang kubina atas dasar cinta juga musnah ditengah jalan tanpa zuriat peneman hidup. Hanya Allah yang tahu hati ini, dan aku redha dengan semua ujianNya kerana Allah masih sayangkan diriku, memberi peluang kepadaku untuk menebus kesilapan-kesilapan lalu.

Kini, mak mempunyai 9 orang anak yang masih setia kepadanya , 49 orang cucu dan juga 7 orang cicit. Walaupun pernah ada perselisihan faham antara kami adik beradik tetapi kami diibaratkan AIR DICINCANG TAK AKAN PUTUS... dan semoga hubungan adik beradik ini kekal dan didoakan suatu hari nanti kami semua berjaya dikumpulkan serentak, Insya Allah...


Isnin, 16 Mei 2011

Untuk Semua Yang Bergelar Cikgu


Kami Guru Malaysia
Berikrar dan berjanji
Mendidik dan memimpin
Putra putri negara kita
Pada Seri Paduka
Kami tumpahkan setia
Rukun Negara kita
Panduan hidup kami semua

Di bidang pembangunan
Kami tetap bersama
Membantu, membina
Negara yang tercinta
Amanah yang diberi
Kami tak persiakan
Apa yang kami janji
Tunai tetap kami tunaikan
Lagu & Lirik : Hashim Ahmad

SELAMAT HARI GURU kepada ke semua guru-guruku, iaitu Cikgu Dee, iaitu guru yang mengenalkan aku huruf ABC (TADIKA), Cikgu Noraini (Darjah 2), Cikgu Zainun (Darjah 1), Cikgu Zul (aku admire beliau) (darjah 5), Cikgu Ruhizah (Darjah 4), Cikgu Laili (Darjah 5), Ustazah Maizon, Ustazah Maimun (mengajar aku solat), Ustaz Majid, Cikgu Kamarudin (GB), Cikgu Yang Mazni (Selamat Bersara), Cikgu Rosnaini, Cikgu Maimona, Cikgu Sazali, Cikgu Sirujuddin, Cikgu Salim, Cikgu Salmi, Cikgu Wong, Cikgu Nordin Arshad (Pengetua) dan ke semua bekas-bekas guru yang namanya tidak aku sebutkan di sini. Jasamu guru, terpahat dihati dalam mendidik aku menjadi insan yang berguna di bumi ALLAH ini.

SELAMAT HARI GURU kepada rakan-rakan zaman persekolahanku iaitu Cikgu Shaaini, Ustaz Romizamrul, Cikgu Maswafi, Cikgu Normala,Cikgu Siti Rohani, Cikgu Syima, Cikgu Norlaila, Cikgu Rosnah, Cikgu Nor Afizah dan ramai lagi, sanak saudaraku ku dan juga pelanggan-pelangganku yang telah berikrar dan berjanji untuk mendidik putra putri negara kita. Anda semua GURU-GURU yang hebat...


Semoga lagu GURU MALAYSIA  dan sajak karya  Allahyarham Usman Awang yang aku dedikasikan untuk anda semua menaikkan semula semangat perjuangan kalian dalam alam pendidikan ini.

SYABAS!!

Kellie's Castle Lambang Cinta Suami







Ruang Istana di Tingkat 2 dikatakan roh Kellie berkeliaran (misteri)

Lif yang pertama dibina di Tanah Melayu

Sudah 8 tahun kiranya aku menetap di Batu Gajah dan sekiranya aku pulang ke Sungkai, aku lebih selesa melalui lebuhraya Jalan Gopeng berbanding jalan kampung Tanjung Tualang. Sudah lama terdetik dihati ini untuk memanjat Istana Kellie tetapi sehingga hari inilah, masih belum kesampaian hajatku ini. Tiada kawan untuk buat teman dan mungkin juga faktor aku adalah anak tempatan disini, seolah-olahnya kewujudan Istana Kellie ini tidak memberi makna kepadaku. Petang tadi, sekembalinya aku dari Sungkai, terdetik dihati ini untuk mencari fakta sejarah kewujudan Istana kota ini kerana telah agak lama juga aku tertanya-tanya ... kenapa ramai pengunjung di sini?.

Inginku kongsikan cerita setelah aku 'google' data dan diharapkan info ini membuka hati kita untuk sama-sama berkunjung ke tempat bersejarah ini.

Istana Kellie atau lebih dikenali Kellie's Castle  terletak di tepi jalan Simpang Pulai menuju  ke Batu Gajah, iaitu kira-kira 30 kilometer dari Ipoh merupakan satu warisan sejarah yang menyimpan kisah sehebat  istana Taj Mahal di India di sebalik pembinaannya. Istana Kellie dibina oleh seorang peladang Scotland yang kaya raya, William Kellie Smith yang berasal dari sebuah kampung yang dikenali sebagai Kellas.

Sekiranya Taj Mahal dibina oleh Shah Jehan sebagai tanda cinta ke atas isterinya, Mumtaz Mahal, Istana Kellie juga dibina atas tujuan yang sama. Mahligai itu merupakan lambang cinta Smith kepada isterinya, Agnes yang turut berasal dari Scotland.

Istana Kellie terletak di sebuah ladang getah milik Smith yang dinamakan sebagai Ladang Getah Kinta Kellas, sempena ladang di kampung asal Smith di Scotland iaitu Easter Kellas.
Apa yang menarik, bangunan tersebut bukan sahaja mempunyai ciri-ciri rekabentuk berdasarkan kebudayaan India, malah semua batu bata dan lantainya juga dibawa dari India.Malah, Smith juga mengupah ramai buruh India untuk membina istana impian cintanya itu.  Selain itu, Istana Kellie merupakan yang pertama sekali menggunakan lift  yang menghubungkan dari tingkat bawah ke tingkat paling atas.

Bangunan itu juga mempunyai 14 buah bilik, sebuah bilik bawah tanah  dan terowong rahsia yang dilengkapkan dengan lif yang pertama di bina di  Tanah Melayu. Bagaimanapun istana yang mula dibina pada tahun 1915 itu tidak sempat siap dan diduduki oleh Smith selepas beliau meninggal dunia secara mengejut akibat penyakit pneumonia semasa melawat Portugal pada tahun 1926.

Agnes yang terlalu sedih dengan kematian suami tersayangnya itu kemudian mengambil keputusan untuk pulang ke Scotland dan menjual ladang getah serta istana tersebut kepada sebuah syarikat Inggeris, Harrisons and Crosfield. Walaupun tidak sempat siap, Istana Kellie akan terus diingati sebagai legenda impian yang kesampaian bagi Smith dan mahligai itu kini menjadi daya tarikan pelancong terutamanya bagi mereka yang sedang dilamun cinta.

Legenda inilah yang menjadikan Istana Kellie sebagai tarikan kepada pelancong yang saban hari melawat mahligai impian cinta Kellie itu untuk mengabadikan kenangan cinta mereka.
Istana itu juga pernah digunakan sebagai lokasi penggambaran filem Anna and the King pada tahun 1999.

Istana Kellie dibuka kepada kunjungan awam dari pukul 8.30 pagi hingga 7 petang setiap hari.

LAMBANG CINTA SUAMI Untuk Isteri...  kalaulah ada KINI..

Sabtu, 14 Mei 2011

Jom ! Kolam Air Panas (Hot Springs) Felda Sg Klah, Sungkai



Tiket yang dipakai di pergelangan tangan
Kolam air panas yang menjadi tumpuan orang awam

Kolam Air Panas  Suhu di antara 30 C - 40 C


Kolam merebus telur - suhu diantara 90 C sehingga 100 C

Kolam rendaman kaki - agak panas di sini dan berpeluh-peluh sebagai tindak balas

Kafetaria
Laluan pejalan kaki untuk refleksologi yang agak panas

Kemudahan surau

Kemudahan villa

2 tempayan air bersih disediakan untuk membilas diri
Bersama bonda, adik beradik dan anak buah
Merebus 30 biji telur

Tu dia- sessi mengupas telur dan makan telur

Telur 3 suku masak
Enak dimakan panas-panas

Papan tanda ke kolam air gunung
Kolam Air Gunung (sejuk)
Kolam Air Panas

Orang tua berhajat berendam - tunaikanlah.. habis hati
Merendam kaki di kawasan suhu antara 42 C sehingga 50 C - panas
Kolam yang agak panas
Permintaan ditunaikan- dapat makan telur panas-panas

Berkumpul sebuah keluarga besar disini

Sebagai anak tempatan yang dilahirkan di Felda Sg Klah, Sungkai sudah semestilah ada rasa bangga dihati apabila tempat ini yang dahulunya tiada apa tetapi kini telah dikenali seantero dunia. Dahulunya kolam air panas ini dikelilingi dengan semak samun, terbiar dan masih aku ingat semasa zaman nakal kanak-kanakku dahulu, kami berjalan kaki saja utuk merebus kerang dan telur di sini. Yang aku perasan ketika itu ianya adalah sebatang sungai yang berasap-asap dan tujuan utama penduduk tempatan datang ke sini hanyalah untuk merebus telur dan kerang saja. Selepas itu kami menuju ke Lata Bongsu pula untuk berkelah.

Pada Disember 2003, dengan rasminya Taman Reakrasi Air Panas (TRAP) Felda Sg Klah dengan  dibuka kepada orang awam walau ketika itu masih banyak tempat belum sempurna siapnya. Dikenali juga dengan Hot Springs  Felda Sg Klah. Sekiranya anda dari Lebuhraya Utara Selatan, anda hendaklah keluar melalui tol Sungkai dan mengambil laluan kiri atau mengikuti saja papan tanda menuju ke Hot Springs anggaran perjalanan 10 km untuk sampai di sini. Anda akan melalui Sekolah Agama Rakyat, Masjid, Pejabat, Dewan Orang Ramai , Dataran Homestay yang mana rumah kelahiranku dibelakang Dewan Orang Ramai saja, dan seterusnya ikut saja arah papan tanda dan anda akan selamat sampai, Insya allah.

Bayaran tiket untuk orang dewasa adalah RM 8 manakala kanak-kanak RM6. Untungnya juga kami anak-anak tempatan kerana mendapat diskaun untuk masuk ke dalam sekiranya kad pengenalan kami masih kekal alamat di Felda Sg Klah dan diskaun ini juga layak untuk 5 ahli yang lain. Terdapat 200 punca air panas di sini dan berkhasiat untuk merawat pelbagai jenis penyakit terutamanya penyakit kulit dan juga penyahtoksin dalam badan.

Ada 2 kolam utama yang menjadi tumpuan iaitu kolam air gunung yang sejuk dan juga kolam air panas yang agak suam dan sesuai untuk mandi manda. Ada ruang khas untuk kanak-kanak tetapi pemantauan dari orang dewasa diperlukan kerana sekiranya kanak-kanak melepasi had kedalaman kolam, ianya memungkinkan risiko anak-anak lemas.

Di sepanjang kawasan pula terdapat beberapa buah kolam yang mempunyai suhu yang berbeza-beza. Sekiranya hendak berendam di kawasan yang agak panas kolam suhu di antara 30 C sehingga 40 C adalah sesuai dan anda akan rasa lega didalamnya. Ibarat kita mandi menggunakan 'water heater'.

Sekiranya anda hendak merawat penyakit, rendaman kaki di kawasan kolam bersuhu antara 42 C - 52 C adalah tempat yang menjadi tumpuan. Kawasan yang agak panas tetapi tidaklah sampai melecur kulit kita. Apabila kaki direndamkan , terasa perit panas tetapi ianya cuma seketika. Cubalah anda bertahan sehingga anda berpeluh-peluh, ibarat proses sauna di jam-jam yang terakhir. Toksin dalam badan akan keluar dan badan menjadi ringan.

Bersebelahan kawasan inilah terdapat sebuah kolam khas untuk merebus telur. Suhu di antara 90 C sehingga 100 C. Jangan sesekali anda mencuba merendam kaki di sni kerana sudah pastinya kaki anda akan melecur dan masak. Kawasan ini agak berasap-asap dan menjadi tumpuan orang ramai. Telur disediakan bersama kicap dan proses merebus 7 minit untuk telur masak sepenuhnya manakala 4 minit untuk telur 3 suku masak. Di akui orang ramai beza rasanya telur rebus di sini berbanding biasa .

Kawasan 'private' juga ada disediakan dan hendaklah ditempah dahulu dan anda boleh menggunakannya mengikut masa yang ditetapkan. Kemudahan awam seperti surau, kafetaria dan bilik mandi dan tandas awam disediakan. Kemudahan untuk program Hari Keluarga dan 'jungle tracking' juga tidak pernah sunyi setiap minggu.

Sekiranya anda adalah penggemar terapi refleksologi, terdapat laluan pejalan kaki yang luas dan panjang dan juga panas disediakan di sini. BIasanya kita berjalan di atas batu-batu tanpa air tetapi disini batu-batu rekflesologi ini terendam dalam air panas. Tindak balas segera dapat anda rasai di sini. Begitu juga dengan 'jakuzi dan spa' ada disediakan tetapi hendaklah ditempah terlebih dahulu.

Kewujudan kolam air panas yang diterokai oleh Trolak Country Resort ini membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan dan orang-orang di sekitarnya termasuk perkhidmatan homestay kerana villa dan resort yang disediakan sentiasa 'fully booked'. Begitu juga dengan kedai-kedai runcit dan kedai makan menjadi tumpuan para pengunjung. Dahulunya kedai Dmart sunyi sahaja  tetapi kini berderet-deret pelanggan berbaris untuk membuat bayaran.

Sudah banyak kali jugalah aku ke sini dan adalah rugi sekiranya datang hanya untuk melawat saja tanpa berendam. Bersama ibu dan keluarga kami berkelah beramai-ramai di sini, mengikut kehendak dan hajat orang tua yang teringin menikmati suasana berendam dalam kolam dan makan telur rebus panas-panas.

Kepada mereka yang belum sampai lagi, JOM kita ke sini... tidaklah anda rugi kerana kolam Air Panas Felda Sg Klah adalah di antara kolam air panas terbaik di dunia.

Sekian... Laporan dari anak tempatan..