Isnin, 9 Mei 2011

Teratak Sepi




Semasa aku baru berhijrah ke Ipoh dan masih bujang, aku telah membeli sebuah rumah di Kota Malim Prima, Tg Malim bersama dengan kakak aku. Aku membayar deposit sebanyak RM500 untuk 'booking' dan perjanjian antara dengan sebuah bank telah diluluskan. Begitu juga bayaran untuk peguam  telah aku  lunaskan dengan tunai, iaitu 1% dari harga rumah. Malangnya bank tersebut memerlukan seorang penjamin sebagai syarat pinjaman aku diluluskan. Pada mulanya kakak aku sanggup menjadi penjamin tetapi tiba-tiba beliau berubah fikiran. Aku pula pada ketika itu baru saja berkenalan dengan suamiku dan atas nasihatnya beliau tidak menggalakkan aku meneruskan niat membeli rumah tersebut. Ialah semasa itu kilang Proton pun belum pindah, rumah pun 'under construction' dan macam-macam hal boleh berlaku. Bayaran ansuran bulanan dengan bank tersebut agak tinggi jugalah kerana aku membuat pinjaman 100% .

Terbang duit deposit aku tetapi aku mendapat pulangan pro rata untuk kos guaman. Rupanya ada hikmah atas apa yang terjadi kerana sekiranya meneruskan niat aku alamatnya aku terpaksa menanggung bebanan hutang saja kerana agak sukar mencari penyewa di sana.

Aku bertemu jodoh pada tahun 2002 dan menyewa di Rumah Awam Siputeh dan setahun kemudian berpindah ke Taman Lembah Permai, Batu Gajah atau lebih dikenali dahulunya sebagai Tasik SM Noor. Suamiku pada ketika itu tidak putus berusaha mencarikan aku rumah yang bersesuaian untuk aku beli kerana beliau mengatakan beliau tidak akan membelikan rumah untuk aku. Inilah status isteri kedua yang mana sekiranya kita ingin memiliki sesuatu , hendaklah kita sendiri membiayainya. Banyak juga kawasan perumahan dan tanah-tanah lot yang kami 'survey' tetapi ke semuanya tidak berkenan dihati suamiku.

Pada Mei 2007, suamiku memaklumkan kepadaku ada sebuah rumah yang hendak dijual di Desa Changkat, Batu Changkat. Rumah itu adalah kepunyaan isteri kawan suamiku dan kami membuat perjanjian bertulis menyatakan aku setuju membeli dan membayar deposit kepada tuan rumah. Beliau menawarkan harga RM110,000.00 sahaja dan cukuplah baginya mendapat pulangan dan untung atas jualan rumah tersebut. Aku membayar deposit sebanyak RM 3,000 setelah rundingan pujuk memujuk berjaya kerana pada asalnya beliau telah meminta deposit sebanyak RM 5,000.

Aku mempunyai ramai kenalan dengan pegawai-pegawai di pelbagai bank dan aku mula melakukan 'survey' kerana ada bank mempunyai kadar ansuran yang kompetitif.  Akhirnya aku telah memilih RHB Islamic Banking dan pinjaman aku telah diluluskan sebanyak 90%, manakala baki 10%  daripadanya melalui pengeluaran KWSP dari Akaun 2. Seperti biasa bank melantik Penilai dan Peguam. Aku terkejut apabila mendapat tahu ketika itu harga tersebut telah dinilaikan oleh penilai sebanyak RM145,000 dan aku bersyukur  kerana tuan rumah tidak tahu harga pasaran pada ketika itu.

Banyak duit aku habis untuk rumah ini. Walau pun kos guaman dimasukkan ke dalam pinjaman tetapi aku masih perlu menyediakan tunai untuk kos-kos dokumentasi pada syarikat guaman tersebut. Satu dokumen dikenakan bayaran sebanyak RM50 dan setiap jenis dokumen mesti mempunyai 4 salinan. Dan kalau aku tidak silap,kos guaman pada ketika itu melebihi RM 1,000 yang harus  dibayar sendiri manakala 1% dari kos pinjaman pula dimasukkan ke dalam kos ansuran pinjaman. Takaful Gadaijanji pula dimasukkan sekali dalam kos pinjaman iaitu melebihi RM 3,000.

Proses pengeluaran dari KWSP hanya mengambil masa 2 minggu dan apabila sejumlah tunai dipindahkan dalam akaun aku, dapatlah aku menyelesaikan bayaran-bayaran yang memeningkan kepala aku pada ketika itu.

Selesai sahaja pinjaman perumahan aku diluluskan aku telah menghantar notis perletakkan jawatan dan aku mula berpindah ke rumah ini pada 10hb Julai 2007. Penatnya berpindah rumah apabila segala persiapan pindah rumah kita lakukan seorang diri. Suami hanya menyediakan lori untuk pemindahan barang saja.

Aku suka suasana mendamaikan di Kg Tersusun Desa Changkat walau rumahku agak terpencil dari rumah orang lain. Terlalu hampir dengan surau, Hospital Batu Gajah, Pejabat Kerajaan, Balai Polis, Balai Bomba, Penjara , sekolah-sekolah dan juga Pusat Bandar Batu Gajah. Kebanyakkan ahli kariahnya bekerja di Hospital, Pejabat Tanah, Polis, Bomba, Guru dan pelbagai status lagi. Masih mengamalkan budaya gotong royong semasa kenduri kendara dan apabila bulan ramadhan tiba, satu suasana yang meriah dengan amalan-amalan malam bulan ramadhan.

Aku pernah mengumpulkan hampir ke semua ahli keluargaku pada Hari Raya 2008 dan satu suasana yang cukup meriah dan akrab kami rasakan. Pada Aidilfitri 2009 pun keluargaku masih berkumpul berhari raya di rumahku kerana bonda tersayang tinggal bersama aku.

Kawasan tanahnya agak luas dan berkebun adalah salah satu minatku. Mana aku tinggal aku mesti berkebun menanam sayu-sayuran apatah lagi suamiku pada ketika itu gemar memetik sayur-sayuran yang segar. Macam-macam yang aku tanam di sekeliling rumah seperti cili padi, cili besar, terung telunjuk, terung panjang dan juga pokok kacang tanah dan kesemuanya berbuah elok kerana aku menjaga tanamanku sebaik mungkin. Pada asalnya aku nak jual ke semua tanaman ku tetapi akhirnya aku memetik tanaman dan memberi kepada pelanggan takaful ku, jiran-jiran, madu ku dan juga mertua. Tak palah yang penting aku gembira dan rasa bertambah gembira apabila suamiku meluangkan masa memetik hasil tanamanku.  Beliau suka menarik sendiri kacang tanah yang telah berisi dan meminta aku untuk merebusnya. Memang sedap kacang tanah rebus hasil tanaman sendiri. Lemak manis. Tempoh untuk matang cuma 4 bulan saja dan aku tanam di sekeliling rumah.

Tapi ianya kini tinggal kenangan saja..

Aku tiada lagi rasa minat untuk berkebun, mencabut rumput-rumput, menolak kereta sorong, menanam sayur-sayuran, menabur kacang tanah dan juga menyiram sayur-sayuran. Aku mengupah Uncle Maniam untuk cuci kawasan rumah dan aku tidak selesa berlama-lama terbongkok-bongkok di luar rumah dalam status aku sekarang. Untuk apa aku bersusah payah bercucuk tanam kerana tiada orang yang akan memetik hasil tanamanku.

Hatiku kosong, jiwaku sepi.. Adakalanya aku menangis seorang mengenang nasib diri. Sebagai isteri aku telah melakukan yang terbaik untuk suami, membuang pangkat dan ego ku, menjadi seorang isteri di rumah. Aku berkhidmat seikhlas hati untuk suami kerana aku mengejar pahala 7 dulang emas. Aku mahu beliau selesa dalam rumah ini tanpa perasaan canggung dan tidak pernah sekali pun keluar dari mulutku, ini rumahku.. Tapi apa yang aku cakap padanya, ini rumah abang.

Tiada meriahnya rumah ini tanpa kehadiran zuriat dan juga 'tuanrumah' iaitu suami.  Zuriat-zuriatku diambilNYA kembali.

Entahlah..

Aku pernah 'mencari cinta'... tetapi diriku tak dihargai. Aku serik. Aku tidak memilih orang yang berharta tetapi cukup bagiku beliau menerima aku seadanya, menyayangiku dan sama-sama membina rumahtangga di sini.

Sudah setahun setengah aku bersendiri dalam TERATAK SEPI ini dan bila pengakhirannya ? Aku sendiri tidak pasti..


4 ulasan:

  1. bersabar ye.... Ada sinar kebahagiaan nanti, insya'allah....

    BalasPadam
  2. Terima Kasih... Insya Allah...

    BalasPadam
  3. Jodoh pertemuan, ajal maut semuanya ditangan Allah, insyallah adalah tu..

    BalasPadam
  4. Insya Allah... tkasih

    BalasPadam