Selasa, 24 Mei 2011

Diibaratkan Air Dicincang Takkan Putus...


Pasangan suami isteri (Arwah Isa Jamek dan Kadariah bt Naik)

Arwah Sainal Isa (kiri) dan Abu Hassan Isa

Hazizan Isa dan Abdul Manan Isa

Noor Rohaya Isa dan Nor Saadiah Isa

Abdul Malek Isa dan Nor Ismah Isa
Md Zaki Isa dan Salamiah Isa

Sijil Mati Arwah Sa'adon, Mohd Satar dan Zamri (abang-abang yang tidak sempat aku kenal)


Arwah Ayah (kiri barisan belakang)
Hari Raya terakhir bersama Ayah
Pangkor
Tasik Cini

Raya 2008 di rumah aku di Bt Gajah
Sebelum Solat Raya di Bt Gajah

Raya 2010 yang meriah di Sungkai
Mohon ampun cucu kepada opah


Bersama cucu-cucu


Pertemuan semula bersama anak-anak Hazizan Isa

Lengkap sudah keluarga yang dimiliki oleh pasangan Arwah Isa Jamek dan juga Pn Kadariah Naik dengan lahirnya zuriat-zuriat keturunan yang ramai. Walaupun hidup tidak senang seperti orang lain sehingga ada anak-anak yang tidak habis sekolah, tetapi ayah dan emak tidak pernah bersungut dalam membesarkan kami adik beradik.

Sekiranyalah ayah mengikut kata nasihat abang-abangnya dan juga atuk yang melarang ayah berhijrah ke Felda Sg Klah sebagai peneroka, mungkin kami hidup dalam keaadaan susah dan melarat. Semasa itu  ayah dan mak hanya melombong bijih dan menoreh getah sebagai punca pendapatan. Memang telah tertulis rezki untuk kami adik beradik apabila penghijrahan ayah dan mak ke Felda sebagai peneroka pertama, kehidupan kami tidaklah senang dan tidaklah juga melarat.

Ayah mementingkan pelajaran anak-anak, mungkin untuk menebus kesalan dihatinya kerana terpaksa memberhentikan abang-abang ku meneruskan persekolahan atas masalah kesempitan hidup. Arwah abang Ali adalah anak yang pandai dan sekiranyalah ketika itu beliau berjaya menghabiskan zaman persekolah, aku menjangkakan Abang Ali adalah seseorang berpengaruh semasa hayatnya.

Mak ada bercerita semasa berhijrah ke Felda Sg Klah, kakak aku Nora ketika itu baru saja duduk, mungkin belum setahun usianya bermakna tarikh mereka menjadi peneroka ialah pada awal tahun 1967. Tiada lagi gambaran bentuk senireka rumah peneroka lama kerana kebanyakan antara peneroka-penoraka  telah mengubahsuai rumah masing apabila anak-anak bertambah ramai dan menerima penambahan rezki dari Allah SWT. Ini bermakna selepas dari Nora, lahirlah Saa, Malek, Cikno, Adi dan aku di rumah peneroka ini.

Tidak banyak yang aku tahu kisah kesusahan mak dan ayah dahulu. Aku anak yang ke 13, dan aku juga tidak mengenali ketiga -tiga abang aku yang meninggal dunia semasa kecil akibat demam panas. Aku hanya menyimpan surat kematian mereka sahaja.

Anak sulong ayah adalah Arwah Abang Ali  yang dilahirkan pada 01/10/1952. Sebagai anak sulong, abang melalui zaman kesusahan semasa kecilnya. Umur  abang juga tidak panjang apabila ajal menjemput beliau pada usia beliau 51 tahun . Beliau meninggal dunia pada 18hb Februari 2004 di Hospital Besar Ipoh akibat dari kegagalan buah pinggang. Pernah berkahwin dengan arwah Kak Piah dan malangnya ajal menjemputnya awal dan meninggalkan 4 orang anak yang kecil iaitu Azura, Nurain, Nurhan dan Rahimi kepada arwah abang. Agak lama juga abang menduda dan akhirnya bertemu jodoh dengan Kak Salmah yang akhirnya juga menjadi balu dan mempunyai zuriat sendiri seramai 5 orang iaitu Lokman, Siti Aisyah, Ilyas( meninggal dunia selepas dilahirkan), Zulfa dan Muslim. Sebagai penyambung keturunan, arwah abang mempunyai 5 orang cucu iaitu 4 dari Nurhan manakala seorang dari Rahimi.

Anak kedua ayah lahir pada 03/09/1954 yang diberi nama Abu Hassan. Punyalah elok nama beliau tetapi tidak tahulah pulak kenapa nama gelaran Judin kekal sehingga sekarang. Berkahwin dengan Kak Asmah yang berasal dari Felda Trolak Utara dan dikurniakan 6 orang cahaya mata iaitu Mawar, Aisyah, Shikin, Idris, Fatihah dan juga Aiman. Kini mereka menetap bersebelahan rumah dengan mak kak Asmah, dimana abang Judin telah membina sebuah rumah hasil sifat berjimat cermat beliau. Di samping itu dapatlah juga menjenguk orang tua yang makin lama makin nampak keuzuran mereka. Mempunyai seorang menantu dan bakal cucu dan juga bakal menerima menantu baru tidak lama lagi.

Pada tahun 1956, lahirlah pula anak ke 3, iaitu Zamri malangnya pula telah meninggal dunia pada usia 11 bulan akibat demam panas. Tidak banyak juga cerita yang aku tahu cuma pemergian arwah Zamri ini memberi syafaat kepada ayah dan mak di sana.

Hazizan bin Isa pula lahir pada 20/05/1958 sebagai anak yang ke empat. Aku masih ingat lagi semasa kecil aku agak rapat dengan isterinya iaitu Kak Ani tetapi malangnya jodoh mereka tidak panjang kerana abang ku ini kerap sakit. Dengan Kak Ani lahirlah zuriat-zuriat beliau iaitu, Helmy, Rais, Rabiah, Mustaqim, Solehah dan juga Hawa. Agak lama juga kami terputus hubungan dengan mereka tetapi dengan adanya facebook , alhamdulillah hubungan yang terputus agak lama ini telah berjaya dijejaki semula. Abangku ini menetap di Felda Cini 5, Pahang dan telah bernikah dengan Kak Tina, iaitu anak peneroka di Felda Cini 3 dan telah dikurniakan seorang cahaya mata. Sebagai penyambung keturunan, beliau telah mempunyai 2 orang cucu iaitu anak dari Rais. Aku kagum dengan ketabahan Kak Ani dalam membesarkan anak-anak dalam kepayahan tetapi akhirnya ganjaran dari Allah SWT iaitu anak-anak yang berbudi kepadanya kembali.

Pada tahun 1964, ayah menerima tamparan yang hebat apabila 2 dari anaknya telah meninggal dunia akibat demam panas. Arwah Mohd Sattar iaitu anak yang ke 5 dilahirkan paa tahun 1960 meninggal dunia pada usia 4 tahun iaitu pada 26/04/1964. Anak yang ke 6 pula iaitu Sa'adon yang dilahirkan pada tahun 1963 pula mengikuti arwah abangnya pada 2/12/1964 pada usia arwah 1 tahun 7 bulan. Aku tidak ingat siapakah yang menceritakan pada aku bahawasanya pada ketika itu ayah mengalami saat kesedihan yang amat sangat atas kehilangan dua orang anaknya akibat demam panas.

Pada tahun 1964 juga iaitu pada 10/08/1964, lahirlah anak yang ke 7 iaitu Abdul Manan. Semasa Manan kehilangan abang-abangnya, beliau baru saja lahir ke dunia dan mungkin akibat dari kehilangan 2 anak ini, jadi ayah memanjakan Manan. Aku mendapat tahu cerita pun dari bapa-bapa saudara yang mana ayah selalu membawa Manan naik motor Yamahanya ke mana dia pergi berbanding dengan 4 abangnya yang lain. Manan pula adalah anaknya yang pertama belajar di sekolah asarama penuh iaitu di Sekolah Tuanku Abdul Rahman ( STAR) Ipoh dan akhirnya melanjutkan pelajaran ke Kanada. Bangga sangat ayah aku pada ketika itu dan aku pun sebenarnya tidak mengenali Manan kerana kami terpisah semasa aku berumur 6 tahun. Cuma masih kekal dalam memori aku saat beliau berangkat, beliau ada berpesan pada mak, supaya tidak membuka beg yang ditinggalkan dibawah katil dan aku mengikut ayah dan mak menghantar beliau ke Lapangan Terbang Subang. Perginya beliau ke Kanada, tidak pulang-pulang hampir 13 tahun lamanya.

Pulangnya ke Malaysia mungkin kerana berkat doa mak dan solat hajat dari arwah Abang Ali dan juga pulangnya Manan ke tanah air memberi peluang kepadanya untuk berbakti pada ayah yang mula sakit-sakit dan akhirnya terlantar sakit tidak sedarkan diri. Beliaulah yang menguruskan ayah dihospital dan dirumah sehingga habis nyawa ayah.

Manan berkahwin dengan Kak Anor yang merupakan kakak angkatnya iaitu cucu saudara kepada arwah Yusof Kupon dan Opah Cik. Setia Kak Anor menunggu Manan pulang dan akhirnya telah ditakdirkan ada jodoh mereka dan dikurniakan zuriat iaitu Abid, Dini, Qarna, Yuha, Husna, Kamil dan Iman. Masih aku ingat lagi , aku selalu bermalam dimana saja mereka tinggal seperti di Tg Malim, Kuala Kubu Bharu, Gombak, Taman Alam Megah dan Seremban. Kini mereka mempunyai rumah kediaman untuk berteduh di Rembau.

Sudah tertulis walau pun perkahwinan atas dasar cinta tetapi seandainya ditakdirkan Manan mempunyai 2 orang isteri, tiada siapa yang dapat menghalangnya. Beliau bertemu jodoh kali keduanya dengan kakitangannya sendiri dan dikurniakan 2 orang zuriat perempuan iaitu Diya dan Syasya.  Manan kini adalah Pengarah Urusan Syarikat  dan beliau juga mempunyai kilang sendiri di Rembau.

Anak yang ke 8 pula iaitu Noor Rohaya Isa (Nora) lahir di Kg Kinjang  pada 02/05/1966. Lahirlah seorang puteri setelah puas mak aku menunggu untuk melahirkan zuriat perempuan. Mungkin kerana 7 orang di atasnya adalah lelaki, Nora menunjukkan lebih sifat kelakian berbanding sifat perempuan. Berambut pendek,ligat dan mempunyai tenaga seperti lelaki seperti memikul buah kelapa sawit, menoreh getah, mengorek lubang jamban, mengecat rumah dan berbagai-bagai kerja yang lasak dilakukan. Kerja-kerka seorang perempuan seperti mengemas dan memasak memang ditolak tepi. Nora juga cemerlang dalam pelajaran dan pernah menjadi pelajar terbaik di Sekolah Mennengah Sungkai dan akhirnya melanjutkan pelajaran di Ohio, Amerika Syarikat. Seperti juga Manan, beliau juga tidak balik ke Malaysia sebagaimana yang sepatutnya kerana telah bertemu jodoh di sana.

Kepulangan beliau ke tanah air bersama 4 orang anaknya menjadikan rumah kami menjadi tumpuan juga. Ialah anak-anaknya orang Malaysia tetapi cakapnya pelat, badan putih melepak berbintat-bintat tidak tahan dengan nyamuk dan cuaca panas di Malaysia. Nora menyambung pelajaran dalam bidang perguruan dan sekarang ini beliau adalah seorang seorang guru dan mepunyai 6 orang zuriat iaitu Usaid, Sarah, Usamah,Saffiyah, Sumaiyah dan juga Syaima. Jodoh beliau yang dibina atas dasar cinta juga tidak kekal dan kini beliau berhempas pulas membesarkan anak-anak.

Selepasa Nora, lahirlah anak yang ke 9 iaitu Noor Saadiah Isa pada 14/10/1967 yang mempunyai ciri-ciri sifat keperempuanan berbanding Nora. Rajin mengemas dan jugaa memasak dan pada beliaulah mak sandarkan harapan untuk menguruskan rumahtangga. Beliau juga pandai sebenarnya tetapi kerana jodohnya cepat, Saa tidaklah menyambung pelajarannya walau ketika itu beliau telah menerima temuduga untuk jawatan guru. Kecewa lagi ayah ketika itu setelah ayah menyatakan rasa kecewanya apabila Manan dan Nora tidak pulang sebagaimana yang diharapkan. Saa bertemu jodoh dengan Wahab dan dikurniakan anak kembar tetapi malangnya salah seorang darinya meninggal dunia semasa dilahirkan. Anak-anak beliau adalah Qofarudin, Farah, Farhana, Farhan dan juga yang kecil sekali lupa pula namanya. Saa sekarang ini menetap di Felda Lakum, Pahang sebagai surirumah.

Anak yang ke 10 adalah Abdul Malek Isa lahir pada tahun 1969, seorang lelaki yang tersepit ditengah adik beradik perempuan. Agak garang semasa zaman sekolahnya dan melalui namanya dan tabiatnya, wujudlah rumah burung merpati dan reban ayam. Beliau 'rasi' dengan pemeliharaan binatang dan salah satu minatnya yang kekal sehingga sekarang ialah 'memikat' burung. Beliau memohon untuk menjadi askar dan telah ditemukan jodoh dengan Kak Noraini iaitu anak peneroka Felda Trolak Utara dan mereka telah dikurniakan zuriat iaitu Firdaus, Nadiah, Najmi, Nabilah dan juga Nabahah. Kini mereka menetap di Kg Muhibbah Sungkai sebagai askar pencen dan juga bekerja dengan Manan untuk meneruskan kehidupan membesarkan anak-anak yang masih kecil.

Anak yang ke 11 pula adalah Nor Ismah Isa (Cikno) yang lahir pada 11/01/1971. Semasa zaman sekolahnya beliau selalu sakit-sakit, kerap pengsan di sekolah dan selalu nampak benda-benda ghaib yang kita tidak nampak. Agak sukar juga untuk mengeluarkan sesuatu dari badannya sehinggakan mak pernah bercerita dahulu, semasa berubatkan beliau, mak sudah membayangkan akan membawa jenazahnya pulang. Melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan pernah menjadi akauntan bank tetapi meletakkan jawatan untuk menjadi seorang guru.  Mempunyai seorang zuriat iaitu Raihanah dan agak malang juga kerana jodoh beliau hanya seketika cuma. Kini setelah lama hidup sebagai ibu tunggal beliau bertemu jodoh sekali lagi dan didoakan kali ini jodoh beliau kekal..

Anak yang ke 12 adalah Md Zaki Isa (Adi) yang lahir pada 02/03/1973. Aku membesar bersama beliau kerana jarak umur kami yang rapat. Selepas ayah meninggal dunia, beliaulah yang mengambil alih tanggungjawab menoreh getah. Berkahwin dengan Zaharatulaini dan dikurniakan 2 orang zuriat lelaki yang aggresif iaitu Naim dan juga Amir dan seorang lagi bakal lahir tidak lama lagi. Merekalah yang menguruskan rumah dan juga 8 ekar kebun getah manakala hasil dari 2 ekar kebun sawit diberi kepada abang Judin sekeluarga.

Aku adalah anak yang ke 13, tidak pernah merasa susah sebagaimana abang-abang dan kakak-kakak dahulu semasa kecilnya tetapi melalui zaman susah apabila dewasa, banyak memendam rasa, bersusah payah untuk senang dan terlalu banyak berkorban untuk orang lain. Aku kini sendiri, sebatang kara di Batu Gajah kerana aku sendiri sudah tidak tahu hendak ke mana lagi apabila rumahtangga yang kubina atas dasar cinta juga musnah ditengah jalan tanpa zuriat peneman hidup. Hanya Allah yang tahu hati ini, dan aku redha dengan semua ujianNya kerana Allah masih sayangkan diriku, memberi peluang kepadaku untuk menebus kesilapan-kesilapan lalu.

Kini, mak mempunyai 9 orang anak yang masih setia kepadanya , 49 orang cucu dan juga 7 orang cicit. Walaupun pernah ada perselisihan faham antara kami adik beradik tetapi kami diibaratkan AIR DICINCANG TAK AKAN PUTUS... dan semoga hubungan adik beradik ini kekal dan didoakan suatu hari nanti kami semua berjaya dikumpulkan serentak, Insya Allah...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan