Sudah lama aku menantikan program-program buka kaunter sempena ekspo-ekspo atau karnival. 3 hari sebelum kaunter dibuka aku mendapat panggilan telefon dari Pn Rahmah, salah seorang dari AJK Muslimat Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh. Beliau mempelawa aku untuk sama-sama menyertai program Karnival Produk Halal dan Thoyyibah. Aku sudah lupa siapa gerangannya Pn Rhmah ini sebenarnya tetapi beliau masih belum melupakan aku seorang agen Takful Ikhlas yang mempunyai imej sendiri. Rupanya kami pernah berjumpa di Ekspo Halal Hub di INTIM pada tahun 2007. Semasa itu beliau singgah ke kaunter Takaful untuk mendengar penerangan dari aku.
Diwaktu paginya aku berjumpa dahulu dengan pelangganku dan menguruskan bayaran-bayaran di pejabat. Aku singgah di masjid pada pukul 12.00 tengah hari untuk membuat pendaftaran dan bayaran dan juga melawat tapak. Terkejut juga aku, untuk program selama 2 hari ini, sewa tapak hanyalah RM 30 sahaja. Satu kanopi besar dibahagi kepada 4 tapak gerai. Agak malangnya pula kerana tiada 'plug' dalam barisan kanopi kami. Mujurlah juga kanopi dibarisan hadapan ada dibekalkan 'plug'. Walaupun jaraknya agak jauh tetapi aku mempunyai 2 wayar 'extension' yang panjang yang boleh digunakan untuk mendapatkan bekalan elektrik. Aku agak cerewet dan tidak suka buka kaunter tanpa persediaan yang cukup. Perlu ada kelengkapan 'bunting', flyers, printer & mesin fotostat dan juga laptop. Bagaimana peralatan ini boleh digunakan sekiranya kanopi tidak dibekalkan dengan 'plug'.
Program kaunter dianjurkan oleh Persatuan Siswa Siwi Politeknik Ungku Omar bersama Masjid Sultan Azlan Shah. Aku agak teruja kerana prospek pelanggan aku adalah pensyarah, guru dan juga kakitangan kerajaan yang bekerja berdekatan dengan kawasan ini.
Aku singgah sekejap ke pejabat untuk membuat bayaran dan solat Zohor dan pergi semula ke masjid untuk 'setting' meja dibantu oleh Juri. Sebenarnya dalam kumpulan Hi Touch Services, ramai juga agen-agen dari Ipoh tetapi masing-masing mempunya hal sendiri. Mujur jugalah ada Juri membantu dan menunggu pada waktu petang kerana aku terpaksa balik ke rumah sekejap. Badan sudah berlengas dengan peluh, lampu di rumahku perlu di 'on'kan kerana aku tidak berani untuk masuk ke rumah dalam keadaan gelap. Selepas rumahku dimasuki pencuri, aku agak berhati-hati.
Bila aku kembali ke masjid barulah Juri pulang dan beliau maklumkan yang dia tak dapat hadir pada waktu malam. Kak Muznah yang baru saja habis bekerja pun singgah sekejap dan maklumkan tidak dapat juga hadir pada waktu malamnya. Tinggallah aku seorang melayan pelanggan.
Aku menegur 2 orang perempuan yang lalu depan aku. Kusangkakan pelajar politeknik rupa-rupanya guru sekolah yang baru saja 'posting' dalam minggu ini. Sudah 2 bulan sekolah dibuka.. mereka pula baru dapat mengajar. Mereka mendengar dengan minat dan aku memahami situasi mereka yang tidak dapat menerima gaji dalam tempoh 3 bulan pertama. Tapi selepas bulan Mei aku akan mencari mereka semula. Ramai juga orang yang singgah di petang hari termasuk juga Pn Rahmah dan beliau menjanjikan akan memberi aku peluang sekiranya ada program-program sebegini.
Selepas aku solat Maghrib, aku didatangi oleh sebuah keluarga yang terus saja duduk dan memberitahu mereka memang sedang mencari Takaful Ikhlas. 'Kami nak masuk ini tapi tak tahu nak pergi mana, masa pun tiada. '... Isterinya adalah seorang pensyarah dan suaminya tidak pula aku bertanya dimana beliau bekerja kerana tidak dapat bersembang lama, anak-anak mereka meragam dan pada ketika itu hari pun telah hujan. Tanpa banyak cerita, si suami mendatangani borang dan memberi kad pengenalan untuk aku buat salinan. Esoknya isterinya akan datang untuk membuat bayaran untuk 4 sijil Ikhlas Medical Assist (Medical card).
Selepas Isyak, suasana menjadi lebih meriah kerana ramai menyerbu ke gerai-gerai. Aku didatangi oleh seorang pelajar dan beliau menyatakan yang esok harinya beliau ada 'presentation' untuk tajuk Takaful. Aku pun menyampaikan ilmu yang aku ada dan aku lihat beliau sangat berminat dengan perjalanan Takaful. Katanya apabila beliau mula bekerja , beliau akan menyertai Takaful dengan gaji pertamanya. Sedang rancak kami bertukar-tukar pendapat, tiba-tiba saja 'black-out' . Aku masih bercerita dalam gelap kerana banyak yang disoal kepadaku.
Aku sampai ke rumah pada pukul 11.00 malam. Memandu seorang diri dari Ipoh melalui Seri Botani. Sebolehnya aku memang mengelak untuk keluar malam apatah lagi jauh ke Ipoh. Tetapi apabila mengenangkan inilah punca rezekiku, dan Allah ada bersama melindungiku, aku beranikan diri meredah malam yang gelap.
Esok.. masih ada sehari lagi peluang aku untuk terus menyebarkan muamalat Islam di masjid ini.. Mungkin juga tertulis ada rezeki aku...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan