Ahad, 27 Februari 2011

Majlis Anugerah Agensi Suku Tahunan ke-3 2010/2011 - Kejayaan Yang Tertangguh

Cenderamata anugerah kepada agen-agen yang berjaya pada suku tahunan ke 3.
Imbas kembali .. Semasa aku mengambil anugerah pada majlis suku tahun ke 2 yang lepas.



Bersama Pengurus dan kakitangan Cawangan Ipoh

Teruna tunggal Cawangan Ipoh

Bersama adik-adik yang banyak membantu

Sebahagian agen-agen perempuan kawasan Wilayah Utara

Nak balik dah
Satu penghargaan kepada diri apabila segala usaha penat lelah kita dihargai. Bukanlah anugerah dan ganjaran menjadi keutamaan tetapi dalam jihad mengembangkan muamalat Islam, ianya sedikit sebanyak memberi semangat kepada kami untuk untuk lebih berusaha dalam 'mengetuk' hati masyarakat Islam diluar sana berhijrah bersama-sama membantu mengembangkan sistem ekonomi Islam di Malaysia.

Takaful Ikhlas memberi penghargaan kepada agen-agen yang berjaya pada setiap suku tahun iaitu 4 bulan sekali dalam Majlis Anugerah Agensi yang diadakan dalam suasana yang meriah. Melalui majlis ini aku telah naik ke pentas sebanyak 4 kali untuk menerima anugerah. Kali ini, Cawangan Ipoh telah menjadi tuan rumah dan majlis telah diadakan di Bukit Merah Laketown Resort pada 26hb Februari 2011. Selalunya, Cawangan Ipoh akan bergilir dengan Cawangan Sg Petani untuk menjayakan program ini.

Kali ini aku tidak menerima sebarang anugerah tetapi aku hadir juga untuk meraikan rakan-rakan agen yang berjaya dan melalui program ini jugalah aku mendapat kembali semangat dan keyakinan diri. Aku bertolak dari Ipoh bersama dengan pegawai-pegawai Ipoh iaitu Pn Azita dan Pn Naimah pada jam 11.15 pagi dan kami sampai ke Bukit Merah 45 minit kemudiannya. Program dijadualkan bermula pada jam 2.30 petang.

Majlis dimulai dengan bacaan doa. Seterusnya kami diminta berdiri untuk sama-sama menyanyikan lagu 'Negaraku' dan juga lagu korporat syarikat iaitu 'Suara IKHLAS'. Seterusnya, Pengurus Cawangan Ipoh yang juga Naib Presiden Wilayah Utara iaitu En Zainal Rahmat bin Md Zain memberi kata-kata aluan dan memberi kata-kata semangat kepada agen-agen yang hadir. Beliau menekankan 4 perkara yang perlu ada dalam diri iaitu semangat, yakin, usaha dan juga ilmu.

Majlis dirasmikan oleh Ustaz Wan Jemizan bin Deraman iaitu Naib Pengerusi, Unit Pematuhan yang datang dari ibu pejabat. Aku tertarik dengan ucapan perasmian beliau yang tidak putus-putus memberi semangat kepada kami. Katanya, kami telah berada dilandasan yang betul dalam jihad mengembangkan muamalat Islam, menyampaikan dakwah kepada masyarakat diluar sana. Apalah sangat anugerah dan penghargaan yang diberikan oleh syarikat berbanding dengan ganjaran pahala dari Allah SWT. Allah SWT tidak menghalang kita untuk mencari kekayaan, tetapi ianya mestilah berlandaskan syariat yang dibenarkan. Allah SWT tidak akan mengubah nasib diri kita melainkan diri kita yang mahu berubah dahulu.

Selepas majlis dirasmikan, sessi penerangan produk baru yang dilancarkan iaitu produk 'Comprehensif Personal Accident Benefit' telah disampaikan oleh En Adnan bin Hamzah iaitu Naib Penolong Pembangunan Agensi Takaful Keluarga. Produk ini adalah produk manfaat tambahan (rider) yang mesti diambil bersama sijil asas Takaful Ikhlas. Pakej perlindungan yang lengkap diberi kepada peserta yang menyertainya iaitu merangkumi Manfaat Kematian Diri Akibat Kemalangan, Manfaat Keilatan Kekal Menyeluruh, Manfaat Keilatan Kekal Sebahagian, Manfaat Cuti Sakit, Manfaat Kos Penghospitalan Dan Pembedahan dan juga Manfaat Kos Rawatan Akibat Kemalangan.

Moga tiada alasan lagi dari agen-agen untuk memasarkan produk-produk Takaful Ikhlas kerana ianya memenuhi kehendak masyarakat masa kini. Syarikat mendengar pendapat agen-agen yang mahukan produk yang mengikuti kehendak pelanggan dan juga mampu bersaing dengan syarikat yang lain.

Kami juga mendapat satu khabar berita gembira dari En Adnan iaitu illustrasi produk Takaful Ikhlas yang baru telah dinaikkan kadar keuntungannya selaras dengan kadar agihan keuntungan yang telah diagih-agihkan kepada pelanggan-pelanggan Takaful Ikhlas yang sedia ada. Kadar keuntungan untuk tahun 2010 adalah sebanyak 6.60 % telah diagihkan ke dalam tabung simpanan peserta-peserta iaitu ke tabung 'Participant Investment Account (PIA)' manakala kadar keuntungan sebanyak 9.40 % pula telah diagihkan ke tabung perlindungan iaitu tabung 'Participant Risk Investment Account (PRIA'). Satu pulangan yang agak tinggi dalam keadaan senario krisis ekonomi masa kini dan sekiranya kita menyimpan di bank-bank pun belum pasti kita akan menikmati pulangan sebagaimana di Takaful Ikhlas yang menyediakan perkhidmatan perlindungan.

Setelah selesai sessi soal jawab mengenai produk baru ini , seterusnya majlis penyampaian anugerah kepada agen-agen yang berjaya. Majlis penyampaian anugerah disampaikan oleh Ustaz Wan Jemizan diiringi dengan rakaman lagu 'GEMURUH'  nyanyian Faizal Tahir. Pada aku yang pernah naik ke pentas untuk menerima anugerah ini, ada satu kepuasaan dalam diri apabila penat lelah kita dihargai. Kali ini aku hanya berada di bawah memberi tepukan kepada rakan-rakan yang berjaya, mendapat semangat dan keyakinan diri apatah lagi lagu 'Gemuruh' ini benar-benar menaikkan semangat kami ditambah pula apabila melihat Saudara Arsalan naik ke pentas melebihi 5 kali membuktikan seandainya kita berusaha kita pasti berjaya.

Selesai majlis penyampaian anugerah, kami dijamu dengan hidangan minum petang. Aku, Azita dan Naimah bergerak dari Bukit Merah pada pukul 7.15 malam dan aku sampai ke rumah pada jam 9.00 malam.

'We Believed, We Achieved.. Who Am I ?..  I Am A Champion'.. Kata-kata ini akan aku sematkan dalam hati dalam usaha aku untuk mendapat kejayaan. Sekiranya Allah SWT memberi peluang kepadaku untuk menjadi kaya, aku akan beramal dengan kekayaanku.

Aku tertarik dengan kata-kata Ustaz Wan Jemizan iaitu kepada agen-agen yang tidak berjaya kali ini, bukanlah anda semua tidak berjaya, tetapi kejayaan anda semua adalah KEJAYAAN YANG TERTANGGUH..

Jumaat, 25 Februari 2011

Buka Kaunter Di Karnival Produk Halal & Thoyyibah



Sudah lama aku menantikan program-program buka kaunter sempena ekspo-ekspo atau karnival. 3 hari sebelum kaunter dibuka aku mendapat panggilan telefon dari Pn Rahmah, salah seorang dari AJK Muslimat Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh. Beliau mempelawa aku untuk sama-sama menyertai program Karnival Produk Halal dan Thoyyibah. Aku sudah lupa siapa gerangannya Pn Rhmah ini sebenarnya tetapi beliau masih belum melupakan aku seorang agen Takful Ikhlas yang mempunyai imej sendiri. Rupanya kami pernah berjumpa di Ekspo Halal Hub di INTIM pada tahun 2007.  Semasa itu beliau singgah ke kaunter Takaful untuk mendengar penerangan dari aku.

Diwaktu paginya aku berjumpa dahulu dengan pelangganku dan menguruskan bayaran-bayaran di pejabat. Aku singgah di masjid pada pukul 12.00 tengah hari untuk membuat pendaftaran dan bayaran dan juga melawat tapak. Terkejut juga aku, untuk program selama 2 hari ini, sewa tapak hanyalah RM 30 sahaja. Satu kanopi besar dibahagi kepada 4 tapak gerai. Agak malangnya pula kerana tiada 'plug' dalam barisan kanopi kami. Mujurlah juga kanopi dibarisan hadapan ada dibekalkan 'plug'. Walaupun jaraknya agak jauh tetapi aku mempunyai 2 wayar 'extension' yang panjang yang boleh digunakan untuk mendapatkan bekalan elektrik.  Aku agak cerewet dan tidak suka buka kaunter tanpa persediaan yang cukup. Perlu ada kelengkapan 'bunting', flyers, printer & mesin fotostat dan juga laptop. Bagaimana peralatan ini boleh digunakan sekiranya kanopi tidak dibekalkan dengan 'plug'.

Program kaunter dianjurkan oleh Persatuan Siswa Siwi Politeknik Ungku Omar bersama Masjid Sultan Azlan Shah. Aku agak teruja kerana prospek pelanggan aku adalah pensyarah, guru dan juga kakitangan kerajaan yang bekerja berdekatan dengan kawasan ini.

Aku singgah sekejap ke pejabat untuk membuat bayaran dan solat Zohor dan pergi semula ke masjid untuk 'setting' meja dibantu oleh Juri. Sebenarnya dalam kumpulan Hi Touch Services, ramai juga agen-agen dari Ipoh tetapi masing-masing mempunya hal sendiri. Mujur jugalah ada Juri membantu dan menunggu pada waktu petang kerana aku terpaksa balik ke rumah sekejap. Badan sudah berlengas dengan peluh, lampu di rumahku perlu di 'on'kan kerana aku tidak berani untuk masuk ke rumah dalam keadaan gelap. Selepas  rumahku dimasuki pencuri, aku agak berhati-hati.

Bila aku kembali ke masjid barulah Juri pulang dan beliau maklumkan yang dia tak dapat hadir pada waktu malam. Kak Muznah yang baru saja habis bekerja pun singgah sekejap dan maklumkan tidak dapat juga hadir pada waktu malamnya. Tinggallah aku seorang melayan pelanggan.

Aku menegur 2 orang perempuan yang lalu depan aku. Kusangkakan pelajar politeknik rupa-rupanya guru sekolah yang baru saja 'posting' dalam minggu ini. Sudah 2 bulan sekolah dibuka.. mereka pula baru dapat mengajar. Mereka mendengar dengan minat dan aku memahami situasi mereka yang tidak dapat menerima gaji dalam tempoh 3 bulan pertama. Tapi selepas bulan Mei aku akan mencari mereka semula. Ramai juga orang yang singgah di petang hari termasuk juga Pn Rahmah dan beliau menjanjikan akan memberi aku peluang sekiranya ada program-program sebegini.

Selepas aku solat Maghrib, aku didatangi oleh sebuah keluarga yang terus saja duduk dan memberitahu mereka memang sedang mencari Takaful Ikhlas. 'Kami nak masuk ini tapi tak tahu nak pergi mana, masa pun tiada. '... Isterinya adalah seorang pensyarah dan suaminya tidak pula aku bertanya dimana beliau bekerja kerana tidak dapat bersembang lama, anak-anak mereka meragam dan pada ketika itu hari pun telah hujan. Tanpa banyak cerita, si suami mendatangani borang dan memberi kad pengenalan untuk aku buat salinan. Esoknya isterinya akan datang untuk membuat bayaran untuk 4 sijil Ikhlas Medical Assist (Medical card).

Selepas Isyak, suasana menjadi lebih meriah kerana ramai menyerbu ke gerai-gerai. Aku didatangi oleh seorang pelajar dan beliau menyatakan yang esok harinya beliau ada 'presentation' untuk tajuk Takaful. Aku pun menyampaikan ilmu yang aku ada dan aku lihat beliau sangat berminat dengan perjalanan Takaful. Katanya apabila beliau mula bekerja , beliau akan menyertai Takaful dengan gaji pertamanya. Sedang rancak kami bertukar-tukar pendapat, tiba-tiba saja 'black-out' . Aku masih bercerita dalam gelap kerana banyak yang disoal kepadaku.

Aku sampai ke rumah pada pukul 11.00 malam. Memandu seorang diri dari Ipoh melalui Seri Botani. Sebolehnya aku memang mengelak untuk keluar malam apatah lagi jauh ke Ipoh. Tetapi apabila mengenangkan inilah punca rezekiku, dan Allah ada bersama melindungiku, aku beranikan diri  meredah malam yang gelap.

Esok.. masih ada sehari lagi peluang aku untuk terus menyebarkan muamalat Islam di masjid ini.. Mungkin juga tertulis ada rezeki aku...


Khamis, 24 Februari 2011

Keyakinanku Kembali Pulih..

Baru pukul 1.00 pagi.. Sebenarnya malam tadi aku tidur awal. Sengaja aku merehatkan minda dan membaikpulih tenagaku selepas Isyak. Aku mengalami kesukaran tidur malam dalam tempoh setahun ini dan aku sendiri tidak menyangka yang aku boleh terlena.. Malangnya tepat saja pukul 12.00 malam , secara tiba-tibanya aku terjaga..

Selepas saja perjumpaan bersama Dato' CEO di Cawangan Ipoh sempena program konvoi Kembara IKHLAS, aku mendapat semangat baru. Pagi lagi aku telah keluar untuk membuat pemasaran dan  aku telah merancang untuk ke sebuah sekolah rendah. Entah macam mana di sepanjang perjalanan aku tidak perasan sekolah tersebut dan aku menyangkakan yang aku telah terlajak. Aku nekad, selepas ini mana-mana sekolah yang aku jumpa, aku harus berhenti di situ.

Sampai saja di sebuah sekolah menengah, aku berhenti.. Dalam 10 minit juga, dan tiba-tiba datang satu perasaan berbelah bahagi. Nak masuk ke.. tak nak masuk.. Aku hilang keyakinan diri. Aku akui yang aku memang kurang memberi perhatian untuk melakukan pemasaran di sekolah dan aku janggal sebenarnya di sekolah. Program pemasaranku lebih tertumpu di jabatan-jabatan kerajaan dan juga program buka kaunter. 

Aku tahu yang pada ketika ini aku memerlukan seseorang untuk 'push' aku dan aku  teringatkan rakan sekumpulanku , Kak Mas yang sememangnya mencari rezeki dalam kawasan sekolah. Aku menelefon beliau dan inilah perbualan kami;

Aku  : Kak Mas, Sal sekarang ini berada depan sekolah.. tolong Sal.. Sal nak patah balik.. hilang 'confident'... .. apa nak buat sekarang ini..

Kelakar pula aku rasakan apabila aku bertanyakan soalan yang sememangnya aku tahu apa nak buat.

Kak Mas : Sal ,' step by step..'   Ada jaga sekolah  tak?
Aku : Ada
Kak Mas : Jumpa Jaga dulu.. bagitahu nak jumpa pengetua atau Penolong Kanan .. pergi.. Jumpa dan minta kebenaran untuk buat promosi Takaful, minta duduk duduk dalam bilik Guru  .. tetapi sekiranya tidak dapat kebenaran, minta duduk di kantin..

Aku pun pergi masuk ke pejabat pentadbiran dan berjumpalah aku dengan Penolong Kanan. Tak sangka aku yang beliau memberi kebenaran aku berada di dalam Bilik Guru.

Aku kembali ke kereta untuk mengambil barang-barangku dan aku menelefon Kak Mas semula.

Aku : Kak Mas, Sal dapat duduk dalam bilik Guru, Sal minta 2 hari.. Nak buat macam mana sekarang ini?

Aku sendiri pelik macam mana aku boleh bersikap seolah-olah baru pertama kali aku membuat pemasaran. Aku tahu apa nak buat, cuma aku perlukan semangat.

Kak Mas : Sal, you pergi masuk, relaks.. you duduk dalam bilik guru. Tegur cikgu-cikgu.. bagilah risalah ke..Tak perlu dulu on laptop.. Bagi risalah saja .. Tempat ini , adalah rezeki you hari ini... go..

Aku pun masuk ke bilik Guru.. tarik nafas.. aku lihat ada sekumpulan cikgu perempuan sedang berbual. Aku pun tegur.. Cikgu itu pun memberitahu bahawa disini selalu ada orang Takaful datang.. mereka duduk dihujung sana. Ohh.. orang Takaful dah masuk ya.. semangat aku sudah 'down'.. Tapi aku jenguk jugak tempat yang dikatakan. Ok .. cantik ada kusyen ada meja..  Aku menegur seorang guru perempuan pula dan dia maklumkan pada aku yang dia sedang mencari perlindungan Takaful untuk 3 orang anak-anaknya.  Semangat aku yang telah 'down' sekejap tadi, ok balik dan aku pun bercerita. Tak lengkap pada aku sekiranya bercerita tanpa memberi illustrasi kepada peserta dan meminta izin kepada guru itu untuk mengambil printer dan juga laptop.. Semangat aku sudah pulih, keyakinan diri sudah kembali.

Beroperasilah aku membuka meja dalam Bilik Guru di ruang rehat guru-guru lelaki. Dah sifat aku ramah.. perasaan malu terpaksa buang ke tepi untuk mencari rezeki yang halal. Aku menjadikan cikgu-cikgu di sini sebagai  sebagai kawan.

Pengalaman pernah menjadi guru dahulu ada gunanya dalam pemasaran aku sekarang ini. Rindu pula untuk mengajar apabila mendengar loceng, melihat cikgu-cikgu keluar masuk dan menanda buku-buku sekolah.

Alhamdulillah.. aku mendapat keyakinan diri kembali. Niat aku yang pertama adalah untuk menyebarkan muamalat Islam dan di sini aku rasakan niatku  telah tercapai. Rupanya ramai cikgu-cikgu tidak tahu yang mereka boleh buat pilihan untuk ambil insurans kereta. Bila aku bertanya pada cikgu-cikgu.. 'kami bagi 'used car' saja.. ' ataupun bank uruskan..' dan apabila aku mula bercerita, mereka diberi hidayah untuk berhijrah..  Ramai tidak tahu yang geran asal kereta boleh dikeluarkan untuk simpanan kita dan aku telah membantu ramai pelanggan aku mengeluarkan geran asal kereta mereka untuk memudahkan pembaharuan cukai jalan setiap tahun.

Hari ini, malam ini dan esok pula aku akan berada di Masjid Diary Ipoh sempena program ' Karnival Halal Hub' selama 2 hari. Aku terkejut sebenarnya apabila dihubungi oleh Pn Rahmah yang mempelawa aku membuka kaunter Takaful Ikhlas. Dan sesungguhnya aku yakin dengan Allah, apabila kita merendah diri kepadaNYa, meminta pertolongan.. akan tiba masanya datang bantuan dariNYA..

Seperti pengakhiran doa dalam sulat Dhuha yang aku sebut setiap hari ..

' Ya Allah, sekiranya rezekiku berada dilangit, Kau turunkanlah.. Sekiranya rezekiku berada dibumi, Kau keluarkanlah.. Sekiranya rezekiku jauh, Kau dekatkanlah.. Sekiranya rezekiku sukar, Kau mudahkanlah dan sekiranya rezekiku haram, Kau sucikanlah..'

Salamiah..Berusahalah... bertawakal.. berdoalah..

Rabu, 23 Februari 2011

Allahyarham Sudirman Haji Arshad - Kelukaanmu Kesedihanku...










AL FATIHAH

Hari ini 22/02/2011... Di pagi hari lagi aku sudah mendengar lagu-lagu Allahyarham Sudirman dimainkan dicorong-corong radio menemani aku sepanjang aku memandu. 19 tahun dahulu iaitu pada 22/02/1992 seluruh rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita kematian Allahyarham Sudirman Haji Arshad, seorang 'Penghibur Rakyat' yang tiada galang gantinya.

Pada ketika itu aku berusia 18 tahun dan aku akui yang aku adalah salah seorang peminatnya dari dulu dan hingga kini. Tidaklah pula aku menangis atas pemergiannya cuma aku dapat merasakan kehilangan 'seseorang' yang aku sungguh minati . Bermula dari saat kematiannya aku mula mengumpulkan keratan-keratan akhbar yang boleh dikatakan saban hari ada saja cerita-cerita beliau dipaparkan. Dan adakalanya apabila aku membaca cerita-cerita dari kawan-kawan arwah yang akrab, airmata aku akan mengalir sama. Tapi sayangnya semua keratan akhbar itu telah hilang dalam simpanan aku.

Ada persamaan sejarah hidup antara aku dan arwah Sudirman. Kami anak bongsu ... kami melepaskan orang yang kami sayang... kami tersenyum riang walau hati berduka lara dan hidup kami kesepian tanpa zuriat keturunan. Cuma satu saja yang membezakan, tidaklah pula aku mahu menyeksa jiwa ragaku sepertinya merintih hiba atas pemergian insan yang aku 'lepas'kan.. sehingga menutup pintu hati untuk mencari bahgia bersama orang lain. KESETIAANnya kepada seorang wanita yang pernah bergelar isteri sangatlah aku kagumi.. sehingga ke akhir hayatnya.

Sehingga kini aku masih lagi tidak jemu mendengar lagu-lagu beliau seperti 'Terasing', 'Salam Terakhir', 'Merisik Khabar,'Jauh Disudut Hati, 'Dimanakah Nilai Cintamu' , 'Pelangi Petang' dan banyak lagi yang mana aku rasakan ada persamaan kisah duka kami. Hanya orang yang pernah melaluinya dapat menghayati bait-bait lagu ini... sama-sama merasa kesengsaraan ditinggalkan... Betapa hati ini hancur dan terluka atas apa yang telah ditakdirkan...

Aku kagum dengan Puan Habsah Hassan yang berjaya menghasilkan bait-bait lagu yang indah, sedih dan memilukan dimana kesemua lirik yang dihasilkan oleh  beliau berjaya diluahkan dalam bentuk nyanyian yang menyentuh hati. Adakalanya aku rasakan akulah dalam cerita itu.

Antara bait-bait lagu yang menyentuh hati aku,


 'Malam ku suram, siang ku kelam... ku kegelisahan, mencari-cari... kemana pergi... HARGA DIRI INI...Bertanyakan berita... merisik khabar..mendengar cerita, melaluinya...
Kau kuhampiri....tiap hari..Bersama luka dihati... ' (MERISIK KHABAR)


'Kegelisahan didalam kedinginan... Meniti sepi keseorangan..Sebuah KEMATIAN yang TIADA BERNISAN..Sendu mengiringi perpisahan... ' (TERASING)

'Engkau tiba bagaikan pelangi... Tak bercahya namun kau berseri....Tapi cukup menghiburkan... Hati ini...'  (PELANGI PETANG)

'Hancur hampa terima berita... Kini kau diijabkabulkan...Berbahagia dan sejahtera... Dengan dia itu..Hatiku terharu.. Berlinang airmata ini...Kerana dirimu oh kasih..Tak pernah terduga hatiku..BEGITU MURAHNYA...Cintamu padaku....' (DIMANAKAH NILAI CINTAMU)

'Jauh disudut hati... Aku masih bermimpi....Mimpi yang indah...Esok kau kembali....
Jauh di sudut hati.. Ada waktu-waktunya... Aku berdoa...Kau pulang semula
Sayang....Biar ku mengingatimu, Biar kugantung harapan....Hingga sampai waktu...
Nafas terakhirku...' (JAUH DISUDUT HATI)

'Salam akhir...Salam yang teristimewa...KepadaNya ku memohon keampunan
MelaluiNya KU BERI KEMAAFAN..Kepadamu..' (SALAM TERAKHIR)


Sungguh puitis.. dan memilukan.. itulah gambaran kesedihan hidup Arwah Sudirman. Pada aku yang pernah melalui saat-saat yang sukar ini, aku cuma mampu berdoa kepada Allah SWT supaya memberi peluang untuk aku bangkit dari kekecewaan , meneruskan hidup aku tanpa menoleh ke belakang... Setiap yang berlaku ada hikmahnya dan hanya DIA yang Maha Mengetahui..  

Isnin, 21 Februari 2011

Kembara IKHLAS

Dato' Syed Moheeb  (CEO Takaful Ikhlas ) dengan motorsikal berkuasa tinggi miliknya

Dato' CEO yang simple dengan pakaian kembaranya

2 buah motosikal berkuasa tinggi dan sebuah kereta tinggi mengiringi Dato' ke Takaful Ikhlas Cawangan Ipoh

En Shaharudin sedang menyampaikan motivasi dan peransang kepada agen-agen

Alang-alang menunggu, bergambar dahulu dalam pejabat Takaful Ikhlas

Telah masuk tahun ke empat aku bersama Takaful IKHLAS. Hari ini buat pertamanya kalinya aku dapat bertemu secara peribadi dengan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful IKHLAS, iaitu Dato' Syed Moheeb bin Syed Kamarulzaman.

Kedatangan Dato' CEO bersama rombongannya adalah sempena konvoi Kembara Ikhlas ke cawangan-cawangan terpilih iaitu dari Melaka, turun ke Johor seterusnya ke Kuantan, ke Kota Bharu dan ke Cawangan Ipoh sebagai destinasi yang terakhir. Tiada pemandu peribadi khas untuk Dato' CEO tetapi beliau datang ke cawangan-cawangan dengan menunggang motosikal berkuasa tinggi bersama 2 buah motosikal pengiring yang ditunggang oleh Tn Hj Rozhan dan Tn Hj Wan Rosli. Konvoi mereka juga turut diringi oleh rombongan yang lain tetapi dengan sebuah kereta sahaja.

Selesai saja aku dengan Kak Ina bersolat Zohor, kami terserempak dengan Dato' yang baru naik ke pejabat untuk bersolat. Kami sangkakan beliau belum bersiap tetapi kami telah silap. Itulah pakaiannya semasa berjumpa dan memberi peransang dan kata-kata semangat kepada semua agen-agen Wilayah Utara. Dato' CEO hanya berpakaian T-Shirt dan berseluar khas untuk menunggang motosikal. Simple sangat. Tiada baju kot seperti CEO yang kita pernah jumpa.  

Kedatangan rombongan Kembara IKHLAS ini tepat pada masanya. Memberi kata-kata perangsang untuk kami memecut dalam masa 44 hari ini sebelum tahun kewangan 2010/2011 berakhir pada 31hb Mac 2011.

Sessi motivasi yang disampaikan oleh En Shaharudin membakar semula semangat aku yang telah suam-suam kuku ini semenjak aku rasakan agak sukar mendapat 'business' pada ketika ini. Kesan dari harga minyak naik dan barang-barang keperluan pun naik membuatkan orang ramai berjimat dan menganggap menyertai Takaful bukanlah satu keperluan. Tetapi ASTROnya, broadband dan rokok mampu pula dibayar. Tidak aku nafikan, ada sedikit rasa putus asa dalam diri ini apabila pemasaran yang aku buat setiap hari kurang hasilnya. Tetapi atas prinsip aku menyampaikan dakwah dan menyebarkan muamalat islam, aku hanya berserah kepada Allah SWT kerana aku telah berusaha.

Terkejut juga aku bila Dato' CEO menceritakan asalnya beliau bermula dari bawah iaitu hanyalah seorang agen seperti kami dan ada peningkatan karier sehingga ke tahap sekarang. Beliau menceritakan semasa beliau menunaikan fardhu haji, beliau telah berdoa di hadapan Kaabah memohon supaya dimudahkan kepadanya untuk mencari rezeki yang halal. Sekembalinya dari Mekah, Dato' CEO menerima tawaran dari MNRB untuk mengendalikan Takaful Ikhlas. Dato' juga turut menceritakan semasa di Mekah beliau ada membayangkan untuk mendirikan sebuah bangunan perniagaan, dan bangunan bayangan itu rupanya seiras dengan bangunan 'IKHLAS Point' yang baru saja beroperasi dalam masa setahun ini di Kerinchi. Makbul doa Dato' kita di tanah suci Mekah.

Sesiapa saja yang memandang wajahnya akan rasa tenang. Terasa ada nur di wajahnya. Walau pun pernah melalui pembedahan pintasan saluran jantung, tetapi yakinnya Dato' kepada Allah SWT, beliau diberi kesihatan yang baik dan boleh menunggang beribu-ribu kilometer untuk  program amal jariah di Cambodia dan beberapa program kebajikan yang lain.

Kedatangan Dato' CEO bersama rombongannya hari ini memberi aku semangat semula dan aku sudah tidak sabar untuk memecut. Selepas saja aku solat maghrib tadi, pelanggan aku menelefon memberitahu kawannya berminat untuk menyertai Takaful esok hari. Terima kasih Ya Allah.. ini merupakan pembakar semangat aku yang kedua selepas Dato' CEO pada petang tadi.

'We Believed, We Achieved'.. 'I Am A Champion'.. kami laungkan bersama-sama Dato' tadi. Dan mulai hari ini aku akan mula berubah menjadi Salamiah yang asal.. Salamiah yang tidak pernah kenal putus asa.

Dato' Syed Moheeb... kedatanganmu hari ini membakar semangatku semula..

Sabtu, 19 Februari 2011

Telah Dijanjikan... Inilah Rezekiku..







Gaji asas bulanan sebanyak RM300... Seorang pemegang Ijazah Sarjana Muda Dengan Kepujian Perniagaan (Insurans) dan telah berjaya mendapat Kelas Kedua Tertinggi. Diantara rakan sekelas aku menduduki nombor 4 dan berbaris dibelakang Kak Lubna Asiah, Mohamad dan Norhazila yang mendapat Kelas Pertama semasa majlis penganugerahan Konvokesyen UiTM 1999. Bayangkan perasaan keluarga itu apabila aku memilih pekerjaan ini sedangkan pada ketika itu aku telah mendapat tawaran pekerjaan yang lebih baik.

Siapa sangka dari RM300, menjadi RM 500 bertambah kepada RM 800 dan bertambah lagi dan lagi...dan lagi.... Aku adalah dalam kumpulan 'pioneer' semasa jawatan Pegawai Pemasaran Takaful Keluarga (Khas) diwujudkan. Pihak pengurusan juga telah memperkenalkan sistem 'point' dikenali sebagai program BKT dimana setiap 'business' yang kami bawa diberi 'points' dan dikumpulkan  dan 'points' ini boleh ditukar kepada barang-barang yang ditawarkan. Memang menarik.  Sekiranya masalah penghantaran menjadi isu, kami boleh membuat sebutharga dikedai barang yang kami kehendaki...dan cek akan dihantar kepada tauke kedai untuk ditukar ganti dengan barang. Masa inilah kami memainkan peranan menukar 'points' kepada RM dengan syarat kami mesti ambil juga barang dan baki dari cek tersebut akan dibayar tunai kepada kami oleh tauke kedai.

Aku memang bertuah. Semasa itu ada Produk Skim Takaful Anuiti dimana peserta hanya memindahkan duit dari KWSP (Akaun 1) ke Takaful. Semasa ia dilancarkan, aku bersama En Hamran ligat juga mempromosikan produk ini walaupun pada ketika itu terlalu banyak isu diutarakan. Seingat akulah 'business' yang aku dan En Hamran hasilkan pada ketika itu melebihi RM1,000,000.00 dan dari jumlah ini telah ditukar kepada 'points' yang aku sendiri tidak ingat berapa nilainya.

Dari program BKT ini, aku telah memiliki 2 buah peti ais, yang mana satu darinya aku telah hadiahkan kembali kepada Meja Takaful Tapah dan satunya lagi masih ada sehingga kini dengan aku. Aku juga memiliki 2 periuk nasi elektrik yang besar dan sederhana, cerek elektrik, pengisar serba guna dan selebihya aku menukarnya dengan wang ringgit. Kalau tidak silap aku, En Hamran pula telah menghadiahkan Azlan sebuah mesin basuh sempena perkahwinan beliau dan selebihnya menukarkan 'points' kepada RM.

Pada ketika itu, memang ada ura-ura mengatakan Skim Anuiti ini akan diberhentikan. Itulah sebabnya aku bermalam di pejabat kerana aku takut tidak sempat untuk membuat penghantaran. Dokumentasinya agak renyah kerana ia melibatkan cop jari yang mungkin akan di 'reject' oleh KWSP dan borang mestilah dilengkapkan tanpa kesilapan.

Aku sebenarnya risau sekiraya aku tidak sempat untuk mendapat hasil dari penat lelah aku bersama En Hamran. Aku telah ke ibu pejabat dengan menaiki bas semata-mata untuk membuat penghantaran dan memastikan pihak terbabit menerimanya dengan menandatangani akuan penerimaan depan mata aku. Aku menghantar sendiri  ke semua dokumen  sebanyak 30 cadangan kepada Pengurus Takaful Keluarga ketika itu En Mohd Nasir Mahidi.

Memang telah tertulis, ada rezeki aku...kesemua cadangan telah diproses tanpa ditolak oleh KWSP. Ramai kawan-kawan aku yang bernasib malang kerana melengah-lengahkan penghantaran dan berkesudahan dengan tidak diproses apabila produk Skim Anuiti ini diberhentikan.

Oh ya... lupa pula aku. Dari Tapah ke Ibu Pejabat dan Tapah ke Shah Alam dekat saja bagi aku. Aku selalu berulang dan membuat pemasaran di sana. Semasa di ibupejabat aku telah melayan seorang Pengurus Besar Bank Islam dikaunter ibu pejabat dan beliau telah membuat caruman sebanyak RM 1,000 sebulan. Sesuatu yang aku tidak jangkakan ketika itu. Aku juga telah mendapat slot taklimat di UiTM dan berjaya membuka kaunter promosi di lobi Bangunan Menara dan aku mendapat bantuan dari Pegawai di Shah Alam. Banyak lagi prestasi gemilang aku terutamanya sewaktu program-program buka kaunter.

Alhamdulillah... siapa menyangka , siapa menduga..  Telah tertulis inilah rezeki aku..

Rabu, 16 Februari 2011

Kami Bagaikan Sebuah Keluarga Di sini..






Bertemu kembali Kak Yati dan anak-anak yang dahulunya duduk diribaan aku
Bagaikan sebuah KELUARGA...aku tidak menafikannya.. Telah banyak kali aku bertukar majikan, sehinggalah kini... tetapi apa yang aku rasa.. sepanjang perkhidmatan aku di Meja Takaful Tapah, ada suasana kekeluargaan disini. Kadang-kala apabila aku melalui jalan utama di pekan Tapah, aku akan berhenti betul-betul dihadapan pejabat Takaful untuk mengenang nostalgia yang tak mungkin aku lupakan sepanjang hayat aku. Disinilah bermulanya peningkatan karier aku dari seorang Pegawai Pemasaran dengan gaji asas RM300 kepada seorang yang akhirnya membantu mentadbir Takaful Malaysia Negeri Perak. Melalui kesusahan dan kepayahan untuk senang, melakukan tugas dengan niat untuk berdakwah bukan kerana wang ringgit, mengajak masyarakat diluar sana berhijrah kepada muamalat Islam.

Aku tidak ingat pula bila Meja Takaful Tapah dibuka, tetapi semasa aku melaporkan diri untuk bertugas pada tahun 1999  kalau tidak silap akulah pejabat Meja Takaful Tapah baru beroperasi dalam 2 tahun.

Takaful Malaysia telah  diasaskan oleh Dato' Mohd Fadzli pada tahun 1984 tetapi hanya mula beroperasi pada tahun 1985 dengan kumpulan  pertama seramai 22 orang kakitangan. Penubuhan Takaful Malaysia ini adalah atas keperluan perbankan Islam iaitu dimana apabila Bank Islam mula ditubuhkan pada 1983 mesti ada syarikat Takaful sebagai pelindungnya. Semasa itu Takaful Malaysia adalah anak syarikat BIMB Holdings.

Seronoknya dapat berjumpa dengan 'pioneer'.. menceritakan kesusahan diawal penubuhan Takaful Malaysia. Dato' Fadzli ada bercerita diawal penubuhan Takaful Malaysia, kerusi meja pun tiada.. kakitangan buat kerja atas lantai saja. Selepas itu seorang kakitangan Takaful Malaysia diletakkan sama ada dalam bangunan Tabung Haji atau bangunan Bank Islam. Kasihan aku mendengar cerita mereka kerana meja untuk kakitangan Takaful sama ada diletakkan di tepi tangga atau agak terpinggir. Sudahlah seorang diri terkontang-kanting di dalam pejabat Bank Islam atau Tabung Haji, untuk menggunakan kemudahan seperti telefon dan mesin fotostat pun terasa amat segan. Ialah.. namanya menumpang dalam bangunan orang.

Sudah jenuh menumpang, akhirnya secara beransur-ansur Takaful Malaysia keluar dari bangunan Bank Islam dan Tabung Haji dan menyewa bangunan pejabat sendiri yang dikenali sebagai Meja Takaful. Semasa itu hanya ada seorang kakitangan menguruskan Meja Takaful ini dan mereka dikehendaki membuat jadual pemasaran. Semasa mereka keluar , pejabat akan ditutup. Apabila jadual pemasaran dan pejabat operasi agak terganggu kerana kekurangan kakitangan, akhirnya kakitangan ditambah menjadi 2 , 2 kepada 3 dan seterusnya menjadi ramai dan meriah.

Semasa aku mula-mula bertugas di Meja Takaful Tapah , yang ada hanyalah Penyelia Meja, seorang kerani dan seorang Pegawai Pemasaran. Bila aku datang telah ada empat orang dan suasana agak meriah. Syarat untuk Pegawai Pemasaran mempunyai kerani sendiri untuk pemerosesan sijil, mesti ada 3 orang Pegawai Pemasaran. Ketika itu, Meja Takaful Tapah menerima seorang lagi Pegawai Pemasaran dan akhirnya tambahan seorang kerani lagi iaitu Mariyatul Qibtiah. Haru biru pejabat bila sudah ramai walau pun jarang-jarang sekali dapat berkumpul.

Terlalu banyak kenangan suka-duka semasa aku bertugas di sini. Aku masih ingat lorong-lorong yang aku lalui setiap hari. Dengan hanya bertemankan payung dan juga sebuah beg, aku menapak seorang diri setiap hari sehingga ke Hospital Tapah, ke Pejabat Tanah dan di semua tempat di pekan Tapah. Tidak kiralah pada seorang tukang baiki kasut atau pada seorang pembantu kedai atau pada seorang penunggu kaunter tiket parking.. tanpa segan silu aku akan bercerita. .. dan ada hasilnya.

Masih aku ingat lagi semasa aku menjadikan pejabat sebagai rumah tumpangan aku, semasa itu Azlan secara tidak sengaja telah 'mengunci'  aku yang pada masa itu sedang bersolat maghrib di dalam surau. Mati akal juga aku pada ketika itu kerana aku tidak dapat masuk ke ruang hadapan. Aku menjenguk dari tingkap surau dan ada sepasang kekasih sedang berdating di pondok telefon. Aku menjerit memanggil mereka,meminta tolong mereka untuk menelefon En Hamran. Allah mudahkan aku, setengah jam kemudian En Hamran sekeluarga sampai. Beliau nak hantar aku balik rumah malam itu juga tetapi aku berdegil kerana banyak sijil-sijil pelanggan belum aku proses. Semasa itu aku belum mempunyai kerani lagi dan 'business' yang aku bawa banyak.

Bangunan Takaful Tapah ketika itu adalah bangunan kayu, berhadapan dengan balai polis Tapah dan juga Mayban. Bangunan yang uzur, seperti kata En Mohd Lot, tingkapnya kalau ditiup angin pun boleh jatuh. Kalaulah Tn Hj Ariffin masuk pejabat, kami di dalam sudah pasti mengetahuinya kerana gegaran yang kuat dari hentakan kaki Tn Hj Ariffin. Bangunan ini jugalah yang selalu menjadi gurauan kami semua samada di pejabat atau semasa mesyuarat di Ipoh.  Bayangkan.. beraninya aku ketika itu.

Meja Takaful Tapah akhirnya telah berpindah ke bangunan batu yang lebih baik dan selamat tetapi pada ketika itu aku telah berhijrah ke Cawangan Ipoh.

Biarlah buruk bangunan kayu itu, tetapi pada aku terlalu banyak kenangan yang tidak mungkin aku lupakan sepanjang hayatku.

Kami bagaikan sebuah keluarga bahagia didalamnya.

Selasa, 15 Februari 2011

Mahalnya Harga Sebuah Pengalaman ....





Aku mendapat KEYAKINAN diri apabila kerap berjumpa dengan pelanggan pelbagai status. Dalam insurans dan Takaful, tiada barang yang dapat dilihat untuk dijual. Apa yang kami lakukan adalah menyampaikan dakwah, mengubah minda masyarakat dan sekiranya hati mereka telah diberi hidayah oleh Allah SWT, mereka akan sama-sama berhijrah dari insurans konvensional ke Takaful. Sama-sama membangunkan ekonomi muamalat Islam.

Aku juga telah banyak kali diberi peluang untuk memberi taklimat dan juga menjawab dengan yakin soalan-soalan yang ditanya. Aku tidak meletakkan harapan yang tinggi kepada pelanggan yang kutemui, tetapi cukuplah bagi aku, menyampaikan suatu dakwah kepada pelanggan dan sekiranya mereka tidak masuk Takaful dengan aku, sekurang-kurangnya mereka boleh menyampaikan ilmu Takaful kepada orang lain.

Kekuatan aku dalam bidang pemasaran ini ialah melalui program buka kaunter. Kerjasama antara aku dengan En Hamran dalam program buka kaunter membantu menaikkan prestasi Meja Takaful Tapah, prestasi peribadi aku dan juga prestasi peribadi En Hamran. Ada keserasian antara kami berdua dalam bekerjasama. Sekiranya program sampai malam, En Hamran akan membawa keluarganya sekali sehingga program tersebut selesai.

Antara peluang buka kaunter yang besar yang aku telah sertai seperti pada masa Hari Peladang dan Penternak di Ulu Bernam Selangor selama seminggu. Aku telah bekerjasama dengan Pegawai Pemasaran dari Meja Takaful Tg Malim. Semasa program ini juga aku telah menyewa rumah seorang nenek saudara kakak ipar aku. Ialah, aku mana ada kenderaan sewaktu itu melainkan bas sahaja.

Ada cerita yang selama ini aku sembunyikan dari kawan-kawan Takaful aku. Hanya kami di Meja Takaful Tapah saja yang mengetahui. Kerapnya program buka kaunter yang aku sertai sehingga ke malam, membuat aku dengan beraninya bermalam di pejabat Takaful Tapah. Kesudahannya aku menjadikan pejabat Takaful sebagai rumah tumpangan aku pula. Dalam 2 bulan juga adalah. Tiada istilah takut dalam diri aku. Keluarga aku sendiri tidak tahu yang aku bermalam di pejabat, kerana aku telah membuat dalih yang aku menyewa bersama kawan-kawan di pekan Tapah.

Puncak karier aku sebagai Pegawai Pemasaran ialah semasa Ekspo di Kampar selama 10 hari yang berkesudahan dengan hari terakhir, aku telah demam dan hilang suara. Semasa Ekspo ini aku telah berjaya mendapatkan 'business' Skim Takaful Anuiti melebihi RM500,000. Begitu juga dengan 'bussiness' Takaful Keluarga yang agak banyak juga  hasilnya.

Aku masih ingat lagi, Azlan (kerani) menitiskan airmata kerana tak sanggup melihat aku bersusah payah bekerja dalam bidang pemasaran sedangkan aku memilki ijzah dan mampu mendapat pekerjaan yang lebih baik dari gaji asas RM300. Masih aku ingat lagi, apabila aku bangun pagi, sudah ada nasi lemak dan teh panas tersedia di meja belakang. Katanya, dia cukup terharu dengan ketabahan aku dalam mencari rezeki yang halal.

Mengenai permohonan aku sebagai Pensyarah UiTM, aku telah dipanggil untuk menghadiri temuduga. Setelah berbincang dengan keluargaku, En Hamran dan Azlan, mereka menggalakkan aku untuk menghadiri temuduga itu dan bersedia kehilangan aku. Lama juga aku membuat keputusan dan meminta petunjuk dari Allah SWT yang berkesudahannya aku tidak pergi ke temuduga tersebut. Aku tahu kalau aku pergi, aku akan dapat jawatan tersebut dan akan dihantar ke UiTM Cawangan Jengka, Pahang. Dalam masa yang sama pula, pelangggan aku telah ramai dan mereka memerlukan khidmat aku.

Alhamdullillah, keputusan yang aku buat tepat sekali. Rentetan dari ketabahan aku dalam membuat pemasaran tanpa banyak soal dan alasan memberi imej yang baik pada pandangan mata pengurusan Takaful Malaysia Negeri Perak.

Ahad, 13 Februari 2011

Mula Berkhidmat Di Takaful Malaysia

18hb September 1999.. Inilah tarikhnya aku mula melapurkan diri sebagai Pegawai Pemasaran Takaful Keluarga di Meja Takaful Tapah. Aku telah mengikuti latihan selama seminggu di Takaful Malaysia di ibu pejabat. Semasa latihan diadakan, kami dikehendaki membuat pemasaran kepada Pengurus Besar dan Pengurus di ibu pejabat. Kalau ada rezeki, kami dapat 'bussiness' pada hari tersebut. Aku telah mencabut undi.. dan aku dikehendaki membuat pemasaran kepada Pengurus Pemasaran Bahagaian Sumber Manusia, iaitu Encik Ishak bin Tamyes.. orang yang mencabar aku semasa aku ditemuduga.  Dekat sejam jugalah aku membuat pemasaran kepadanya.. Bertalu-talu soalan ditanya kepada aku. Memang tiada rezeki aku tetapi yang aku perolehi pada hari tersebut ialah 'KEYAKINAN ' diri. Aku juga dimaklumkan ada di antara rakan-rakan kami yang mendapat 'sale' pada hari tersebut.

Berkobarnya semangat aku semasa melaporkan diri. Bertemu dengan Pegawai Meja , En Hamran bin Abdullah dan juga Saudara Azlan. Selain mereka berdua, aku dimaklumkan bahawa terdapat seorang lagi Pegawai Pemasaran Takaful Keluarga iaitu Tn Hj Ariffin. Beliau adalah seorang pesara tentera.

Aku berulang alik datang kerja hanya dengan menaiki bas saja. Setiap hari aku akan menapak di pekan Tapah untuk membuat 'sale'. Alhamdulillah ada saja rezeki aku.  En Hamran juga banyak membantu aku. Sekiranya beliau pergi ke sekolah-sekolah, beliau akan membawa aku bersama.

Aku juga kerap berulang ke Kuala Lumpur & Shah Alam untuk membuat 'sale'. Aku mencari kembali kenalan-kenalan lama aku dan juga aku telah berjaya mendapat slot untuk taklimat dan juga buka kaunter di UiTM Shah Alam. Nama aku agak terkenal di Perak dan selalu disebut-sebut setiap kali mesyuarat bulanan Pengurus. Hebat aku ini... kata mereka.. tabah.. hanya berjalan kaki dan menaiki bas untuk membuat 'sale' tanpa banyak alasan.

Dalam masa yang sama aku juga mula belajar memandu. Aku telah meletakkan sasaran untuk memiliki sebuah kereta KANCIL melalui pembiayaan pinjaman 100% dari Takaful Malaysia.

Banyak program buka kaunter yang diaturkan oleh En Hamran untuk aku. Selalunya, Tn Hj Ariffin tidak ikut serta dalam program buka kaunter ini. Boleh dikatakan setiap bulan akan ada program buka kaunter yang berkesudahan dengan aku membawa 'sales' yang banyak. Antaranya program buka kaunter yang aku sertai seperti  program anjuran sekolah biasa dan sekolah agama rakyat, program yang dianjurkan oleh UMNO juga program yang dianjurkan oleh PAS dan juga karnival yang besar.

 Aku juga telah berkenalan dengan keluarga En Hamran iaitu Kak Yati dan anak-anak dan juga ibu mertuanya. Bukan apa, untuk mengelak syak wasangka, aku kena tunjukkan kejujuran aku, bekerja bersama suami Kak Yati, hanya semata-mata urusan kerja sahaja. Hubungan aku dengan Kak Yati juga agak rapat.

En Hamran juga telah mengarahkan aku supaya mengeluarkan sendiri sijil-sijil pelanggan tanpa bantuan Azlan. Tidak menjadi masalah kepada aku, kerana aku memang teruja dengan sesuatu yang baru adan aku juga ringan tulang. Tiada istilah kerja aku hanya untuk buat pemasaran saja. Di pejabat, aku membatu En Hamran membuat filing, mengemaskini data dan juga mencuci pejabat. Mana ada tukang cuci. Akulah orangnya.. Menyapu pejabat setiap hari dan juga mencuci tandas. Tiada arahan pun, tetapi atas kerelaan hati aku kerana aku sayangkan tempat aku mencari rezeki.

Banyak lagi nak cerita ni.. tunggu ya..

Aku Berjaya Menceburkan Diri Dalam Industri Takaful.

Selesai sahaja kontrak mengajar sebagai Guru Sandaran tamat, aku mula menghantar 'resume' ke UiTM untuk jawatan Pensyarah Muda . Aku dimaklumkan bahawa kursus Diploma Perniagaan (Insurans) akan dipusatkan ke UiTM Cawangan Felda Jengka. Aku telah berjumpa dengan Drs Rashid di UiTM berkenaan dengan permohonan aku ini dan beliau memberi jaminan sekiranya aku memohon, beliau akan membantu aku sehingga berjaya.

Dalam masa yang sama aku juga telah menghadiri 'walk-in-interview' di Takaful Malaysia untuk jawatan Pegawai Pemasaran Takaful Keluarga. Aku berjumpa dengan sahabatku, saudara Abdullah Naim di Takaful Malaysia untuk meminta nasihat, tetapi beliau tidak menggalakkan aku memohon jawatan ini.

Aku hadir juga temuduga ini. Sebelum kami beramai-ramai ditemuduga, kami telah diberi penerangan tentang jawatan Pegawai Pemasaran ini. Suatu jawatan yang baru di Takaful Malaysia. Semasa sessi temuduga aku telah dicabar oleh penemuduga iaitu En Ishak bin Tamyes ( Pengurus Besar Bahagian Sumber Manusia). Soalan yang ditanya, 'sekiranya anda dipilih untuk kerjaya ini, sampai bila anda rasa anda akan kekal dengan jawatan ini.' Dengan selambanya aku memberi jawapan, 'saya hanya ''target setahun sahaja untuk saya kekal dengan jawatan ini.. Sekiranya dalam masa setahun, saya masih dengan jawatan ini, saya adalah seorang teruk'.

Sebenarnya aku teruja dengan jawatan ini. Pertama kalinya Takaful Malaysia melantik Pegawai Pemasaran dan diberi upah 3% dari sijil yang dihasilkan. Sekiranya kita rajin, pendapatan kita akan berterusan. Pendapatan yang tiada had. Gaji asas sebanyak RM300 juga diberi kepada semua Pegawai Pemasaran. Kami bebas memilih untuk bertugas dan aku telah memilih Meja Takaful Tapah untuk aku berkhidmat. Sememangnya aku telah berniat untuk balik berkhidmat ke  Perak.

Selepas 2 minggu aku telah mendapat jawapan keputusan temuduga iaitu aku telah diterima sebagai Pegawai Pemasaran Takaful Keluarga dan ditempatkan di Meja Takaful Tapah.

Alhamdulillah, ada rezki aku dalam industri Takaful. Aku tidak memandang pun gaji yang ditawarkan iaitu RM300. Pokok pangkalnya, sekiranya aku rajin berusaha, Allah akan memberi ganjaran yang lebih lagi. Aku juga mencabar diri aku.. Hanya setahun sahaja untuk aku kekal dengan jawatan ini..

Mampukah aku merealisasikannnya?...  Tunggu..

Jumaat, 11 Februari 2011

Aku Seorang Guru Sekolah Menengah Pula....

Selesai sahaja aku berjaya menamatkan pelajaranku dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Dengan Kepujian Perniagaan (Insurans) dengan CGPA 3.44 iaitu 'Kelas Kedua Tertinggi' pada tahun 1998, aku menjadi Guru  Sandaran kembali selama 4 bulan pula. Tak sempat juga lah untuk aku merasa menganggur. Semasa itu kakak aku , Nora yang mengajar di SMK Kuala Kubu Bharu telah merekomenkan aku untuk mengajar di sekolah ini. Kali ini aku mengajar mata pelajaran Matematik dan Bahasa Melayu menggantikan cikgu sekolah yang sedang berkursus khas untuk Sekolah Bistari. Seronok sebenarnya menjadi guru, dan ianya adalah cita-cita aku juga sebenarnya. Satu kepuasan dalam diri apabila murid-murid memahami apa yang diajar dan menjadi orang yang berjaya.

Di sekolah ini juga aku telah bertemu kembali dengan Cikgu Rosnaini Ibrahim iaitu bekas guru kelas aku semasa aku Tingkatan 1 di Sekolah Menengah Sungkai dahulu. Agak kekok juga aku pada mulanya apabila menjadi rakan seperguruan pula.

Memandangkan semasa itu aku belum lagi menerima Ijazah (konvokesyen), gaji aku hanya bersandarkan dari keputusan SPM sahaja. Diploma aku pun tiada nilainya pada masa itu. Kalau tak silap aku, aku diberi gaji dalam RM680 sebulan, berbanding dengan kawan aku yang juga Guru Sandaran tetapi telah memiliki Ijazah, beliau mendapat gaji melebihi RM 1000. Tapi aku tak kisah pun.. Yang penting aku dapat pengalaman sebelum aku benar-benar 'terjun' ke industri Insurans.

Aku tinggal bersama Nora dan secara tak langsung ke enam-enam anaknya dibawah asuhan aku. Abang ipar aku masih berada di luar negeri, belum habis belajar. Semasa itu , Syaima iaitu anak buah aku yang paling kecil baru saja berusia 6 bulan. Seronok mengasuh anak kecil tambahan Syaima comel sangat. Sekarang ini beliau telah berada dalam Tingkatan 1.

Selesai saja kontrak aku habis, aku pun balik ke kampung dan mulalah aku mencari kerja bersesuaian dengan Ijazah yang aku miliki. Tak lama pun... 

Dengan izin Allah, aku berjaya memasuki Industri Insurans dan Takaful.. Berkat doa mak dan harapan ayah...

Rabu, 9 Februari 2011

Pertemuan Semula Teman-teman Sekolah Menengah Sungkai 1987-1991



















Terima  kasih kepada Mark Zuckerberg yang telah mengasaskan Facebook kepada kita seantero dunia. Walaupun banyak pro dan kontra tentang buruk baiknya ketagihan facebook ini tetapi pada kami iaitu bekas pelajar-pelajar Sekolah Menengah Sungkai tahun 1987-1991, ianya memberi ruang kepada kami untuk berjumpa kawan-kawan lama.. Dimulai dengan hanya ber'chatting' dalam kumpulan serentak dan seterusnya perjumpaan semula yang agak meriah yang telah di atur 4 bulan lamanya.

Walaupun banyak komen dan komplen tetapi akhirnya reunion ini telah diadakan dengan jayanya pada 5hb Februari 2011, iaitu pada hari  Sabtu bersempena dengan cuti Tahun Baru Cina di Cemara Lounge, Hotspring Felda Sg Klah, Sungkai iaitu di kampung halamanku.

Aku bergerak dari Batu Gajah pada pukul 11.00 pagi. Jalan pada pagi tersebut kurang lancar kerana banyak kenderaan memenuhi lebuhraya menuju ke selatan. Aku mengambil keputusan untuk keluar melalui tol Bidor dan agak malang juga kerana dari tol Bidor, kenderaan bergerak seperti kura-kura. Angkara cuti Tahun Baru Cina. Perut pula dah lapar, sampai saja di rumah mak di Sg. Klah, rumah pula tak ada orang.. Tapi aku dapat juga masuk rumah untuk mengerjakan solat. Aku buat solat Jamak dan setelah selesai aku terus menuju ke Hostsping.

Sampai di kaunter aku bertembung dengan Nurul Huda. Allah aturkan untuk kami bertembung. Bergeraklah kami berdua menuju ke Cemara Lounge yang mana berkesudahan dengan sesat di dalam kawasan Hotspring.  Letih jugalah... Dah bertanya ramai orang, tapi silap juga tempat yang kami tujui. Akhirnya kami berdua sampai juga... berpeluh-peluh ler menaiki tangga. Kawan-kawan yang telah sampai pula memerhati dari atas.. Terasa malu lah pula.

Kami disambut mesra oleh Julaidah dan kawan-kawan. Kelakar pula bila diingatkan bila berjumpa kali pertama dengan kawan-kawan.. 17 tahun lamanya kami terpisah. Pertemuan dengan Marlina Khalid, Jam, Noreha, Atan, Hairizal, Mohd Noor, Sam,Sham, Azizi, Yusof, Anjo, Khairil Anuar, Azmir, Hazhar, dan Zali. Agak malang juga kerana kami hanya dapat bertemu dengan Poen dan  Zana pada hujung waktu kerana mereka berdua terperangkap dalam kesesakan di lebuhraya Ipoh-Sungkai selama 4 jam. Shaaini pula yang dijangkakan hadir tidak dapat hadir kerana masalah cuti.

Kasihan Marlina.. 'memory lost'.  Mungkin kerana telah bersalin sebanyak 3 kali, wayar ingatannya telah putus. Susah juga untuk beliau mengenali kawan-kawan lama. Aku pun dia tak ingat dah. Mohd Noor dengan Jue bagi dia tengok gambar kelas, kot ler mahu dia ingat balik.. Gelak besor dia..' Pattern' fizikal masing-masing telah berubah walau masih ramai juga 'maintain' kecil macam 17 tahun dahulu.

Aku memang tengah lapar.. belum makan.. Aku, Marlina dengan Nurul  dengan selamba saja ambil makanan. Tengok budak lelakinya tak makan pun.. Malu juga kot.. Lelaki duduk satu meja manakala perempuan meja bersebelahan. Dan hanya kawan lelaki yang berani saja yang datang ke meja kami untuk bersembang. Kami yang perempuan ini seganlah nak ke meja mereka.

Apabila Elley, Sham & Anjo sampai keadan jadi meriah..  Kami yang tak pernah jumpa dengan Elley, terkejut jugalah dengan perubahan fizikal beliau yang cukup mendadak. 2 kali ganda saiz dahulu. Kalau selisih bahulah, memang takkan kenal. Begitu juga dengan Mohd Noor..  Tapi itu menunjukkan bahgianya hidup mereka sekeluarga dan telah dijaga elok oleh isteri masing-masing.

Elley memulakan berkaraoke dengan lagu 'Baik-baik sayang'.. Biasalah dah jumpa kawan-kawan lama.. Kisah lama juga jadi usikan. Selepas Elley, Noreha pula berkaraoke dan diikuti dengan Sham yang malu-malu dan berkesudahan mereka hilang malu untuk menyanyi. Tapi yang lain itu mengelat sikit, menyanyi jauh ke belakang.

Makan sudah, bersembang sudah, berkaraoke sudah.. kami berkumpul pula untuk sessi bergambar. Gamat.. walaupun usia kami ke semuanya 37 tahun tapi bila berjumpa kawan-kawan lama usia kami seolah-olah baru 15 tahun. Tak sedar aksi-aksi spontan yang kami 'posing' untuk kenangan. Bergelak sakan saja. Mengimbau zaman kenakalan kami dahulu.

Dah penat kami berposing, barulah kami memulakan mesyuarat yang pertama untuk 'Alumni'. Mesyuarat pun kecoh juga denga gelak ketawa.. Mula-mula sahaja malu-malu. Insya Allah, kalau panjang umur, 'Alumni' ini akan didaftarkan. AJK & Presidennya telah dilantik, yuran tahunan juga telah dipersetujui 'sebulat LABU', dharapkan selepas ini kami dapat meneruskan kembali perjumpaan demi perjumpaan untuk mengeratkan lagi silaturrahim yang telah lama terputus.

Memang telah tertulis rezeki Poen dengan Zanariah untuk berjumpa dengan kawan-kawan walau hanya 15 minit sahaja. Kesihan mereka kepenatan. Kami juga tidak lupa mendoakan rakan-rakan kita yang telah 'pergi' meninggalkan kita iaitu Arwah Halim  (bekas pelajar aliran Perdagangan) dan juga Arwah Makhlis iaitu bekas pelajar aliran Sains (dari Felda Trolak Utara). Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh mereka berdua.

Kalaulah tiada facebook, mungkin kami tidak akan dipertemukan. Tetapi semuanya dengan izin Allah SWT. Perjumpaan yang pertama ini memberi gambaran kepada kawan-kawan lain bahawa kami terlalu gembira dipertemukan semula.

Berdoalah kita supaya pertemuan yang pertama ini bukanlah pengakhiran tetapi adalah SATU PERMULAAN.