Isnin, 18 April 2011

Peluang Datang Hanya Sekali.. Rebutlah!


Tahun Kewangan baru 2011-/2012 baru saja bermula April ini setelah Tahun Kewangan 2010/2011 berakhir pada 31hb Mac 2011. Walaupun aku gagal mencapai 'target' aku sebagaimana tahun-tahun sebelumnya, tetapi aku tidak menjangka sama sekali yang aku layak untuk kenaikan pangkat ke Assistant Unit Manager (AUM). Alhamdulillah, aku perlu mendaki satu tingkat lagi ke Unit Manager dan ianya menjadi sasaran utama aku untuk tahun kewangan ini. Inilah peningkatan dalam kerjaya sebagai agen Takaful Ikhlas yang mana sekiranya kita benar-benar bersungguh-sungguh, berdoa dan juga bertawakal segala hasil usaha kita akan mendapat ganjaran di dunia dan juga akhirat.

Tahun ini, Negeri Perak menjadi tuan rumah untuk Mingggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) anjuran Permodalan Nasional Berhad untuk tahun yang ke 8 selepas di Kuching Sarawak pada tahun 2010. Sebagaimana tahun sebelumnya, Takaful Ikhlas tidak ketinggalan untuk menyertai program ini dan juga sebagai penaja Rakan Program Keagamaan. Program kali ini akan diadakan di Stadium Indera Mulia, Ipoh pada 20hb-26hb April dan dirasmikan oleh Perdana Menteri pada hari pertama nanti.

Sudah sebulan kontraktor-kontraktor mendirikan khemah dan membina 'booth' syarikat-syarikat korporat mengikut senireka masing-masing. Disepanjang jalan dalam kawasan Ipoh , 'bunting-bunting' digantung sebagai makluman awal promosi. Radio Perak juga memutarkan iklan-iklan mempromosikan Minggu Saham Amanah Malaysia menjemput warga Perak untuk sama-sama memeriahkan program ini. Pihak sekolah juga terlibat dengan program-program yang diadakan dan begitu juga dengan kakitangan kerajaan. Dianggarkan kehadiran seramai 150,000 orang pengunjung bersempena program ini dan sudah tentulah Takaful Ikhlas mengharapkan agen-agen mengambil peluang untuk mendapatkan 'sales' sebanyak yang mungkin.

Kasihan pula aku melihat kakitangan Ipoh bertungkus lumus bekerja memastikan program kali ini berjaya. Aku amat memahami situasi mereka kerana aku dahulunya pernah berada di tempat mereka melaksanakan program sebesar ini. Dengan status aku sebagai agen, tidaklah aku terasa terbeban sangat cuma aku perlu untuk menyiapkan diri dengan kesihatan yang baik. Agen-agen Takaful Ikhlas hanya dipanggil untuk mesyuarat demi mesyuarat supaya kami yang merupakan tenaga utama dalam program ini maklum akan setiap maklumat terkini dari Bahagian Korporat. Agak teruja juga apabila kami melihat 'slide-slide' kejayaan demi kejayaan pada tahun-tahun sebelumnya. Suasana yang cukup meriah dan juga kejayaan demi kejayaan membawa pulangan yang memberangsangkan. Takaful Ikhlas juga telah memenangi 'booth' tercantik sebanyak 2 kali dan syarikat juga berharap juga di Ipoh kali ini, ada tuahnya. Kami mendapat 12 'booth' dan senirekanya berbentuk Islam Oasis. Hasil perbincangan antara pengurusan Ipoh dengan Pengurus Restoran Sabar Menanti, kami mendapat satu lagi tapak 'booth' di dalam restoran sepanjang program ini.

Sudah seminggu aku mengalami sakit tekak dan juga batuk-batuk dan keadaan diriku ini agak membimbangkan. Yalah, suara adalah aset kami dalam perniagaan ini. Pengalaman aku dalam program kaunter sebesar ini, selalunya, Insya Allah akan mendapat hasil yang memberangsangkan tetapi berkesudahan dengan aku hilang suara pada hari terakhir. Aku sanggup berpantang minum ais supaya aku sihat, menelan ubat batuk setiap malam dan makan 'strepsils dan 'woods' setiap hari dengan harapan tekakku yang 'cedera' ini pulih. Aku berlari di atas treadmill di 'gym' dengan harapan aku mendapat oksigen yang sempurna semasa jantung berdenyut laju. Aku akui semasa aku berlari, aku akan batuk-batuk dan tekakku menjadi lega dan apabila aku sudah dengan lenjun dengan peluh segala kesakitanku pulih.

Hari ini aku bersama kakitangan Ipoh dan juga beberapa agen membuat 'setting' kaunter di Restoran Sabar Menanti. 'Setting' didalam 'booth' dilakukan oleh kontraktor mengikut senireka yang telah dipersetujui iaitu Islam Oasis. Kami hanya dapat melihat 'slide' senireka sahaja kerana untuk hanya orang tertentu saja yang dibenarkan masuk ke dalam sepanjang tempoh pembinaan 'booth' ini.

Besok adalah Hari Keputeraan Sultan Perak dan sudah semestinya Negeri Perak bercuti. Pada mulanya aku bercadang untuk datang awal pagi bertugas di Restoran Sabar Menanti kerana dijangkakan esok ramai orang di sana kerana esok adalah hari terakhir untuk 'set up' barang. Peluang jangan dilepaskan tetapi memandangkan keadaan aku yang belum sempurna sihat lagi aku membatalkan niatku. Berehat adalah lebih baik kerana bermula pada hari Rabu selama 7 harinya aku akan bertugas dari jam 10.00 pagi - 10.00 malam. Sebenarnya tiada paksaan untuk bertugas cuma memandangkan program ini hanya datang sekali saja, apa salah nya aku mengambil peluang ini. Sebelum ini pun aku pernah bertugas dalam program sebesar ini dari pagi sampai ke malam.

Kepada rakan-rakanku dari Hi Touch Services, Sayuti, Juri, Faidz, Kak Muz, Kak Mas, Wati, Fauzan, Razlan dan ramai lagi, ayuh kita berjihad mengembangkan mumalat Islam. Kepada rakan-rakan ku yang lain dari Wilayah Utara, ayuh! bersama-sama kita mengembleng tenaga untuk memastikan Takaful Ikhlas kekal nombor 1.

Jangan sesekali kita melepaskan peluang ini kerana PELUANG HANYA DATANG SEKALI..



Tiada ulasan:

Catat Ulasan