Sabtu, 9 April 2011

Hanya Setahun Dua Bulan...

Barisan Pihak Pengurusan Takaful Malaysia Negeri Perak


Kesinambungan dari kisahku 'Telah Dijanjikan.. Inilah Rezekiku (19hb Februari 2011)..

Agak lama juga aku tidak menulis pengalaman dahulu yang masih menjadi kenangan paling manis dalam hidupku sehingga kini.

Berakhirnya program buka kaunter Takaful Malaysia selama 10 hari di Padang Merdeka, Kampar memberi reputasi yang baik kepada prestasi peribadi aku, En Hamran dan juga Meja Takaful Tapah. Semasa ini aku telah mendapat berita bahawa di Cawangan Ipoh telah ada seorang Pegawai Cawangan baru yang menguruskan pentadbiran dan operasi pejabat. Sesuatu yang tidak aku jangka, beliau adalah rakan sekelasku semasa kami membuat Diploma Perniagaan (Insurans). Terkejut aku apabila mendapat tahu Rosidah Shafawi kini adalah Penolong Pengurus Ipoh. Beliau sendiri tidak menyangka yang aku adalah Pegawai Pemasaran di Tapah.

Pertemuan pertama kami ialah apabila beliau  dan rakan-rakan dari Ipoh menziarahi aku di kaunter ekspo Kampar pada waktu malam. Malu pun ada.. Ialah.. Dia Penolong Pengurus... Siapalah aku.. Penghijrahan beliau ke Takaful Malaysia sebenarnya membuka lembaran baru dalam hidup aku.. Itulah suratan dan takdir yang telah tertulis yang kita sendiri tidak pernah menjangkakan.

Aku melaksanakan tugasku seperti biasa. Aku sudah mula mendapat hasil dari apa yang aku usahakan. Sudah ada peningkatan dalam pendapatanku. Dan pada ketika itu juga kami mendapat berita bahawa Pegawai Pemasaran diberi peluang untuk memohon naik pangkat sebagai Penyelia Eksekutif Pemasaran. Pada masa itu aku sudah berkhidmat selama setahun dan ramai yang menggalakkan aku untuk memohon.  Sekiranya aku berjaya, aku akan menyelia Eksekutif Pemasaran, dan Skim Perkhidmatan aku bertukar kepada Skim Perkhidmatan Pegawai yang diberi gaji bulanan tetap mengikut kelulusan Ijazah yang aku perolehi. Dan aku juga dimaklumkan sekiranya aku berjaya, semua insentif aku semasa menjadi Eksekutif Pemasaran akan terhenti. Dilema juga aku ketika itu kerana aku baru saja merasa sedikit hasil dari insentif Skim Takaful Anuiti dan masih banyak lagi yang belum aku terima kerana sijil-sijil pelangganku masih dalam proses.

Dalam waktu yang sama juga, aku mendapat khabar bahawa Rosidah yang baru saja beberapa bulan berkhidmat akan berhijrah ke luar negara mengikut suaminya.  Dan sesuatu yang tidak aku jangkakan, apabila Pengurus Cawangan Ipoh bertanyakan kepada Rosidah, siapakah yang dia rasakan layak menggantikan beliau, dan jawapan yang diberi.. Salamiah adalah orang layak untuk menggantikan beliau..

Aku mendengar juga gossip-gossip ini tetapi aku buat tidak  tahu saja. Sebenarnya aku yang bermula dari Eksekuti Pemasaran Skim Khas hanya boleh menjadi Pegawai dalam Skim Perkhidmatan Tetap hanya setelah berjaya menjadi Penyelia dahulu. Eksekutif Pemasaran, Penyelia dan barulah kepada jawatan Pegawai yang lain..

Aku memohon jawatan kenaikan pangkat kepada Penyelia dan aku dipanggil untuk temuduga di ibu pejabat. Aku ditemuduga kali keduanya oleh En Ishak dan En Khairi iaitu orang yang sama menemuduga aku semasa aku memohon jawatan Pegawai Pemasaran dahulu. Dan En Ishak juga masih ingat apa yang  aku janjikan pada beliau dahulu iaitu sekiranya dalam setahun aku masih Pegawai Pemasaran, aku adalah seorang yang teruk.. Bukannya aku ditemuduga tetapi lebih kepada bersembang. En Ishak juga memaklumkan padaku yang aku ditawarkan untuk jawatan Pegawai Cawangan (Penolong Pengurus), dan kedatangan ke temuduga hanya sebagai memenuhi syarat. Macam-macam yang ditanya, awak bersediakah.. Dah ada rumah sewakah di Ipoh, bila awak boleh pindah, Ipoh memerlukan pegawai dalam masa terdekat dan macam-macam lagi. Aku sendiri tidak menjangkakan prestasi aku dalam pemasaran mendapat pujian dan rekomen yang kuat dari Pengurus Ipoh.

Selepas 2 minggu aku hadir temuduga, aku mendapat jawapan dan berjaya untuk naik pangkat ke jawatan Pegawai Cawangan atau lebih sinonim dengan Penolong Pengurus Ipoh. Rupa-rupanya penghijrahan Rosidah  ke Takaful Malaysia hanyalah sebagai pengantara untuk aku mendapat jawatan ini. Itulah rezeki dari Allah yang tertulis sejak azali yang tidak sesiapa pun dapat menjangkakannya.

Aku redho ketika itu apabila dikhabarkan bahwa aku tidak layak lagi untuk menerima insentif atas hasil usaha aku kerana aku telah bertukar ke  Skim Perkhidmatan Tetap. 05hb Februari 2001, inilah tarikhnya aku melapor diri sebagai Pegawai di Cawangan Ipoh. Aku menyewa di Taman Istana, sepelaung sahaja rumahku ke pejabat Takaful Malaysia berhadapan dengan Pejabat SUK Perak.  Hanya berjalan kaki dalam 8 minit sudah sampailah aku ke pejabat.

Bermulalah era aku sebagai Pegawai, mentadbir pejabat dan juga ada ketikanya membuat keputusan.

Aku sendiri tidak menjangkakan hanya setahun 2 bulan... aku berjaya kotakan apa yang aku katakan semasa kali pertama aku hadir temuduga..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan