Selasa, 12 April 2011

Bermula Sebuah Kehidupan

Srikandi Takaful Malaysia Semasa Jamuan Hari Raya 2004

Belum berpunya kesemuanya ketika ini.. Diintai-intai..

Aku rindu kalian.. Masing-masing telah membawa haluan, membina kerjaya di tempat lain. Ada yang menjadi guru, ada yang berkhidmat dengan kerajaan sebagai staf sokongan dan ramai juga yang telah berhijrah ke Takaful Ikhlas.

Masih aku ingat lagi pertama kali aku bertugas di Cawangan Ipoh, aku hilang punca. Mana ada dalam sejarah Pengurus mengajar pegawai dan itulah hakikatnya... Baru saja duduk di tempatku selepas aku diberi taklimat dan diperkenalkan dengan kakitangan yang lain, kak Mardiah sudah meletakkan sebeban sijil untuk ditandatangani. Selepas itu Harun pula letak sebeban lagi..  Apa kata depa.. 'tenyeh saja Sal. Nak tunggu bos lambat, benda 'urgent'.. lega dah ada pegawai...'. Tandatangan aku laku untuk semua urusan surat menyurat.

Aku bermula dari bawah, aku belajar dengan semua kerani termasuk pembantu pejabat. Harun yang banyak mengajar aku kerana selama ini beliau yang membuat kerja-kerja pegawai. Aku mentadbir kaunter urusniaga dan supaya aku faham urusan kaunter dan melayan pelanggan, aku belajar satu persatu selok-belok dikaunter dan akhirnya aku menjadi mahir dengan sistem dan sekiranya ada masalah aku dapat selesaikannya. Aku menjadi sasaran sekiranya pelanggan tidak puas hati, komplen sana sini dan macam-macam lagi.

Selain urusan di kaunter, aku juga dikehendaki mahir dalam melayan karenah pelanggan korporat. Selama ini segalanya terpikul dibahu Harun dan bila aku mahir barulah aku tahu beratnya tanggungjawab beliau ketika tiada pegawai. Terlalu banyak bebanan kerja yang akhirnya telah dipindahkan sebahagiannya kepada aku. Begitu juga dengan urusan serahan, pengeluaran dan tuntutan ke semuanya diserahkan kepada aku untuk pemantauan. Setiap bulan pula mesyuarat bulanan bersama pihak Pengurusan Perak diadakan di Ipoh dan Pegawai Meja dikehendaki melaporkan prestasi meja dan aktiviti pemasaran mereka.

Selama 4 bulan pertama aku hanya menerima gaji dari Skim Khidmat Pegawai saja dan ke semua insentif aku semasa menjadi Pegawai Pemasaran telah terhenti. Sudah menjadi rezeki aku dan 2 orang lagi yang asalnya Pegawai Pemasaran tetapi telah dinaikkan pangkat kepada Penyelia/Pegawai, akhirnya pada gaji bulan ke 5, kami menerima semula insentif-insentif kami. Rupa-rupanya kontrak Skim Perkhidmatan Pegawai Pemasaran yang menerima insentif selama 3 tahun dikaji semula dan memandangkan kami masih berkhidmat, maka syarikat dikehendaki meneruskan  pembayaran insentif kepada kami bertiga. Aku dapat rasakan seolah pada ketika itu aku merima 'durian runtuh'. Aku menerima gaji baru beserta kesemua-semua insentif tertunggak termasuk hasil usahaku dalam Skim Takaful Anuiti. Dan selama 3 tahunnya aku menerima 2 gaji.

Aku selalu menjadi rujukan sekiranya pelanggan ada masalah, pelanggan mengamuk dan macam-macam karenah.... semuanya telah aku lalui. Aku bukan garang tetapi aku tegas. Apabila kita berada di atas, bukan mudah untuk puaskan hati semua orang. Ada yang suka kita, ada yang tidak suka kita.

Aku selalu memberi pendapat  kepada pihak ibu pejabat dan ada kalanya aku lantang bersuara. Dan ada kebenarannya apa yang aku suarakan tetapi orang lain tidak seberani aku. Kelakar bila aku kenangkan kembali, sekiranya ada kursus di ibu pejabat, pihak atasan yang dikehendaki 'brief' kami akan menyemak nama kakitangan dari Ipoh. Aku ingat lagi apabila secara bergurau, En Ismail bercerita kepada kami, pada ketika itu beliau dikehendaki memberi taklimat kepada pegawai..katanya.. sambil mengurut dada... ' Saya nak masuk dalam ini.. berdebar-debar.. risau saja.. dari Ipoh.. Salamiah Isa.. takut... '.. Aku bukan garang cuma aku lantang dalam menyuarakan pendapat aku dan apa yang aku suarakan itu ada benarnya.

Suatu penghargaan dalam diri apabila segala pendapat aku dibincangkan dan diterima pakai. Masih aku ingat lagi, aku menerima satu naskhah manual untuk aku semak semula dan aku terkejut kerana ayat-ayat dalam manual tersebut adalah ayat-ayat aku. Aku juga dimaklumkan yang pihak pengurusan sendiri termasuk Dato' CEO mengenali aku kerana nama aku sering disebut-sebut dalam mesyuarat pengurusan.

Aku menyewa di Taman Istana bersama dengan kawan-kawan yang lain.  Rumah sewa kami dekat saja. Asalnya aku sebilik dengan Lin, bila Lin pindah Tapah, aku sebilik pula dengan Huda. Serumah juga dengan Azma. Tetapi kini rumah sewa kami telah kosong. Hanya tinggal kenangan.

Dulunya kami semua bujang....anak dara Takaful Malaysia selalu juga diintai-intai oleh pelangan. 

Kini, kami semua telah membawa haluan masing-masing. Aku sendiri tidak menyangkakan yang aku juga akhirnya meninggalkan Takaful Malaysia atas beberapa sebab. Ada juga yang masih setia dengan Takaful Malaysia dan ramai juga yang berhijrah ke Takaful Ikhlas.

Di Cawangan Ipoh inilah aku membina 'NAMA' dan juga 'KERJAYA' dan di sinilah BERMULA SEBUAH KEHIDUPAN.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan