Jumaat, 22 April 2011

Bila 'Rentak Tari' Senada Menari - Minggu Saham Amanah Malaysia 2011

Along, Angah & Acik ..'cute' sangat...
Pelanggan pertama yang aku telah berjaya 'closed' pada hari kedua.
Suasana selepas pukul 2.. agak lengang..
Agen-agen yang kental semangat.. Komitment 150%..
Wati berjaya 'closed'.. sesuatu yang sukar untuk dia percaya..

Bos Hi -Touch Services.. tak jemu-jemu membantu dan memberi sokongan moral
'Otai' telah keluarkan kuku dan taringnya.. 'Closed'..
'Otai' yang kuku dan taringnya  semakin tajam...
Suasana 9.30 malam.. Suasana yang sentiasa 'hijau' dan sesak..
Fauzan yang berjaya 'closed' kali pertama.. Selepas itu dapat pula kes untuk Ikhlas Medical dari pelanggan ini.

Hari kedua Minggu Saham Amanah Malaysia 2011 (MSAM). Dimulai dengan doa dan kata-kata semangat, disudahi juga dengan doa dan kata-kata keramat. Kami berkumpul di 'booth' Takaful Ikhlas seawal pagi, memohon kepada Allah SWT supaya dipermudahkan perjuangan jihad kami. Amin. Dato' Syed Moheeb sendiri hadir mengaminkan doa yang dibaca, membangkitkan semangat kami.

Pengalaman akulah dahulu semasa program kaunter sebesar ini dengan syarikat lama, tidak pernah aku rasai kemanisan 'mengaminkan' doa permulaan dan penutup. Kehadiran oleh pihak pengurusan hanya sekadar menjenguk dan berlalu pergi. Terkontang-kantinglah kami berjihad tanpa saf pimpinan ..

Tapi itu dulu.. ianya telah berlalu..  Bukan kesilapan aku BERHIJRAH ke sini 4 tahun yang lalu. Tidak pernah aku membayangkan bagaimana pihak pengurusan tidak meninggalkan kami sepanjang program ini. Ada 'roh' yang aku cari dan aku temuinya di sini.

Seawal pagi lagi, En Amir selaku ketua dengan penuh tanggungjawab memberi sokongan moral kepada kami. Seawal pagi juga bos Ipoh datang kepadaku memberi semangat dan 'tips' ,  aku praktikkan hari ini, dan ada hasilnya. Betul.. Semalam aku hilang punca. Jumlah agen terlalu ramai menyebabkan aku hilang 'skill' semalam.. Terkejut pun ada..

Pelanggan pertama yang aku 'closed' dalam pukul 11.00 pagi. Bila sudah dapat seorang, Insya Allah akan menyusul lagi. Bila 'rentak tari' telah aku temui, aku dapat semula keyakinan diri. Allah itu Maha adil, Maha pemurah Maha pengasih. Ke semua agen aku mendapat hasil hari ini. Kelakar pula aku kenangkan Wati, agen baru aku yang pertama kali buat 'sales' sempena MSAM ini.. dapat 'closed' pelanggan pertama.. 'Rasa tak percaya'.. katanya.. Aku balas pula.. 'tampar muka.. masih sedar atau tidak'. Aku hanya baru 'brief' beliau produk-produk takaful dan menurunkan skill pemasaran, belum sempat lagi aku ajar Wati buat illustrasi dan isi borang.. Seronok sungguh dia..

En Amir, 'kuku dan taringnya' keluar  semasa MSAM ini. Beliau membantu agen-agen yang tiada keupayaan meyakinkan pelanggan. Ayat-ayat 'power' dalam meyakin pelanggan memberi rezki kepada agen-agennya. Hampir ke semua agen-agen beliau 'closed sales' hari ini. Kak Mas, sudah 2 hari berulang-alik dari Lekir, perjalanan beliau tidak sia-sia. Allah janjikan rezkinya di sini. Begitu juga dengan 'Otai lama' jejaka tampan Hi Touch.. sudah lama tidak 'menari' dan kini 'menari-nari', rentak senada sudah ditemui..

Kami dimaklumkan , pada hari ini pihak pengurusan memberitahu , agen-agen sungguh agresif dan bersemangat. Jumlah kes pada hari pertama sebanyak 53 kes manakala pada hari kedua pula sebanyak 93 kes. Itu pun masih ada yang tidak sempat buat penghantaran ke kaunter pada hari ini. Suatu pencapaian yang memberangsangkan.

Terlalu ramai pelanggan yang singgah ke 'booth' dan begitu juga dengan agen-agen bertugas. Kalau ikut pada logik akal, macam mana kami nak tarik pelanggan. Mestilah berebut-rebut dan bermasam-masam muka.. Tapi ianya tidak berlaku di IKHLAS. Kami menghormati kawan-kawan dan Allah SWT telah berjanji sekiranya hambanya berusaha, ada ganjarannya. Letih macam mana pun, tak terasa penatnya kerana 'semangat jihad' mengatasi segalanya. Kami sanggup tunggu sehingga jam 10.30 malam untuk sama-sama menutup program dengan bacaan doa.

Pada pagi harinya, Takaful IKHLAS telah memberi sumbangan kerusi roda kepada Hospital Permaisuri Bainun dan juga Pusat Rawatan Islam Ar RIdzuan. Malamnya pula siaran langsung Forum Perdana di TVI. Esok pula dijangkakan siarang langsung rancangan Al Kuliyyah di TV3 dengan tajuk 'Ibu Duit. Kami agen-agen tidaklah sempat untuk menyertai program ini tetapi bersyukur kerana IKHLAS dikenali dengan program amal dan program keagamaan, sedikit sebanyak menyuburkan lagi rezki kami di sini.

Kepada sahabat-sahabat seperjuangan.. masih ada 5 hari  lagi sebelum program ini berakhir. Bila 'RENTAK TARI' telah ditemui.. ayuh mari kita 'SENADA MENARI'.

Khamis, 21 April 2011

IKHLAS Yang Bersatu- Minggu Saham Amanah Malaysia 2011

Suasana di 'booth' Takaful Ikhlas
Agen-agen Takaful Ikhlas hari ini melebihi 150 orang.. Ku lihat HIJAU
Wardina Saffiyah -Model untuk kempen IKHLAS
Mulanya tak perasan ada di depan- peramah orangnya
Walaupun letih masih boleh tersenyum
Wardina & suami bersama Dato' CEO dan pihak pengurusan
PM - sewaktu melawat 'booth' selepas perasmian
Upacara potong reben melepaskan belon oleh PM
Terlepas sudah
Agen-agen berkumpul sementara menunggu lawatan dari PM

20hb April 2011, pada pukul 8.00 pagi lagi kami telah berkumpul di Restoran Simpang Tiga menikmati sarapan pagi sambil mendengar tazkirah dan juga bacaan dari Tn Hj Wan. Dianggarkan seramai 150 orang agen-agen Takaful Ikhlas dapat dikumpulkan disini.

Tepat 9.30 pagi kami semua beredar ke Stadium Indera Mulia. Wah! Cantiknya 'booth' Takaful IKHLAS. Satu suasana yang 'hijau', ramai, meriah dan bersatu. Pergilah ke mana pun, dimana-mana ada saja agen Takaful IKHLAS agresif menarik pelanggan. 

Petang itu tak perasan pula Wardina Saffiyah ada depan aku. Beliau dan suami adalah model untuk Takaful IKHLAS. Kehadiran beliau dan suami adalah untuk memeriahkan suasana semasa lawatan PM. 5.00 petang lawatan oleh Perdana Menteri ke 'booth'..

Pukul 10.00 malam kami berkumpul untuk mendengar taklimat dan 'observation'. Letih juga.. Ya lah berdiri..

Jumpa lagi esok.. Wahai para sahabat.. terus berjuang

Isnin, 18 April 2011

Peluang Datang Hanya Sekali.. Rebutlah!


Tahun Kewangan baru 2011-/2012 baru saja bermula April ini setelah Tahun Kewangan 2010/2011 berakhir pada 31hb Mac 2011. Walaupun aku gagal mencapai 'target' aku sebagaimana tahun-tahun sebelumnya, tetapi aku tidak menjangka sama sekali yang aku layak untuk kenaikan pangkat ke Assistant Unit Manager (AUM). Alhamdulillah, aku perlu mendaki satu tingkat lagi ke Unit Manager dan ianya menjadi sasaran utama aku untuk tahun kewangan ini. Inilah peningkatan dalam kerjaya sebagai agen Takaful Ikhlas yang mana sekiranya kita benar-benar bersungguh-sungguh, berdoa dan juga bertawakal segala hasil usaha kita akan mendapat ganjaran di dunia dan juga akhirat.

Tahun ini, Negeri Perak menjadi tuan rumah untuk Mingggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) anjuran Permodalan Nasional Berhad untuk tahun yang ke 8 selepas di Kuching Sarawak pada tahun 2010. Sebagaimana tahun sebelumnya, Takaful Ikhlas tidak ketinggalan untuk menyertai program ini dan juga sebagai penaja Rakan Program Keagamaan. Program kali ini akan diadakan di Stadium Indera Mulia, Ipoh pada 20hb-26hb April dan dirasmikan oleh Perdana Menteri pada hari pertama nanti.

Sudah sebulan kontraktor-kontraktor mendirikan khemah dan membina 'booth' syarikat-syarikat korporat mengikut senireka masing-masing. Disepanjang jalan dalam kawasan Ipoh , 'bunting-bunting' digantung sebagai makluman awal promosi. Radio Perak juga memutarkan iklan-iklan mempromosikan Minggu Saham Amanah Malaysia menjemput warga Perak untuk sama-sama memeriahkan program ini. Pihak sekolah juga terlibat dengan program-program yang diadakan dan begitu juga dengan kakitangan kerajaan. Dianggarkan kehadiran seramai 150,000 orang pengunjung bersempena program ini dan sudah tentulah Takaful Ikhlas mengharapkan agen-agen mengambil peluang untuk mendapatkan 'sales' sebanyak yang mungkin.

Kasihan pula aku melihat kakitangan Ipoh bertungkus lumus bekerja memastikan program kali ini berjaya. Aku amat memahami situasi mereka kerana aku dahulunya pernah berada di tempat mereka melaksanakan program sebesar ini. Dengan status aku sebagai agen, tidaklah aku terasa terbeban sangat cuma aku perlu untuk menyiapkan diri dengan kesihatan yang baik. Agen-agen Takaful Ikhlas hanya dipanggil untuk mesyuarat demi mesyuarat supaya kami yang merupakan tenaga utama dalam program ini maklum akan setiap maklumat terkini dari Bahagian Korporat. Agak teruja juga apabila kami melihat 'slide-slide' kejayaan demi kejayaan pada tahun-tahun sebelumnya. Suasana yang cukup meriah dan juga kejayaan demi kejayaan membawa pulangan yang memberangsangkan. Takaful Ikhlas juga telah memenangi 'booth' tercantik sebanyak 2 kali dan syarikat juga berharap juga di Ipoh kali ini, ada tuahnya. Kami mendapat 12 'booth' dan senirekanya berbentuk Islam Oasis. Hasil perbincangan antara pengurusan Ipoh dengan Pengurus Restoran Sabar Menanti, kami mendapat satu lagi tapak 'booth' di dalam restoran sepanjang program ini.

Sudah seminggu aku mengalami sakit tekak dan juga batuk-batuk dan keadaan diriku ini agak membimbangkan. Yalah, suara adalah aset kami dalam perniagaan ini. Pengalaman aku dalam program kaunter sebesar ini, selalunya, Insya Allah akan mendapat hasil yang memberangsangkan tetapi berkesudahan dengan aku hilang suara pada hari terakhir. Aku sanggup berpantang minum ais supaya aku sihat, menelan ubat batuk setiap malam dan makan 'strepsils dan 'woods' setiap hari dengan harapan tekakku yang 'cedera' ini pulih. Aku berlari di atas treadmill di 'gym' dengan harapan aku mendapat oksigen yang sempurna semasa jantung berdenyut laju. Aku akui semasa aku berlari, aku akan batuk-batuk dan tekakku menjadi lega dan apabila aku sudah dengan lenjun dengan peluh segala kesakitanku pulih.

Hari ini aku bersama kakitangan Ipoh dan juga beberapa agen membuat 'setting' kaunter di Restoran Sabar Menanti. 'Setting' didalam 'booth' dilakukan oleh kontraktor mengikut senireka yang telah dipersetujui iaitu Islam Oasis. Kami hanya dapat melihat 'slide' senireka sahaja kerana untuk hanya orang tertentu saja yang dibenarkan masuk ke dalam sepanjang tempoh pembinaan 'booth' ini.

Besok adalah Hari Keputeraan Sultan Perak dan sudah semestinya Negeri Perak bercuti. Pada mulanya aku bercadang untuk datang awal pagi bertugas di Restoran Sabar Menanti kerana dijangkakan esok ramai orang di sana kerana esok adalah hari terakhir untuk 'set up' barang. Peluang jangan dilepaskan tetapi memandangkan keadaan aku yang belum sempurna sihat lagi aku membatalkan niatku. Berehat adalah lebih baik kerana bermula pada hari Rabu selama 7 harinya aku akan bertugas dari jam 10.00 pagi - 10.00 malam. Sebenarnya tiada paksaan untuk bertugas cuma memandangkan program ini hanya datang sekali saja, apa salah nya aku mengambil peluang ini. Sebelum ini pun aku pernah bertugas dalam program sebesar ini dari pagi sampai ke malam.

Kepada rakan-rakanku dari Hi Touch Services, Sayuti, Juri, Faidz, Kak Muz, Kak Mas, Wati, Fauzan, Razlan dan ramai lagi, ayuh kita berjihad mengembangkan mumalat Islam. Kepada rakan-rakan ku yang lain dari Wilayah Utara, ayuh! bersama-sama kita mengembleng tenaga untuk memastikan Takaful Ikhlas kekal nombor 1.

Jangan sesekali kita melepaskan peluang ini kerana PELUANG HANYA DATANG SEKALI..



Selasa, 12 April 2011

Bermula Sebuah Kehidupan

Srikandi Takaful Malaysia Semasa Jamuan Hari Raya 2004

Belum berpunya kesemuanya ketika ini.. Diintai-intai..

Aku rindu kalian.. Masing-masing telah membawa haluan, membina kerjaya di tempat lain. Ada yang menjadi guru, ada yang berkhidmat dengan kerajaan sebagai staf sokongan dan ramai juga yang telah berhijrah ke Takaful Ikhlas.

Masih aku ingat lagi pertama kali aku bertugas di Cawangan Ipoh, aku hilang punca. Mana ada dalam sejarah Pengurus mengajar pegawai dan itulah hakikatnya... Baru saja duduk di tempatku selepas aku diberi taklimat dan diperkenalkan dengan kakitangan yang lain, kak Mardiah sudah meletakkan sebeban sijil untuk ditandatangani. Selepas itu Harun pula letak sebeban lagi..  Apa kata depa.. 'tenyeh saja Sal. Nak tunggu bos lambat, benda 'urgent'.. lega dah ada pegawai...'. Tandatangan aku laku untuk semua urusan surat menyurat.

Aku bermula dari bawah, aku belajar dengan semua kerani termasuk pembantu pejabat. Harun yang banyak mengajar aku kerana selama ini beliau yang membuat kerja-kerja pegawai. Aku mentadbir kaunter urusniaga dan supaya aku faham urusan kaunter dan melayan pelanggan, aku belajar satu persatu selok-belok dikaunter dan akhirnya aku menjadi mahir dengan sistem dan sekiranya ada masalah aku dapat selesaikannya. Aku menjadi sasaran sekiranya pelanggan tidak puas hati, komplen sana sini dan macam-macam lagi.

Selain urusan di kaunter, aku juga dikehendaki mahir dalam melayan karenah pelanggan korporat. Selama ini segalanya terpikul dibahu Harun dan bila aku mahir barulah aku tahu beratnya tanggungjawab beliau ketika tiada pegawai. Terlalu banyak bebanan kerja yang akhirnya telah dipindahkan sebahagiannya kepada aku. Begitu juga dengan urusan serahan, pengeluaran dan tuntutan ke semuanya diserahkan kepada aku untuk pemantauan. Setiap bulan pula mesyuarat bulanan bersama pihak Pengurusan Perak diadakan di Ipoh dan Pegawai Meja dikehendaki melaporkan prestasi meja dan aktiviti pemasaran mereka.

Selama 4 bulan pertama aku hanya menerima gaji dari Skim Khidmat Pegawai saja dan ke semua insentif aku semasa menjadi Pegawai Pemasaran telah terhenti. Sudah menjadi rezeki aku dan 2 orang lagi yang asalnya Pegawai Pemasaran tetapi telah dinaikkan pangkat kepada Penyelia/Pegawai, akhirnya pada gaji bulan ke 5, kami menerima semula insentif-insentif kami. Rupa-rupanya kontrak Skim Perkhidmatan Pegawai Pemasaran yang menerima insentif selama 3 tahun dikaji semula dan memandangkan kami masih berkhidmat, maka syarikat dikehendaki meneruskan  pembayaran insentif kepada kami bertiga. Aku dapat rasakan seolah pada ketika itu aku merima 'durian runtuh'. Aku menerima gaji baru beserta kesemua-semua insentif tertunggak termasuk hasil usahaku dalam Skim Takaful Anuiti. Dan selama 3 tahunnya aku menerima 2 gaji.

Aku selalu menjadi rujukan sekiranya pelanggan ada masalah, pelanggan mengamuk dan macam-macam karenah.... semuanya telah aku lalui. Aku bukan garang tetapi aku tegas. Apabila kita berada di atas, bukan mudah untuk puaskan hati semua orang. Ada yang suka kita, ada yang tidak suka kita.

Aku selalu memberi pendapat  kepada pihak ibu pejabat dan ada kalanya aku lantang bersuara. Dan ada kebenarannya apa yang aku suarakan tetapi orang lain tidak seberani aku. Kelakar bila aku kenangkan kembali, sekiranya ada kursus di ibu pejabat, pihak atasan yang dikehendaki 'brief' kami akan menyemak nama kakitangan dari Ipoh. Aku ingat lagi apabila secara bergurau, En Ismail bercerita kepada kami, pada ketika itu beliau dikehendaki memberi taklimat kepada pegawai..katanya.. sambil mengurut dada... ' Saya nak masuk dalam ini.. berdebar-debar.. risau saja.. dari Ipoh.. Salamiah Isa.. takut... '.. Aku bukan garang cuma aku lantang dalam menyuarakan pendapat aku dan apa yang aku suarakan itu ada benarnya.

Suatu penghargaan dalam diri apabila segala pendapat aku dibincangkan dan diterima pakai. Masih aku ingat lagi, aku menerima satu naskhah manual untuk aku semak semula dan aku terkejut kerana ayat-ayat dalam manual tersebut adalah ayat-ayat aku. Aku juga dimaklumkan yang pihak pengurusan sendiri termasuk Dato' CEO mengenali aku kerana nama aku sering disebut-sebut dalam mesyuarat pengurusan.

Aku menyewa di Taman Istana bersama dengan kawan-kawan yang lain.  Rumah sewa kami dekat saja. Asalnya aku sebilik dengan Lin, bila Lin pindah Tapah, aku sebilik pula dengan Huda. Serumah juga dengan Azma. Tetapi kini rumah sewa kami telah kosong. Hanya tinggal kenangan.

Dulunya kami semua bujang....anak dara Takaful Malaysia selalu juga diintai-intai oleh pelangan. 

Kini, kami semua telah membawa haluan masing-masing. Aku sendiri tidak menyangkakan yang aku juga akhirnya meninggalkan Takaful Malaysia atas beberapa sebab. Ada juga yang masih setia dengan Takaful Malaysia dan ramai juga yang berhijrah ke Takaful Ikhlas.

Di Cawangan Ipoh inilah aku membina 'NAMA' dan juga 'KERJAYA' dan di sinilah BERMULA SEBUAH KEHIDUPAN.



Sabtu, 9 April 2011

Hanya Setahun Dua Bulan...

Barisan Pihak Pengurusan Takaful Malaysia Negeri Perak


Kesinambungan dari kisahku 'Telah Dijanjikan.. Inilah Rezekiku (19hb Februari 2011)..

Agak lama juga aku tidak menulis pengalaman dahulu yang masih menjadi kenangan paling manis dalam hidupku sehingga kini.

Berakhirnya program buka kaunter Takaful Malaysia selama 10 hari di Padang Merdeka, Kampar memberi reputasi yang baik kepada prestasi peribadi aku, En Hamran dan juga Meja Takaful Tapah. Semasa ini aku telah mendapat berita bahawa di Cawangan Ipoh telah ada seorang Pegawai Cawangan baru yang menguruskan pentadbiran dan operasi pejabat. Sesuatu yang tidak aku jangka, beliau adalah rakan sekelasku semasa kami membuat Diploma Perniagaan (Insurans). Terkejut aku apabila mendapat tahu Rosidah Shafawi kini adalah Penolong Pengurus Ipoh. Beliau sendiri tidak menyangka yang aku adalah Pegawai Pemasaran di Tapah.

Pertemuan pertama kami ialah apabila beliau  dan rakan-rakan dari Ipoh menziarahi aku di kaunter ekspo Kampar pada waktu malam. Malu pun ada.. Ialah.. Dia Penolong Pengurus... Siapalah aku.. Penghijrahan beliau ke Takaful Malaysia sebenarnya membuka lembaran baru dalam hidup aku.. Itulah suratan dan takdir yang telah tertulis yang kita sendiri tidak pernah menjangkakan.

Aku melaksanakan tugasku seperti biasa. Aku sudah mula mendapat hasil dari apa yang aku usahakan. Sudah ada peningkatan dalam pendapatanku. Dan pada ketika itu juga kami mendapat berita bahawa Pegawai Pemasaran diberi peluang untuk memohon naik pangkat sebagai Penyelia Eksekutif Pemasaran. Pada masa itu aku sudah berkhidmat selama setahun dan ramai yang menggalakkan aku untuk memohon.  Sekiranya aku berjaya, aku akan menyelia Eksekutif Pemasaran, dan Skim Perkhidmatan aku bertukar kepada Skim Perkhidmatan Pegawai yang diberi gaji bulanan tetap mengikut kelulusan Ijazah yang aku perolehi. Dan aku juga dimaklumkan sekiranya aku berjaya, semua insentif aku semasa menjadi Eksekutif Pemasaran akan terhenti. Dilema juga aku ketika itu kerana aku baru saja merasa sedikit hasil dari insentif Skim Takaful Anuiti dan masih banyak lagi yang belum aku terima kerana sijil-sijil pelangganku masih dalam proses.

Dalam waktu yang sama juga, aku mendapat khabar bahawa Rosidah yang baru saja beberapa bulan berkhidmat akan berhijrah ke luar negara mengikut suaminya.  Dan sesuatu yang tidak aku jangkakan, apabila Pengurus Cawangan Ipoh bertanyakan kepada Rosidah, siapakah yang dia rasakan layak menggantikan beliau, dan jawapan yang diberi.. Salamiah adalah orang layak untuk menggantikan beliau..

Aku mendengar juga gossip-gossip ini tetapi aku buat tidak  tahu saja. Sebenarnya aku yang bermula dari Eksekuti Pemasaran Skim Khas hanya boleh menjadi Pegawai dalam Skim Perkhidmatan Tetap hanya setelah berjaya menjadi Penyelia dahulu. Eksekutif Pemasaran, Penyelia dan barulah kepada jawatan Pegawai yang lain..

Aku memohon jawatan kenaikan pangkat kepada Penyelia dan aku dipanggil untuk temuduga di ibu pejabat. Aku ditemuduga kali keduanya oleh En Ishak dan En Khairi iaitu orang yang sama menemuduga aku semasa aku memohon jawatan Pegawai Pemasaran dahulu. Dan En Ishak juga masih ingat apa yang  aku janjikan pada beliau dahulu iaitu sekiranya dalam setahun aku masih Pegawai Pemasaran, aku adalah seorang yang teruk.. Bukannya aku ditemuduga tetapi lebih kepada bersembang. En Ishak juga memaklumkan padaku yang aku ditawarkan untuk jawatan Pegawai Cawangan (Penolong Pengurus), dan kedatangan ke temuduga hanya sebagai memenuhi syarat. Macam-macam yang ditanya, awak bersediakah.. Dah ada rumah sewakah di Ipoh, bila awak boleh pindah, Ipoh memerlukan pegawai dalam masa terdekat dan macam-macam lagi. Aku sendiri tidak menjangkakan prestasi aku dalam pemasaran mendapat pujian dan rekomen yang kuat dari Pengurus Ipoh.

Selepas 2 minggu aku hadir temuduga, aku mendapat jawapan dan berjaya untuk naik pangkat ke jawatan Pegawai Cawangan atau lebih sinonim dengan Penolong Pengurus Ipoh. Rupa-rupanya penghijrahan Rosidah  ke Takaful Malaysia hanyalah sebagai pengantara untuk aku mendapat jawatan ini. Itulah rezeki dari Allah yang tertulis sejak azali yang tidak sesiapa pun dapat menjangkakannya.

Aku redho ketika itu apabila dikhabarkan bahwa aku tidak layak lagi untuk menerima insentif atas hasil usaha aku kerana aku telah bertukar ke  Skim Perkhidmatan Tetap. 05hb Februari 2001, inilah tarikhnya aku melapor diri sebagai Pegawai di Cawangan Ipoh. Aku menyewa di Taman Istana, sepelaung sahaja rumahku ke pejabat Takaful Malaysia berhadapan dengan Pejabat SUK Perak.  Hanya berjalan kaki dalam 8 minit sudah sampailah aku ke pejabat.

Bermulalah era aku sebagai Pegawai, mentadbir pejabat dan juga ada ketikanya membuat keputusan.

Aku sendiri tidak menjangkakan hanya setahun 2 bulan... aku berjaya kotakan apa yang aku katakan semasa kali pertama aku hadir temuduga..