Rabu, 16 Mac 2011

Dan Kini Aku Mengerti

Sudah lama aku tidak 'update' blog ini.. Jiwaku yang agak kacau menyebabkan aku tiada idea untuk meneruskan kesinambungan cerita aku.. Aku tidak mampu untuk menyusun bicara, menghasilkan cerita yang lahir tulus dari hatiku... meluahkan perasaan hati yang terbuku...

16hb Mac 2011... sama seperti tahun-tahun yang lepas, bertahun-tahun lamanya aku kesepian. Tiada istilah gembira dihati aku melalui hari ini iaitu hari kelahiran aku yang ke 37 tahun. Tidak pernah aku merasa diraikan walaupun pada tarikh ini selama 7 tahunnya dahulu aku bergelar seorang isteri. Aku sudah lali tidak pernah dihargai oleh orang-orang yang aku sayangi, walau dalam hati ada sedikit rasa terkilan...

Hari ini, selepas saja aku selesai solat subuh, aku memanjatkan syukur ke hadrat Ilahi,  bersyukur kerana masih lagi diberi satu nafas untuk beribadah kepadaNya. Allah SWT menyayangi aku.. kerana masih lagi memberi aku peluang mengucup Al Quran di subuh hari dan mengalunkan 'Yasin' untuk kusedekahkan kepada orang yang telah meninggalkan aku dan juga sebagai kekuatan diri aku menghadapi dugaanNya. Allah SWT menyayangi aku kerana masih lagi memberi aku peluang menggunakan kesemua ruas jari tanganku untuk membilang zikir memuji kebesaran Ilahi.. Allah SWT masih menyayangi diriku kerana memberi peluang kepadaku merayu kepadaNya, meminta pertolonganNya.. sesungguhnya aku sudah tidak berdaya lagi..

Terima kasih kepada kawan-kawan yang tidak putus-putus mengucapkan Selamat Hari Lahir, yang mendoakan kesejahteraanku dunia akhirat, dimurahkan rezki dan mendoakan aku dalam rahmat Allah SWT. Sungguhpun kami telah lama terpisah, tetapi dengan adanya facebook, aku merasakan mereka sangat dekat padaku. Mereka adalah rakan-rakanku sejak dari sekolah rendah, dari sekolah menengah, semasa dalam diploma, semasa dalam ijazah, semasa aku menjadi guru, semasa aku di Takaful Malaysia dan juga mereka rakan seperjuangan berdakwah dalam Takaful Ikhlas bersamaku....tidak putus-putus aku menerima ucapan selamat dan doa dari mereka termasuk dari anak-anak buahku .. Terhibur hati ini seketika walaupun ada rasa terkilan dihati..

Tiada apa yang istimewa hari ini.. Aku bekerja seperti biasa, petangnya hari pula aku ke 'gym' seperti biasa, dan pulang ke rumah pada waktu Maghrib. Di antara Maghrib ke Isyak, aku melagukan  Surah 'Yasin', Surah 'As Sajdah' & Surah' Al Mulk ' yang menjadi amalan aku setiap malam sementara menunggu azan Isyak dilaungkan. Terima kasih kepada bekas suamiku yang dahulunya berjaya mentarbiahkan aku tentang pentingnya mengamalkan surah-surah ini setiap malam. Allah mengampunkan dosa-dosa besar dan Allah selamatkan kita dari seksaan api neraka... dengan izinNya..

Hanya sedikit kemanisan dan kebahgiaan dalam hidup.. tetapi sekurang-kurangnya aku telah merasainya dan aku bersyukur.. Dalam usiaku kini, Allah SWT telah menerima aku menjadi tetamunya, memberi aku peluang berpuasa di Kota Mekah dan Madinah, memberi peluang aku bertarawikh depan Kaabah, melakukan Qiammulail di subuh hening didepan Multazam iaitu di pintu Kaabah, memberi peluang aku melakukan 7 umrah dan satunya telah kuhadiahkan kepada arwah ayahku... insan yang paling aku sayang.. lelaki yang tidak pernah melukakan hatiku..

Allah memberi peluang padaku masuk ke Taman Raudhah, berdoa menghadap Makam Nabi.. Allah memberi aku peluang memanjat Jabal Rahmah tempat dimana Nabi Adam & Siti Hawa ditemukan setelah terpisah beratus tahun lamanya.. dan di sinilah juga.. doaku yang tidak habis diperkenankan Allah...

Aku memohon kepada Allah, kurniakanlah aku seorang suami yang dapat membimbing aku, mendidik aku untuk menjadi isteri yang solehah.. Allah kabulkan permintaan aku dan mengizinkan aku menjadi seorang isteri tetapi  doaku tidak habis dipenghujungnya iaitu bukan suami orang... Ya...aku bernikah dengan suami orang.. dengan izin isteri pertama..

Allah mengizinkan aku untuk bahgia walau sekejap cuma.. Telah tertulis sejak azali untukku ajal, maut, jodoh dan rezki..dan aku redha.  Allah menguji tahap kesabaran dan keimanan aku.. Allah memberi aku peluang untuk menjadi isteri solehah.. Allah memberi aku peluang mengandungkan zuriat suami walau berkesudahan anak-anakku diambil Nya kembali..  Allah memisahkan aku dan suamiku setelah aku kehilangan anak kedua dengan kesakitan yang amat sangat.. hatiku hancur berderai.. imanku rosak seketika menerima takdirNya..

Aku runtuhkan masjid yang terbina, aku menggegarkan tiang arasy.. aku menerima talak dari suamiku atas permintaanku dengan deraian airmata.di bulan suci..8 Syawal dalam keadan aku sedang berpuasa 6.. tidak pernah aku menyangkakan jodoh yang dibina atas dasar cinta, berkesudahan dengan perpisahan yang menyakitkan setelah 7 tahun 2 hari aku berkhidmat untuk suamiku, mencari redha Allah.. merebut 7 dulang pahala emas..

Wahai anak-anakku sayang.. Kalaulah Allah izinkan kalian berada di muka bumi ini, menerima kasih sayang dari ayah, kalian berdua seorang berumur 6 tahun manakala seorang lagi berusia setahun 6 bulan.. tentu Umi bahgia melayan kaletah kalian berdua.. Wahai anak-anakku sayang.. Umi redha ketetapan Allah dan Umi mengerti mengapa Allah tidak mengizinkan kalian lahir ke bumi...  Sekiranya Allah ambil nyawa Umi sekarang, kalian berdua ada menanti Umi di sana walau pun Umi tidak punya sesiapa untuk mendoakan Umi nanti.. Wahai anak-anakku sayang... biarlah Umi saja yang menanggung derita di dunia, tidak sanggup Umi melihat kalian berdua menanggungnya...

Wahai anak-anakku yang 6 orang... Umi menerima kalian semua.. andainya nanti Allah bukakan pintu hati kalian untuk mencari Umi... Umi bahgia ..  Walau tiada lagi ikatan suami isteri dengan ayah, tetapi antara kita.. kalian adalah anak-anak Umi..

Wahai lelaki yang aku cintai sepenuh hati... aku masih belum dapat memaafkanmu.. Moga Allah SWT bukakan ruang dihatiku untuk memaafkanmu.. Tiada lagi perasaan kasih dan sayang dihati ini, yang ada kesakitan yang amat dalam.. yang tak mudah aku lupakan..

Aku sebatang kara di sini... Keseorangan dalam teratak sepi.. Mengharap kasih yang tidak pasti.. dan aku masih menanti.. aku merindui untuk berkhidmat kepada suami... mencari syurga Allah dengan redha suami.. merebut 7 dulang pahala emas yang tak mungkin aku perolehi selagi aku masih bersendiri..

Dan kini aku mengerti.. Aku belum 'CUKUP BAIK' untuk hidup bersama 'ORANG YANG BAIK-BAIK'

2 ulasan:

  1. bersabarlah, mungkin ada hikmah disebalik peristiwa itu yang kita tidak ketahui..

    BalasPadam
  2. Ya.... S A B A R.... ada hikmah disebaliknya....

    BalasPadam